PANDU UJI: Volvo XC60 T8 Twin Engine – SUV saiz sederhana yang imbangkan gaya dan teknologi maju

PANDU  UJI: Volvo XC60 T8 Twin Engine – SUV saiz sederhana yang imbangkan gaya dan teknologi maju

Volvo XC60 T8 Twin Engine mungkin menjadi antara model kenderaan baru yang dilancarkan di Malaysia tahun ini yang paling mendapat perhatian dan kerap diperkatakan. Paling tidak daripada pengalaman peribadi dan dari lingkungan rakan-rakan terdekat saya sendiri.

Ini datangnya dari orang-orang yang pada kebiasaannya melihat kenderaan dari perspektif pengguna biasa – tidak banyak yang hendak diperkatakan, tetapi sedia maklum bahawa kenderaan menjadi sebahagian daripada alat penting bagi pergerakan seharian mereka.

Tetapi, bila tahu dan mula ternampak gambar atau berita tentang XC60, ramai pula yang teruja dan ingin tahu lebih lanjut tentang SUV berkenaan. Walhal, kalau diikutkan, memang tak susah sebenarnya nak agak kenapa XC60 berjaya menarik perhatian ramai. Jawapannya tentulah kerana ia meninggalkan tanggapan dan kesan sebaik sahaja sesiapapun memandangnya buat lagi pertama.

Lihat estetika reka bentuk yang ditampilkan, serta kelengkapan teknologi yang ditawarkan. Ini saja sudah cukup untuk meletakkannya dalam liga yang tersendiri. Sama ada ramai yang sanggup untuk ber”setuju” dengan tanda harganya, itu cerita lain.

PANDU  UJI: Volvo XC60 T8 Twin Engine – SUV saiz sederhana yang imbangkan gaya dan teknologi maju

Apa yang lebih penting, ramai yang boleh bersetuju bahawa XC60 berhasil memberikan kelainan dan sekaligus membuatkan ramai di antara peminatnya berangan-angan untuk memiliki SUV ini. Tak apa, kalau setakat nak berangan, tak perlu keluarkan duit. Jadi tak salah, kan?

Tanggapan ini tidak juga meleset sebetulnya. Dalam perkembangan terbaru dari Eropah, Volvo XC60 telah dipilih sebagai penyandang World Car of the Year 2018 yang baru saja diumumkan minggu ini. Ia menewaskan dua lagi SUV finalis yang turut tersenarai pendek, iaitu Range Rover Velar dan juga Mazda CX-5.

Melihat pada harga, model Volvo XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus versi CBU yang dipandu uji ini dijual pada harga RM378,000 (atas jalan tanpa insurans). Harga ini sebenarnya tak jauh daripada “abang”nya, XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus (tujuh-tempat duduk) dalam versi terkini yang diumumkan Januari lalu, yang dijual pada harga RM413,888 (tanpa insurans).

Beza harga antara kedua-dua model berkenaan ialah sekitar RM36k; tak jauh berbeza, jadi apa kelebihan model XC60 T8 yang lebih kecil ini berbanding XC90 T8 yang lebih besar – juga hadir dengan sistem plug-in hybrid?

Walaupun dalam saiz yang lebih kecil dan rendah sedikit, XC60 tampil dengan penggayaan yang lebih segar, sporty dan memikat dengan garis-garis badan yang menyumbang kepada imej yang lebih dinamik. Ini berbeza dengan XC90 yang menggunaan rekaan yang lebih berkotak. Tapi, ada satu lagi perkara yang perlu disebut.

Harga yang ditawarkan bagi XC60 T8 seperti dinyatakan awal tadi adalah bagi versi CBU yang dibawa masuk dari Sweden dalam jumlah yang sangat terhad. April nanti, versi pemasangan tempatan (CKD) pula akan diperkenalkan, dan sudah tentu harganya akan menjadi lebih rendah.

Seperti yang telah diumumkan ketika pelancarannya, versi CKD akan diperkenalkan pada harga bermula RM298,888 (bagi model T5 Momentum, tanpa sistem plug-in hybrid). Bagi model XC60 T8 Twin Engine CKD, ia akan dijual pada harga yang lebih rendah, iaitu RM343,888 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans).

Ini akan membezakan lagi harga penawaran dua model yang berbeza segmen ini dan menempatkan XC60 pada posisi yang lebih jelas dan tidak “bertembung” dengan penawaran harga bagi XC90. Apa pun, kedua-dua model ini ada persamaan, baik dari rekaan (sebagai contoh pada papan pemuka dan konsol tengah yang nampak seperti diwarisi dari XC90) dan juga kelengkapan teknologi.

Jadi, sebelum saya menceritakan perihal pengalaman memandu sepanjang bersama dengan model SUV saiz sederhana ini, elok kita lihat dulu maklumat-maklumat yang berkaitan dengan spesifikasinya untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang penawaran yang ada pada model ini.

