GALERI: Volvo XC60 T5 Momentum, T8 Inscription versi pemasangan tempatan – CKD bermula RM282k

GALERI: Volvo XC60 T5 Momentum, T8 Inscription versi pemasangan tempatan – CKD bermula RM282k

Masa baru dilancarkan Januari lepas, hanya ada Volvo XC60 versi CBU ditawarkan untuk pelanggan di sini. Unit CBU bagi varian XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus ketika itu dijual pada harga RM373,888 termasuk GST. Tetapi, versi CKD memang sejak awal dimaklumkan akan menyusul.

Kini, telah hadir versi CKD pemasangan tempatan di Shah Alam bagi model XC60 terbabit. Barisan penawarannya terdiri daripada versi T5 Momentum yang dijual pada harga RM282,011 tanpa GST. Bagaimanapun, tiada versi T6 ditawarkan, dan terus kepada varian T8 Twin Engine plug-in hybrid dengan kemasan Inscription pada harga RM314,030 (tanpa GST).

Model XC60 T8 berkenaan turut ditawarkan dalam tahap kemasan Inscription Plus yang dijual pada harga RM324,464, tanpa GST. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans.

GALERI: Volvo XC60 T5 Momentum, T8 Inscription versi pemasangan tempatan – CKD bermula RM282k

Versi T5 dikuasakan oleh enjin Drive-E 2.0 liter turbocaj empat-silinder, dengan janaan 254 hp dan 350 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,800 rpm. Kuasa disampaikan ke semua roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan Aisin. Ciri AWD tidak terdapat pada model XC60 sebelumnya; ia merupakan tambahan dan kelebihan bagi versi terbaru ini, dengan peningkatan harga sebanyak RM30k berbanding model lama.

Model XC60 paling asas ini juga mencatatkan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 220 km/j. Penggunaan bahan api pula ialah pada kadar 7.2 liter bagi setiap 100 km.

Kit penggayaan Momentum pada T5 termasuk gril standard dengan rekaan bujur, perincian hitam dengan bukaan ruang udara sudut hiasan, perumah cermin sisi warna badan dengan dua corong ekzos. Ia menggunakan rim aloi 18-inci dengan tayar 235/60, seperti pada kereta hitam dalam gambar.

Kelengkapan standard pula termasuk lampu utama LED dengan auto high-beam, lampu DRL LED Thor’s Hammer, panel instrumen digital 12.3-inci, Sensus Connect dengan skrin sentuh sembilan-inci, pendingin hawa dwi-zon dengan ciri Clean Zone, Park Assist, kamera belakang dan sistem audio 224-watt dengan 10 pembesar.

Ruang kabin dilengkapi dengan Comfort Seat yang dibalut oleh material kulit berwarna gelap (semua versi CKD datang dengan pilihan warna Maroon Brown), perincian “Iron Ore”, tempat duduk depan kuasa elektrik (dengan memori untuk sebelah pemandu), perincian “Unideco” pada stereng serta material kulit pada tuil gear.

Bagi XC60 T8 Twin Engine pula, ia menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E, dengan supercas dan turbocas, T8 plug-in hybrid – menghasilkan sebanyak 320 hp dan 400 Nm kuasa dan tork. Ia digandingkan pula dengan motor elektrik (bateri 10.4 kWh) dengan bekalan kuasa 87 hp dan 240 Nm tork. Gabungan kedua-dua sistem ini memberikan janaan kuasa sebanyak 407 hp dan 640 Nm.

Ini memberikannya prestasi yang juga mengkagumkan. 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat dan kelajuan maksimum pula 230 km/j. Ia memiliki sistem pacuan semua roda dan dilengkapi sistem transmisi automatik lapan-kalajuan.

Kemasan Inscription dibesakan dengan penggunakan rekaan gril perak menegak, seperti yang ada pada kereta berwarna perak di dalam gambar. Bahagian sisi juga menggunakan kemasan krom serta dua ekzos yang disekalikan pada bahagian diffuser. Ia menggunakan rim 19-inci 10-jejari dengan tayar 235/55.

Tambahan pada T8 ialah ciri seperti Active Bending Lights, head-ups display, kunci balutan kulit Inscription, kamera 360-darjah, Navigation Pro, Park Assist Pilot, Parking Climate serta bumbung panoramik.

T8 Inscription Plus pula ada semua kelengkapan berkenaan, dengan tambahan sistem audio Bowers & Wilkins 1,100-watt dengan 15 pembesar suara serta amplifier 10-saluran pada harga tambahan RM10k.

Apa beza dengan unit CBU T8 Inscription Plus? XC60 CKD menggunakan Dynamic Chassis yang terdiri daripada leaf spring komposit dan penyerap hentak hidraulik. Model CBU yang lebih mahal RM30k itu pula menggunakan Active Chassis dengan suspensi udara. Dan, kini tiada lagi pilihan kemasan kabin Linear Lime atau Metal Mesh. Hanya kemasan Driftwood sahaja ditawarkan.

Volvo XC60 T5 Momentum CKD 2018

Volvo XC60 T8 Inscription CKD 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required