Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesahkan sebanyak 2,765 kes kemalangan dilaporkan di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) pada tahun lalu. Antara punca kemalangan ialah pemandu terlanggar pelbagai objek termasuk serpihan tayar, kayu dan batu di atas jalan, laporan Berita Harian.

Menurut pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin, terdapat 28 kes kemalangan akibat terlanggar serpihan tayar, 25 kes terlangar besi, 36 kes kerana kayu, 36 kes terlanggar bangkai haiwan dan empat kes terlanggar penghadang plastik.

“Sebahagian besar kemalangan berlaku kerana pemandu kereta dan motosikal tidak dapat mengelak daripada terlanggar objek tersebut,” katanya.

JPJ Terengganu juga baru saja melancarkan Unit Penguatkuasa Ronda Lebuh Raya (UPRL) semalam. Menurut Zulkarnain, peronda UPRL ditugaskan membuat rondaan di sepanjang LPT2 bermula dari plaza Tol Kuala Terengganu hingga ke plaza Tol Jabor di Kemaman sejauh kira-kira 194 kilometer (KM) dan menghubungi pihak konsesi lebuh raya untuk mengutip objek yang boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna lebuh raya.

“UPRL telah mula bertugas sejak selasa lalu hingga akhir bulan ini, di mana tujuh kesalahan utama telah dikesan dilakukan pemandu kenderaan dan tindakan akan diambil. Antara kesalahan yang akan dikenakan tindakan oleh peronda UPKL adalah tidak memakai tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong garisan dan menggunakan lorong kecemasan,” ujar Zulkarnain.

Katanya lagi, peronda UPRL tidak akan mengadakan sekatan jalan raya di sepanjang lebuh raya, sebaliknya saman ke atas pemandu kenderaan yang didapati melakukan kesalahan itu akan dikeluarkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Tindakan mengeluarkan saman ke atas pemandu yang melakukan kesalahan itu terpaksa dikeluarkan di R&R bagi mengelakkan kesesasakan aliran trafik.