Volvo XC60 mempunyai dimensi binaan seperti berikut; 4,688 mm panjang, 1,902 mm lebar, 1,658 mm tinggi dengan jarak antara rodanya ialah 2,865 mm. Ia mempunyai berat 2,148 kg. Ruang barangan yang tersedia pula ialah 505 liter, sementara kapasiti tangki minyak ialah 50 liter.

Dibangun menggunakan plaform Scalable Product Architecture (SPA) oleh Volvo yang antara lain mengambil kira juga penerapan penggunaan sistem dan teknologi plug-in hybrid, model dari generasi kedua ini berbeza sepenuhnya jika dibandingkan dengan model awal yang ada sebelum ini.

Ia mengggunakan enjin T6 2.0 liter empat-silinder dengan dua sistem desakan kuasa – supercas dan turbocas (sama seperti yang pernah kita lihat pada model-model Volvo XC90 dan Volvo S90 sebelum ini). Unit enjin ini mampu menjana kuasa sebanyak 320 hp pada 5,700 rpm dan 400 Nm tork dari 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. Kuasa disampaikan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan AW TG-81SD.

PANDU  UJI: Volvo XC60 T8 Twin Engine – SUV saiz sederhana yang imbangkan gaya dan teknologi maju

Dan, jangan lupa. Ada satu satu lagi sumber janaan kuasa pada model ini – iaitu motor elektrik – yang turut melengkapi sistem hibrid yang digunakan. Motor elektrik berkenaan mampu menghasilkan sebanyak 87 hp dan 240 Nm tork dengan kuasanya dibekalkan oleh bateri 10.4 kW yang terletak di terowong tengah. Dalam keadaan cas penuh, ia mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 45 km (melalui kitaran NEDC).

Gabungan kedua-dua unit janaan kuasa ini akan memberikan output keseluruhan yang mampu dicapai ialah sebanyak 407 hp dan 640 Nm. Dalam segmennya, ini merupakan angka penghasilan kuasa yang paling tinggi. Transmisi kemudian akan menyalurkan kuasa ke roda hadapan sementara motor elektriknya pula membekalkan kuasa kepada gandar belakang, menjadikan model lengkap dengan sistem pacuan semua roda.

Seperti juga kebanyakan kenderaan penumpang lainnya, XC60 menggunakan casis unibody. Melengkapinya untuk memberikan keselesaan terbaik kepada pemandu dan penumpang ialah sistem suspensi yang digunakan. Bahagian depan dilengkapi dengan suspensi udara double wishbone, manakala di belakang menggunakan suspensi udara dari jenis multi-link dengan transverse leaf spring. Tetapi, sila ambil maklum, suspensi udara yang dinyatakan ini hanya melengkapi model XC60 CBU sahaja.

Untuk melangkah masuk ke dalam ruang kabin XC60 T8 ini, anda akan disambut dengan satu perasaan yang menyenangkan. Yang terhampar bukanlah kemewahan yang berlebih-lebih, tetapi dari apa yang dapat dilihat dan dipegang, suasana keseluruhannya mencadangkan sebuah ruang yang mementingkan praktikaliti.

Material kulit pada tempat duduk dalam warna hitam (tentulah ada pilihan lain, seperti beige) reka bentuk tempat duduk – tidak terlalu sporty, tapi memberikan sokongan kepada tubuh dengan baik – serta keringkasan penampilan elemen reka bentuk bahagian-bahagian kecil yang ada semuanya mencadangkan keseimbangan antara sporty dan keselesaan yang cuba dicapai.

Jarak awal ketika anda mula memandu (dengan bateri yang dicas) juga memberikan satu kelebihan – meluncur dalam mod elektrik sepenuhnya yang senyap dan jimat tenaga. Dan sistem pemanduan elektrik ini akan berlangsung secara berterusan tanpa anda sedari, terutamanya bagi pemanduan dalam bandar dalam keadaan jalan sesak. Mungkin anda juga sudah sedia maklum tentang ciri khusus seperti ini yang terdapat pada kebanyakan kenderaan hibrid.

Papan pemukanya juga ringkas, anda tak akan nampak banyak tombol-tombol kawalan yang terdedah. Sebab apa? Mudah saja, segala macam kawalan bagi sistem kereta ini – baik dari yang paling ringkas seperti kawalan pendingin hawa sampailah untuk kawal sistem maju lain yang ada pada SUV ini – perlu dilakukan melalui antaramuka pada skrin sentuh/tablet yang ada ditengah itu.

Sepanjang meluangkan masa bersama SUV ini, ada beberapa perkara yang sempat diperhatiikan. Walaupun badannya nampak kompak, Volvo XC60 T8 ini mempunyai fleksibiliti ruang kabin yang cukup baik. Ketika perlu membawa dua basikal saiz penuh (bukan basikal lipat) ke Kuala Terengganu dan tiada rak khas untuk mengangkutnya, ruang kabin berkenaan boleh memuatkan kedua-dua basikal – serta bag baju dan kelengkapan lain – tanpa masalah.

