Persatuan Automotif Malaysia telahpun mendedahkan prestasi pasaran untuk separuh pertama 2018, di mana jualan dan produksi kedua-duanya mencatatkan sedikit peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jumlah Pengeluaran Keseluruhan Industri (TIV) untuk enam bulan pertama ini dicatatkan pada 289,714 unit, yang terdiri 261,043 unit kenderaan penumpang dan 28,671 unit kenderaan komersil. Ini mewakili peningkatan sebanyak 1.85% dari 284,453 unit yang dicatatkan pada separuh pertama 2017 (255,748 kenderaan penumpang, 28,705 kenderaan komersil).
Trend jualan tahun-ke-tahun menunjukkan penurunan pada separuh pertama 2018 ini berbanding tahun sebelumnya, kecuali pada April dan Jun. Manakala untuk bulan Mei, jualan dilihat menjunam setelah pengumuman bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diumumkan pada 16 Mei, akan berkadar sifar bermula 1 Jun.
Seperti dijangka juga, jualan dilihat naik dengan lebih tinggi pada Jun setelah GST dikecualikan dari pembelian, membolehkan rekod jualan bulanan menjadi yang tertinggi untuk separuh pertama 2018. Malah jualan 64,502 unit yang dicatatkan bulan lalu (naik 50.1% dari 42,983 unit pada Mei) juga merupakan satu-satunya rekod TIV yang melebihi 60,000 dalam sebulan pernah dicapai.
Untuk kategori kenderaan penumpang, jumlah jualan mencatatkan 192,772 unit pada separuh pertama 2018, 4.1% lebih tinggi atau 7,518 unit lebih banyak berbanding tempoh yang sama pada 2017. Sub-segmen 4×4/SUV juga menunujukkan pertumbuhan dengan 36,179 unit berjaya dijual tahun ini atau peningkatan 29.5% dari 27,935 unit yang dijual pada separuh pertama tahun lalu.
Walau bagaimanapun, jumlah jualan MPV nampaknya menurun dimana jumlah jualan mencatatkan angka 30,694 unit tahun ini, 10,397 unit atau 25.3% kurang berbanding tempoh sama tahun lalu.
Untuk produksi, jumlah pengeluaran pada enam bulan pertama tahun ini adalah 280,947 unit, dimana 261,324 unit daripadanya adalah kenderaan penumpang dan 19,623 unit selebihnya adalah kenderaan komersil. Angka tersebut adalah 10% lebih tinggi berbanding separuh pertama 2017. Jumlah pengeluaran ini dijangka akan kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga Ogos memandang permintaan tinggi sempena tempoh ‘cuti cukai’ yang berjalan hingga 31 Ogos 2018.
Dengan situasi pasaran sekarang, MAA telah mengemaskini semula jangkaannya terhadap TIV untuk tahun ini iaitu 590,000 (dibuat pada Januari) kepada hanya 585,000 atau 5,000 unit kurang dari asal.
Kemaskini berkenaan dibuat adalah berdasarkan angka-angka dari faktor ekonomi dan persekitaran yang dijangka akan memberikan kesan, dan ini turut termasuk pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September ini – ia dijangka akan memberikan impak kepada kebolehan berbelanja pengguna, khususnya pada suku terakhir tahun ini. Catatan TIV pada separuh pertama 2018 yang mencapai 49.1% jangkaan asal juga memainkan peranan atas penentuan jangkaan baharu berkenaan.
Walau bagaimanapun, pretasi lebih baik akan dijangka pada masa akan datang dengan pertumbuhan TIV dicatatkan pada kadar lebih dari dua peratus setiap tahun untuk empat tahun akan datang – TIV disasarkan akan mencapai 596,700 unit pada 2019 dan kemudian terus naik melangkaui 600,000 unit pada tahun seterusnya dengan jumlah 609,200 unit. TIV untuk 2021 diramal pada 622,650 unit manakala 2022 pula dijangka mencecah 637,000 unit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.