Selepas 12 tahun memegang sebahagian saham dalam Isuzu, Toyota Motor Corporation dilaporkan melepaskan kepentingan berkenaan. Menurut laporan dari Nikkei, langkah berkenaan diambil oleh Toyota kerana tidak lagi memerlukan kepakaran Isuzu dalam membina enjin diesel, memandangkan teknologi tersebut kini semakin tidak menjadi pilihan dalam pasaran global.

Kerjasama antara Toyota dan Isuzu bermula pada tahun 2006 apabila gergasi automotif dari Jepun berkenaan mendapatkan kepentingan sebanyak 5.89% dalam Isuzu. Hasilnya, Toyota berjaya menghasilkan enjin diesel 1.6 liter bagi digunakan untuk kereta penumpang di Eropah dengan bantuan pakar teknologi diesel berkenaan. Namun dengan strategi yang lebih tertumpu kepada teknologi hibrid elektrik buat masa sekarang, Toyota mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama tersebut.

Turut dilaporkan antara punca keputusan berkenaan diambil adalah kerana UK, Eropah dan China kini mempunyai undang-undang pencemaran yang lebih ketat, tetapi eksekutif senior Isuzu, Koichi Seto menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa kerjasama ini “tiada lagi perkembangan”. Bermula tahun ini juga, Toyota tidak lagi menjual kereta-kereta penumpang baharu yang dijana enjin diesel di Eropah.

Dengan keputusan ini juga Toyota telah menyusun semula pelaburannya dalam syarikat lain sejajar dengan hala tuju baharu yang disasarkan. Toyota masih mempunyai Hino Motors di bawahnya yang membangunkan trak dan bas, dan syarikat berkenaan kini sedang bekerjasama dengan divisi trak dan bas Volkswagen bagi membangunkan teknologi diesel dan kenderaan elektrik.

Buat masa sekarang, Isuzu masih lagi merupakan pengeluar kenderaan komersial yang tidak menjalinkan apa-apa kerjasama dengan mana-mana pengeluar dari Eropah. Jenama lain, Mitsubishi Fuso yang membina trak dan bas kini di bawah payung Daimler, manakala UD Trucks pula bersama Volvo.

Pada 2016, Isuzu dan Mazda telah mengumumkan persetujuan untuk membina trak pikap, namun produk hasil kerjasama berkenaan masih lagi belum membuat penampilan. Trak pikap Isuzu D-Max sedia ada pula sebenarnya adalah hasil kerjasama General Motors (GM) yang hadir dengan Chevrolet Colorado dengan platform yang sama.

Keuntungan bersih Isuzu dilaporkan meningkat 16% tahun ini untuk suku April-Jun kepada 38.1 billion (RM1.4 billion). Menurut Nikkei, pengeluar automotif kecil seperti Isuzu bakal berhadapan cabaran sukar sekiranya hanya berdiri sendiri tanpa kerjasama gergasi-gergasi automotif lain. Sebelum ini, kerjasama antara Isuzu dan GM selama 35-tahun telahpun ditamatkan pada 2006 kerana kerjasama yang dijalinkan oleh Isuzu bersama Toyota.

Isuzu juga dilaporkan masih lagi belum mendapat rakan strategik baharu yang berpotensi, namun hubungannya dengan Toyota “masih lagi baik” dan boleh melakukan apa-apa kerjasama yang perlu pada masa akan datang.