SUV Volvo XC40 tiba ke M’sia suku ketiga 2018?

SUV Volvo XC40 tiba ke M’sia suku ketiga 2018?

SUV Volvo XC60 generasi baharu hampir pasti akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, namun apa yang lebih menarik, adik bongsu dalam barisan SUV Volvo generasi baharu -XC40- juga kini telah muncul dalam laman web rasmi Volvo Cars Malaysia (VCM). Walau bagaimanapun, apa yang dipaparkan pada laman berkenaan adalah lebih kepada prebiu, dan apa yang ditunjukkan mungkin tidak sama dengan spesifikasi sebenar untuk pasaran Malaysia kelak.

Jika dilihat dari trend yang ditunjukkan oleh VCM kebelakangan ini, mereka telah memendekkan jarak tempoh dari pengenalan global dengan pelancaran pada pasaran tempatan dan memperkenalkan model-model baharu setiap tahun. Produksi global untuk model XC40 ini telahpun bermula di Ghent, Belgium pada November lalu, manakala penghantaran kepada pelanggan terawal dijangka hanya akan bermula pada suku pertama tahun ini.

Jadi jika diambil pengenalan XC90 dan S90 sebagai contoh -kedua-duanya mengambil masa sekitar 9-10 bulan untuk diperkenalkan di Malaysia setelah membuat penampilan sulung untuk peringkat global-, boleh dijangka XC40 mungkin akan sampai ke pasaran tempatan sekitar suku ketiga tahun ini. Namun masih lagi terlalu awal untuk mengagak harganya, serta sama ada ia akan dihasilkan secara pemasangan tempatan atau tidak.

SUV Volvo XC40 tiba ke M’sia suku ketiga 2018?

Setakat ini, model-model yang dijual di Malaysia dipasang di kilang Swedish Motor Assemblies yang terletak di Shah Alam – bukan sahaja kilang Volvo pertama diluar Sweden yang mampu memasang kenderaan dengan unit janakuasa plug-in hybrid T8 Twin Engine, malah turut membekalkan kenderaan ke pasaran-pasaran lain untuk rantau ASEAN.

Oleh itu, sudah pasti kilang tersebut boleh memasang mana-mana kenderaan dengan platform Scalable Product Architecture (SPA) seperti XC90 dan S90, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia boleh memproduksi kenderaan yang menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) seperti XC40 atau tidak.

Volvo XC40 ditawarkan dengan janaan petrol dan diesel – kedua-duanya berkapasiti 2.0 liter dengan empat silinder. Versi petrol akan menerima enjin T5 Drive-E berkuasa 247 hp/350 Nm, manakala model diesel pula diberikan enjin D4 turbodiesel berkuasa 190 hp/400 Nm. Kedua-dua pilihan enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik Geartronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda (pilihan pacuan dua roda hadapan menyusul kemudian).

Pada masa hadapan, beberapa pilihan enjin lain akan ditawarkan termasuk hibrid dan elektrik. Antara kemungkinannya adalah enjin plug-in hybrid T5 Twin Engine (petrol turbo tiga silinder 1.5 liter dengan motor elektrik) yang pernah ditunjukkan di Sweden dua tahun lalu. Jika unit janakuasa ini turut dipasang di Malaysia, ini bermaksud model tersebut mampu dijual dengan harga yang lebih kompetitif disini, mengambil kesempatan insentif potongan cukai yang ditawarkan oleh kerajaan terhadap kereta-kereta hibrid CKD.

GALERI: Volvo XC40

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required