Hujung minggu lalu berlangsung sudah acara Art of Speed 2018 di MAEPS Serdang. Antara model baru dari pengeluar yang turut dipamerkan ialah dua motosikal dari Honda, iaitu C125 Super Cub dan motosikal mini Monkey. Kedua-dua motosikal ini merupakan motosikal dari era 70an dan dibayangkan semula untuk era sekarang.
Honda Super Cub tidak lagi memerlukan pengenalan panjang. Rekaan yang digunakan juga boleh dilihat diwarisi dari model-model lama keluaran Honda sejak dulu lagi. Dipanggil Super Cub di Jepun, C125 Cub ini menggunakan enjin 125 cc sejukan udara yang menjana 7.89 hp pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm tork pada 5,500 rpm.
Sistem PGM-Fi digunakan untuk suapan minyaknya, sementara kotak gear menggunakan jenis empat-kelajuan dengan klac centrifugal. Brek menggunakan jenis cakera di depan, manakala di belakang dari jenis dram. Super Cub ini turut dilengkapi dengan lampu LED serta paparan meter gabungan antara digital dan analog.
Bagi Honda Monkey pula, ia menggunakan enjin yang sama dari Honda MSX 125 SF, bersesaran 124.9 cc silinder-tunggal, sejukan udara dengan janaan kuasa sebanyak 9.6 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm tork pada 5,250 rpm, juga dengan sistem PGM-Fi. Motosikal ini mempunyai berat 107 kg dan kapasiti tangki minyak 5.6 liter.
Suspensi terbalik di depan serta menggunakan brek jenis cakera di hadapan dan juga belakang, ia dilengkapi dengan panel instrumen LCD. Monkey moden ini juga menggunakan sistem pencahayaan LED. Boon Siew Honda bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila dua model ini akan dilancarkan untuk pasaran tempatan atau sebaliknya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.