Menurut laporan The Star, selain dari projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura dan MRT 3, ada spekulasi mengatakan kerajaan bakal membatalkan projek-projek lain yang kini sedang disemak semula termasuk Lebuhraya Pan Borneo untuk fasa Sabah.

Sumber berkenaan mengatakan bahawa pembinaan lebuhraya merentasi Sabah dengan jarak 1,236 km yang akan menelan belanja RM12.8 bilion dari kerajaan pusat tersebut akan menjadi projek seterusnya yang akan dibatalkan.

Secara keseluruhan, Lebuhraya Pan Borneo ini dirancang akan dibina sejauh 2,325 km meliputi Sarawak dan Sabah, di mana fasa pertamanya yang kini sedang dibina dijangka siap pada tahun 2021. Fasa pertama tersebut dibahagikan kepada 11 pakej, kebanyakkan pembinaannya berlangsung di Sarawak.

“Kebanyakkan kerja-kerja di bahagian Sabah masih lagi belum dijalankan, membolehkan ia dibatalkan dengan mudah. Di Sarawak, kerja-kerja pada fasa kedua antara Miri dan sempadan Sabah belum bermula,” kata sumber berkenaan kepada The Star.

Dilaporkan bahawa tujuh pakej telah dirancang di Sabah, bernilai RM3.2 bilion. Lima pakej daripadanya telah pun dimulakan, namun sumber berkenaan mendedahkan ia kini menghadapi masalah “kos berlebihan yang besar” dan kerajaan sebelum ini sudahpun menghadapi masalah bagi menetapkan kos.

Sabah dan Sarawak masih lagi berharap agar projek Lebuhraya Pan Borneo ini diteruskan oleh kerajaan pusat. Minggu lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau yakin projek tersebut akan diteruskan, manakala pengerusi Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen menyatakan selepas Pilihanraya Umum ke-14 bahawa projek tersebut akan diteruskan, tetapi kos projek dan kotraktor terlibat perlu diaudit semula.