Berkaitan projek kereta nasional ketiga yang pernah dinyatakan oleh Tun Mahathir sebelum ini, Prof. Jomo Kwame Sundaram berpendapat bahawa cadangan itu perlu diberi pertimbangan sewajarnya yang lebih mendalam lagi, lapor Berita Harian.
Pakar ekonomi itu menegaskan, dari satu sisi, cadangan itu memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menggiatkan lagi sektor perindustrian tempatan ketika ini yang melibatkan teknologi tinggi dan maju, walaupun pernah berdepan kegagalan pelaburan ‘industri berat’ sebelum ini.
“Sebagai contoh, Geely perlu ‘dipujuk’ untuk bekerjasama dengan Proton dalam menjadikan negara ini sebagai hab eksport utama mereka bagi pengeluaran kereta saiz sederhana, seluruh dunia.
“Kerjasama itu pada masa sama akan membantu merealisasikan hasrat Dr Mahathir untuk membangunkan kereta elektrik yang sudah dinyatakan sejak 1990an, yang mana ia dapat memenuhi keperluan global untuk menangani isu pemanasan global dan pencemaran udara berpunca dari penggunaan bahan api,” jelas beliau di dalam laporan berkenaan.
Jomo juga berpendapat, kereta elektrik akan dapat mengenepikan kebergantungan pengguna terhadap enjin pembakaran dalaman tradisional, dan itu menjadi cabaran terakhir dalam membangunkan kereta buatan Malaysia sejak berdekad lalu, jelas laporan itu lagi.
Ketika satu persidangan di Jepun Jun lalu, Tun Mahathir menyuarakan hasrat untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga selepas Proton kini tidak lagi sebuah jenama kereta nasional Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad juga pernah menyatakan bahawa negara ini tidak memerlukan satu lagi jenama kereta nasional yang baru. Menurut beliau, ketika ini indsutri automotif negara sudah berkembang maju (kini dengan lebih 500 vendor), walaupun skala ekonomi pasaran tempatan adalah kecil.
“Jika dibandingkan dengan negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia, ia tidak mempunyai kereta nasional, tetapi industri automotif negara berkenaan berkembang kukuh,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.