Eropah sering kali menerima model Honda baru agak lambat berbanding benua lain. Tetapi kelebihannya, mereka menerima barangan yang tidak boleh didapati di tempat lain. Sama juga keadaannya dengan HR-V facelift ini, yang baru sahaja tiba di sana sedangkan penampilan pertamanya sudah dilakukan di Jepun enam bulan lalu. Namun, model di Eropah ini mendapat enjin serta beberapa kelengkapan baru.
Akhirnya, Honda telah memasukkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dari Civic kepada HR-V dan ia akan dipasarkan pada tahun 2019 bersama pilihan enjin 1.6 liter i-DTEC Turbodiesel serta unit 1.5L NA i-VTEC petrol seperti sekarang. Enjin ini turut mendapat dinding silinder kurang geseran yang mampu mengurangkan kesan penggunaan jangka masa panjang serta meningkatkan kecekapannya.
Jumlah kuasa masih lagi 130 PS dan 155 Nm tork, dan ia mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 10.7 saat melalui kotak gear manual enam kelajuan dan 11.2 saat apabila menggunakan transmisi CVT. Penggunaan bahan api juga menurun dari 5.7 kepada 5.3 liter bagi setiap 100 km, bersama pengeluaran karbon dioksida dari 134 kepada 121 gram bagi setiap kilometer.
HR-V Eropah juga akan dipasang dengan lebih banyak bahan kedap bunyi di sekeliling kereta, termasuk sekitar dinding yang memisahkan ruang enjin dan kabin, lengkuk roda, struktur but serta panel pintu depan dan belakang. Ada juga beberapa model yang akan menerima sistem Active Noise Cancellation (ANC) untuk mengurangkan bunyi.
Pada bahagian lain, HR-V Eropah ini menerima peningkatan sama seperti model facelift di negara lain, dengan lampu utama projector halogen dan lampu siang LED secara standard, gril berwarna krom gelap, bukaan udara di penjuru bampar yang lebih ke dalam bersama lampu kabus bulat, kemasan krom gelap di belakang dan lampu belakang smoked. Varian yang lebih tinggi pula akan menerima lampu LED penuh, lampu belakang tiub LED dan rim aloi 17 inci lima cabang (unik untuk pasaran Eropah).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.