Kementerian Kewangan telah pun mengumumkan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang ketika ini dikenakan pada kadar 6% akan dimansuhkan sepenuhnya menjadi 0% bermula 1 Jun ini. Ia adalah selari dengan janji Pakatan Harapan untuk melakukan perkara berkenaan dalam tempoh 100 hari pertama mengambil alih pentadbiran selepas PRU14 minggu lalu.

Namun, tidak seperti yang diumumkan sebelum ini, penghapusan GST ini tidak pula akan digantikan semula dengan pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST); buat masa ini, tiada apa-apa struktur cukai yang akan dikenakan sehinggalah kaedah cukai baru dimaklumkan semula nanti. Barangan yang dimansuhkan GST akan kekal seperti seadaanya, tanpa digantikan oleh cukai lain buat sementara waktu.

Langkah ini tentunya akan mendapat maklum balas positif, tetapi dalam masa yang sama turut menimbulkan pertanyaan lain, terutama berkaitan harga kenderaan. Syarikat-syarikat pengeluar kenderaan ketika ini masih lagi samar-samar dengan kesan pemansuhan GST ini – yang sepatutnya diganti semula dengan SST – serta ketidak-pastian terhadap harga yang kemungkinan akan naik atau turun. Mereka masih belum memperoleh jawapan yang jelas tentang perkara ini.

Terkini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Isnin lalu menyatakan, syarikat itu menjangkakan harga kenderaan mungkin akan naik sedikit sekiranya SST 10% sebelum ini diperkenalkan semula untuk menggantikan GST 6%. Hal ini adalah selari dengan perubahan ketika peralihan antara SST kepada GST dahulu, yang menyaksikan harga kenderaan turun sedikit bagi kebanyakan jenama.

Malahan, pengeluar dan pengedar kenderaan seperti ETCM (Nissan) dan Motor Image (Subaru) juga telah memperkenalkan skim pelindungan harga yang akan mengekalkan harga kenderaan mereka bagi satu tempoh tertentu sekiranya harga kenderaan akan naik selepas pelaksanaan semula SST, dan akan mengembalikan sebarang perbezaan nilai yang terlibat (refund) dalam bentuk baucar servis sekiranya harga kenderaan menjadi lebih rendah.

Dengan pemansuhan GST nanti, syarikat-syarikat ini kemungkinan perlu melakukan penyelarasan dalam dua langkah berikut – refund kepada pembeli yang membuat tempahan sebelum Jun, dan kemudiannya mengekalkan harga pra-SST. Itupun bergantung sekiranya SST kembali dilaksanakan dalam kadar dan kaedah yang sama seperti sebelumnya, dan berlangsung dalam tempoh seperti yang dijangkakan oleh skim-skim berkenaan. Bagi Subaru misalnya ialah sehingga 18 Ogos, iaitu penghujung tempoh 100 hari pertama kerajaan baru ini.

Apapun, harga kenderaan sepatutnya akan lebih rendah pada 1 Jun ini sebaik sahaja GST dimansuhkan. Tetapi, sejauh manakan ia akan turun? Sumber industri memaklumkan kepada kami, pelanggan mungkin tidak akan melihat harga jualan ketika ini turun sebanyak 6% bagi kadar GST itu secara serta-merta. Ini adalah kerana, syarikat pengeluar telah pun membayar GST bagi setiap peringkat dan proses pengeluaran serta pengedaran sebelum ini, dan cukai itu juga tidak akan dikenakan kepada pelanggan secara sekali gus (lump sum).

Bagaimanapun, cukai yang telah dibayar bagi rantaian inventori sedia ada oleh pengeluar dan pengedar itu boleh dituntut semula oleh syarikat pengeluar daripada kerajaan, dijangka dalam masa yang relatif singkat. Ini bermaksud, dalam jangka waktu yang pendek, pengguna boleh menjangkakan penurunan bagi harga jualan sebenar – atau menghampiri nilai yang sama – bagi harga seperti yang dinyatakan sebelum GST dilaksanankan dulu.

Malah, bagi satu tempoh waktu singkat, pengguna mungkin akan membeli kenderaan tanpa caj GST mahupun SST, sehinggalah cukai SST ini diumumkan akan agar dikuatkuasakan semula pelaksanaannya. Bila perkara ini akan berlaku masih lagi menjadi tanda tanya kepada semua.

Dalam apa juga keadaan ketika ini, syarikat-syarikat pengeluar kenderaan sedang dalam proses mengira semula harga baru tanpa GST bagi kenderaan mereka, dan kami akan bawakan perkembangan berkaitan kepada anda sebaik sahaja ada sebarang pengumuman dilakukan nanti. Ini termasuklah perincian daripada kerajaan terhadap pelaksanaan kaedah cukai berkenaan.