Bukaan untuk pintu belakangnya yang luas, dengan garis bumbung yang tidak tirus di bahagian belakang, serta kemudahan untuk menurunkan kerusi menggunakan suis elektrik di ruang barangan berkenaan dan kalau perlu, bahagian belakang SUV ini boleh direndahkan untuk masukkan barang dengan lebih mudah – semua ini menjadikan urusan mengangkut menjadi cukup senang. Hanya perlu bukakan tayar hadapan basikal dan turunkan tempat duduknya, basikal boleh dimuatkan dengan senang.

Lagi satu ciri yang menarik perhatian ialah sistem audio yang digunakan; sistem dari Bowers & Wilkins. Ia hadir dengan kapasiti 1,100 watt, 15 pembesar suara dengan amplifier kelas D 10-saluran. Cukup berkuasa, tapi bukan itu saja. Tataan bunyinya boleh ditentukan sendiri; antara pilihan yang ada ialah talaan audio yang serupa di studio malah ada juga yang menyerupai gema bunyi dari di Dewan Konsert Gothenberg yang bersejarah.

Walaupun banyak pertimbangan yang dicurahkan untuk menjadikannya lebih serasi dan cekap untuk kegunaan dalam bandar, XC60 T8 ini sangat selesa dan cemerlang juga untuk perjalanan jauh. Di lebuhraya, SUV ini berada dalam keadaan yang sangat stabil ketika kelajuan semakin ditingkatkan.

Lantunan dari sistem suspensi juga tidak keterlaluan – merujuk permukaan jalan di LPT 1 dan LPT 2 yang beralun – yang tidak akan membuatkan penumpang berasa penat, dan barangan juga terletak elok tidak berterabur. Satu lagi ciri yang banyak membantu terutama ketika melalui jalan gelap di sekitar Penarek ada lampunya yang akan turut sama menghala ke arah mengikut pusingan stereng.

PANDU  UJI: Volvo XC60 T8 Twin Engine – SUV saiz sederhana yang imbangkan gaya dan teknologi maju

Secara umumnya XC60 T8 Twin Engine merupakan sebuah SUV yang menyenangkan untuk dipandu. Jika ada satu perkara yang tidak digemari tentang model ini, itu adalah cara fungsi City Safe ketika ia membrek – secara kasar dan mengejut – sewaktu sistem mengesan ada kenderaan lain yang lalu dijangka akan lalu di hadapan.

Tetapi itu bukanlah masalah besar. Masuk ke antaramuka pada skrin sentuh yang menempatkan keseluruhan kawalan model ini, anda akan diberi pilihan untuk melengahkan maklum balas bagi ciri brek automatik terbabit – sama ada “Immediate”, “Normal” atau “Late”.

Jika dibiarkan sahaja, sistem akan membrek dengan kadar “Immediate”, dan itu sedikit menakutkan, tambahan pula bagi mereka yang tidak biasa berdepan dengan situasi seperti itu. Antara ciri keselamatan di bawah pakej Intellisafe Volvo yang turut melengkapi model ini ialah seperti Blind Sport Information System, Oncoming Lane Mitigation, enam beg udara dan banyak lagi.

Sedikit tentang kadar penggunaan minyak yang dapat direkodkan sepanjang menggunakan unit pandu uji ini. Yang dapat dicapai ialah 9.2 liter bagi setiap 100 km. Ini bukanlah satu angka yang terlalu teruk jika mengambil kira cara pemanduan tempoh hari.

PANDU  UJI: Volvo XC60 T8 Twin Engine – SUV saiz sederhana yang imbangkan gaya dan teknologi maju

Jangan lupa, berat SUV ini adalah sekitar 2 tan. Dan, dengan janaan kuasa di atas kertas yang mampu dihasilkan, ia masih lagi meletakkan kecekapan penggunaan minyak sebagai faktor paling utama. Di sebabkan itu, output kuasa yang tinggi itu sebenarnya tidak terlalu dirasakan ketika memandu.

Ia sesuailah untuk menggerakkan SUV ini dengan segala beban berat yang ada serta menawarkan pemanduan yang cenderung menyebelahi keselesaan, dan bukannya prestasi agresif yang dibayangkan seperti pada sebuah kereta sport. Perkara ini perlu jelas.

Dengan segmen SUV yang semakin hari semakin kompetetif, kelengkapan teknologi yang terkini serta prestasi kendalian yang digabungkan dengan perhatian terhadap keselesaan, Volvo XC60 T8 Twin Engine ini dirasakan mempunyai pakej keseluruhan yang berbaloi dan seimbang untuk dipersembahkan kepada penggunanya. Patutlah ia dipilih sebagai “Car of the Year 2018”.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • As Salamu’alaikum En Hafiz…
    Saya berminat kereta SUV yang memiliki ciri – ciri keselamatan, pada saya Volvo dan BMW memiliki ciri – ciri tersebut. Saya dengar Volvo XC60 banyak menggunakan komponen elektronik, so kalau rosak sukar dibaiki atau kos membaiki yang tinggi, apa komen tuan.
    Saya dimaklumkan pasaran volvo second juga amat kurang berbanding kereta lain. Mohon pencerahan …

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required