Proton X70 – warna luaran dan dalaman

Proton X70 – warna luaran dan dalaman

Ketika pendedahan SUV Proton X70 pagi tadi, kami difahamkan bahawa model ini akan ditawarkan dengan lima warna badan berbeza, manakala pada bahagian kabin model Premium diberikan kulit Nappa berwarna perang sementara model lebih rendah menerima kulit sintetik berwarna hitam. Walau bagaimanapun, gambar rasmi yang diberikan kepada kami hanya memaparkan warna badan merah dan kelabu, serta kabin dari versi tertinggi.

Nak tahu macam mana rupa SUV ini dengan warna standard lain iaitu puith, perak dan coklat/perang? Nah, kami sediakan untuk anda agar tidak perlu untuk hanya membayangkannya dalam kotak fikiran. Bukan setakat warna badan, bahagian kabin untuk model yang diberikan kulit berwarna hitam turut kami sertakan.

Secara keseluruhan, bentuk luaran X70 adalah hampir seiras dengan Boyue facelift dan diberikan sedikit sentuhan dengan elemen masyarakat Malaysia. Pada bahagian hadapan, gril asal Boyue digantikan dengan gril Proton yang dihasilkan diinspirasikan dari busur panah dengan kemasan krom, manakala rekaan bahagian tengahnya digelar infinite weave yang diambil dari elemen ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi melayu.

Proton X70 – warna luaran dan dalaman

Begitu juga pada bahagian dalaman, keseluruhannya masih lagi sama dengan kembarnya dari China. Namun, jika gril pembesar suara dan kemasan bahagian belakang pembuka pintu Boyue diberikan rekaan ‘G’ yang membentuk motif seperti dinding tembok besar negeri China, komponen yang sama pada X70 menerima elemen infinite weave seperti pada gril hadapan.

Proton X70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu model asas Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Kesemua varian ini bakal dijana enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik.

Seperti yang tercatat pada varian, X70 ditawarkan dengan sistem pacuan hadapan dan juga versi dengan sistem pacuan semua roda. Menurut spesifikasi untuk Boyue pasaran China, model TGDI pacuan hadapan dengan berat 1,690 kg adalah 7.8 liter untuk perjalanan 100 km (12.8 km/l).

Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk kamera 360-darjah yang memaparkan halangan persekitaran kereta dalam bentuk 3D, dan juga kamera pandangan hadapan diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan yang dihubungkan kepada sistem bantuan pemanduan, terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dan cruise control adaptif.

Proton X70 – warna luaran dan dalaman

X70 juga dibekalkan dengan ciri “Kawalan Jauh Telefon Pintar” dan “Penyegar Udara Pintar” – dinyatakan menerusi perkataan sistem “Air Cleaner” yang terletak di bahagian atas liang pengahawa dingin belakang. Sistem pemantauan angin tayar turut diberikan.

SUV ini diberikan port USB yang cukup banyak – dua untuk penumpang hadapan dan pemandu, dua untuk penumpang belakang dan satu lagi di belakang cermin pandang belakang bagi memudahkan pemasangan dash cam. Model Premium dilengkapi dengan pengawal kedudukan tempat duduk penumpang hadapan tambahan yang diletakkan pada bahagian sisi seperti pada Toyota Camry, dan juga subwoofer yang diletakkan pada bahagian atas tayar gantian.

Harga untuk SUV ini masih lagi belum diumumkan, tetapi jika anda benar-benar berminat dengan Proton X70 ini, tempahannya akan dibuka esok, 8 September 2018 dengan bayaran RM1,000.

GALERI: Gambar rasmi Proton X70

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required