Mekanisme dan hala tuju projek mega Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dijangka akan dimuktamad dan diputuskan selewat-lewatnya awal September ini, lapor Bernama.

Menurut Menteri Kerja Raya Baru Bian, kementeriannya akan melantik jurutera perunding bebas bagi menilai semula pelaksanaan projek melibatkan pakej-pakej kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor projek berkenaan berdasarkan amalan kejuruteraan terbaik.

“Pada 24 Julai lalu kementerian telah diarahkan Kementerian Kewangan untuk meneliti dan menilai semula kos dan skop projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak. Kementerian telah mengemukakan cadangan melantik jurutera perunding bebas untuk melaksanakan penilaian tersebut,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Baru turut berkata anggaran kos keseluruhan projek di Sabah ialah RM12.86 bilion yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja, manakala kadar yuran yang akan dibayar oleh kerajaan kepada PDP adalah 5.5 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan.

Tambahnya lagi, setakat ini sebanyak 12 daripada 35 pakej kerja projek Pan Borneo Sabah telah dilaksana manakala baki 23 pakej kerja lagi belum dimulakan kerana sama ada masih di peringkat perolehan, makmal pengurusan nilai atau perancangan reka bentuk.

Secara keseluruhan, Lebuhraya Pan Borneo ini dirancang akan dibina sejauh 2,325 km meliputi Sarawak dan Sabah, di mana fasa pertamanya yang kini sedang dibina dijangka siap pada tahun 2021. Fasa pertama tersebut dibahagikan kepada 11 pakej, kebanyakkan pembinaannya berlangsung di Sarawak.

Mei lalu, ada laporan menyatakan bahawa projek bahagian Sabah dengan jarak 1,236 km mungkin akan dibatalkan. Buat masa sekarang, dilaporkan juga kebanyakkan kawasan pembinaan Lebuh Raya ini masih belum bermula dan ini akan lebih memudahkan pembatalan tersebut.

Tujuh pakej telah dirancang untuk kawasan Sabah, keseluruhannya bernilai RM3.2 bilion. Lima pakej daripadanya telah pun dimulakan, ada sumber mendedahkan ia kini menghadapi masalah “kos berlebihan yang besar” dan kerajaan sebelum ini sudahpun menghadapi masalah bagi menetapkan kos.