Naza hari ini memperkenalkan model Chevrolet Colorado dalam tiga edisi terkini; Colorado X, Colorado X Urban dan Colorado X ADV. Semua versi ini dikuasakan oleh enjin 2.5 liter Duramax turbodiesel dengan variable geometry turbo (VGT) yang menghasilkan 180 hp pada 3,600 rpm dan 440 Nm pada 2,000 rpm. Ia ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik atau manual.

Perbezaan paling ketara antara ketiga-tiga edisi ini ialah dari penampilan luaran. Colorado X yang dijual pada harga RM114,437 (atas jalan tanpa insurans) datang dengan kemasan serba hitam, termasuk pada bahagian logo Chevrolet. Ini turut dilanjutkan ke bahagian belakang dan pada rim 18 inci yang digunakan.

Bagi Colorado X-Urban, ia dijual pada harga RM132,987 tanpa insurans, dengan penampilan urban yang lebih menyerlah. Ia turut menggunakan logo Chevrolet hitam, serta kemasan di bahagian belakang yang mengikut pendekatan yang sama. Rim yang melengkapinya bersaiz 20 inci dengan tayar highway terrain (HT), dan ditambah dengan kemasan fender hitam.

Ini diikuti oleh Colorado X-ADV, edisi paling tinggi dan paling mahal diantara ketiga-tiganya dan dijual pada harga RM146,767 tanpa insurans. Versi ini menampilkan imej yang lebih garang dengan keupayaan offroad. Suspensinya menggunakan unit dari Old Man Emu, dan tayar pula dari jenis mud terrain (MT) pada rim 16 inci.

Selain itu, versi paling lengkap ini juga menerima kemasan hitam sama seperti dua edisi yang ditawarkan ini. Tambahan padanya ialah sport bar, kemasan pada fender dan pemijak sisi yang semuanya turut hadri dalam warna hitam. Bahagian gril pula dicat dengan warna hitam berkilat.

Dari aspek keselamatan, ia mewarisi senarai yang sama dari penawaran Colorado lain sebelum ini. Antaranya kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, kawalan menuruni bukit, amaran pertukaran lorong, amaran pertembungan berdepan, kamera undur dan banyak lagi.

Semua versi ini juga menerima ciri infotainmen dengan Apple CarPlay. Tempat duduk dari kulit sepenuhnya bagi ketiga-tiga versi terbaru ini. Jaminan lima-tahun diberikan, atau 200,000 km. Kelengkapan mekanikal lain yang dipasang, seperti kit suspensi dan rim 16-inci, serta rim 20-inci pada X-Urban datang dengan jaminan selama setahun.

Chevrolet Colorado X

Chevrolet Colorado X-Urban

Chevrolet Colorado X-ADV