Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan model SUV saiz sederhana XC60 T8 Twin Engine 2018 versi pemasangan CBU sepenuhnya dari Sweden untuk pasaran tempatan. Di bina menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA), ia bakal menggantikan model yang dijual sebelum ini.

Bagi versi CBU ini hanya satu varian dan tingkat kemasan yang akan ditawarkan, iaitu XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus yang dijual pada harga RM373,888 (atas jalan, tidak termasuk insurans).

Namun, pilihan yang ada tidak berakhir di situ sahaja; turut diumumkan dengan pengenalan ini ialah versi pemasangan tempatan (CKD) untuk model berkenaan. Bagi versi ini, dua pilihan varian ditawarkan, dengan tiga peringkat kemasan yang berbeza dan akan mula diserahkan kepada pemilik bermula April nanti.

Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

Paling asas adalah Volvo XC60 T5 yang dijual pada harga RM298,888. Manakala XC60 T8 Twin Engine pula datang dengan pilihan kemasan, Inscription dan Inscription Plus. Masing-masing dijual pada harga RM333,888 dan RM343,888 bagi tingkat kemasan yang paling tinggi.

Yang paling menarik tentulah varian T8, sama seperti yang pernah kita lihat pada model-model Volvo XC90 dan Volvo S90 sebelum ini. Ia mengggunakan enjin T6 2.0 liter empat-silinder dengan dua sistem desakan kuasa supercas dan turbocas. Ia mampu menjana kuasa sebanyak 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm tork dari 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. Kuasa disampaikan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan AW TG-81SD.

Tidak lupa juga kepada satu lagi sumber janaan kuasanya – motor elektrik – yang turut melengkapi sistem ini. Motor ini mampu menghasilkan sebanyak 87 hp dan 240 Nm tork dengan kuasanya dibekalkan oleh bateri 10.4 kW yang terletak di terowong tengah. Dalam keadaan cas penuh, ia mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 45 km (NEDC).

Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

Gabungan kedua-dua sistem ini akan memberikan output keseluruhan yang mampu dicapai ialah sebanyak 407 hp dan 640 Nm. Enjinnya menyalurkan kuasa ke roda hadapan sementara motor elektriknya pula membekalkan kuasa kepada gandar belakang, menjadikan model ini dengan pacuan semua roda.

Sementara itu, varian T5 hadir dengan enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder turbocas, dengan janaan kuasa 254 hp 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,800 rpm. Transmisi pula menggunakan unit AW TG-81SC lapan-kelajuan automatik, dengan pacuan ke semua roda.

T5 mampu memberikan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat, dengan kelajuan maksimum 220 km/j. Penggunaan minyak pula didakwa 7.2 l/100 km secara gabungan. T8 pula memberikan prestasi yang lebih tinggi; pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, laju maksimum 230 km/j dan penggunaan minyak pada kadar 2.1 l/100 km. Tangki minyak T5 ialah 60 liter, lebih besar berbanding tangki T8 yang hanya berkapasiti 50 liter.

Semua XC60 pemasangan tempatan menggunakan Dynamic Chassis – leaf spring komposit serta penyerap hentak hidraulik – sementara versi CBU datang dengan Active Chassis dan suspensi udara yang lebih maju.

Varian T5 menggunakan pakej penggayaan Momentum, antaranya dengan rekaan gril standard, perincian hitam serta bukaan udara hiasan di sudutnya. Ia datang dengan rim 18-inci jejari Y aloi dengan tayar bersaiz 235/60.

Kelengkapan standard bagi T5 Momentum termasuk lampu utama LED dengan fungsi lampu tinggi automatik, DRL Thor’s Hammer, kluster instrumen 12.3-inci, Sensus Connect dengan skrin sentuh sembilan-inci, kawalan pendingin dwi-zon, Park Assist, kamera pandangan belakang dan sistem audio 10-pembesar suara 224-watt.

Bahagian dalaman pula termasuk antaranya Comfort Seat dengan upholstery kulit Charcoal, tetapi pemilik boleh memilih warna Maroon Brown (untuk semua model CKD), kemasan Iron Ore Decor, tempat duduk depan dengan larasan kuasa (fungsi memori untuk pemandu sahaja), stereng tiga jejari dengan kemasan Unideco dan tuil gear balutan kulit.

Bagi T8 Inscription pula, gril dengan jalur-jalur menegak digunakan, dengan perincian warna perak bagi ruang masukan hiasan yang ada. Bahagian sisi terdapat kemasan krom serta ekzos berkembarnya disekalikan dengan bahagian diffuser belakang. Ia juga menggunakan rim aloi sepuluh jejari yang lebih besar, 19-inci dengan tayar bersaiz 235/55.

Tentunya T8 mempunyai barisan kelengkapan yang lebih tinggi berbanding T5. Antaranya lampu utama LED sepenuhnya dengan fungsi Active Banding Lights, head-up display, kunci kulit Inscription, kamera pandangan sekeliling, Park Assist Pilot, Parking Climate dengan pra-pendinginan kabin serta bumbung panoramik. Sistem audio Bowers & Wilkins 1,100-watt dengan amplifier kelas D 10-saluran adalah eksklusif untuk T8 Twin Engine Inscription Plus.

Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

Varian T8 juga hadir dengan pakej Pilot Assist Volvo, sebuah sistem pemanduan semi-autonomous. Ia melibatkan ciri bantuan stereng kepada fungsi Adaptive Cruise Control. Sistem ini berkesan dalam kelajuan sehingga 130 km/j, mengurangkan ketegangan memandu dalam situasi tertentu. Apapun, kawalan daripada pemandu masih diperlukan kerana sistem ini akan dimatikan sekiranya pemandu tidak meletakkan tangan pada stereng.

Ruang dalaman T8 CKD tidak banyak berbeza daripada varian T5 Momentum; ia menerima upholstery tempat duduk yang sama. Bagaimanapun, T8 menerima tambahan fungsi lanjutan kusyen mekanikal dan kerusi belakang yang paling luar dengan larasan kuasa.

Lain-lain kelengkapan termasuk stereng sport tiga jejari balutan kulit dengan kemasan Unideco, tombol gear kristal Orrefors, plat pintu Inscription dan kemasan perincian Inscription Driftwood Decor. Model T8 CBU datang dengan tambahan dua lagi kemasan – Linear Lime Decor dan Metal Mesh Decor.

Volvo XC60 2018 dilancarkan di Malaysia – varian CKD dari RM299k, varian CBU tunggal pada harga RM374k

Set sistem keselamatan Intellisafe Volvo adalah standard untuk semua XC60, termasuk ciri City Safety (brek kecemasan autonomous), Blind Sport Information System, Oncoming Lane Mitigation, enam beg udara dan banyak lagi.

Lima pilihan warna disediakan, terdiri daripada Ice White, Bright Silver, Osmium Grey, Onyx Black dan Maple Brown. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang spesifikasi Volvo XC60 serba baru ini, layari laman CarBase.my.

Volvo XC60 T8 Twin Engine 2018 CBU

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required