Gergasi automotif Jepun yang juga terkenal dengan penghasilan teknologi hibrid – Toyota – kini dilaporkan sedang dalam perbincangan berkenaan kerjasama dalam teknologi tersebut dengan jenama dari China iaitu Geely, menurut Reuters. Toyota memberitahu kepada agensi berita tersebut menerusi satu kenyataan bahawa pihaknya bersama Geely kini sedang “berkomunikasi bersama” berkenaan teknologi hibrid.

Aspek yang dibincangkan masih lagi belum jelas, namun menurut sumber yang rapat dengan perkara ini menyatakan bahawa ia adalah berkaitan dengan syarikat pembekal teknologi bateri hibrid dari China, di mana Toyota dan Geely telah pun mempunyai kerjasama tetapi secara berasingan.

“Toyota telah menjalankan perniagaan dengan polisi terbuka yang turut membabitkan teknologi elektrik. Hubungan dengan Geely (yang sedang diteroka Toyota) juga berdasarkan pada polisi terbuka ini,” kata kenyataan tersebut. Respon ini adalah berikutan laporan media China yang menyatakan Geely kini sedang berkerjasama dengan Toyota berkenaan teknologi hibrid, dan perinciannya akan diumumkan tidak lama lagi. Geely walau bagimanapun enggan memberi sebarang komen.

Laporan ini menunjukkan bahawa Toyota kini sedang berusaha dalam pembangunan teknologi-teknologi baharu untuk pertumbuhan masa hadapan. Ia juga sebagai salah satu langkah bagi meningkatkan lagi jumlah jualan di China yang juga kini dikenali sebagai pasaran paling besar di dunia. Jenama tersebut telah pun memasarkan model hibrid menerusi model Corolla dan Levin sejak 2015 dan bercadang untuk membawa sedan-sedan dalam versi hibrid plug-in (PHEV) tahun hadapan.

Geely pula kini mempunyai platform asas B-segment Modular Architecture (BMA) yang direka bagi membolehkan pelbagai unit janakuasa dipadankan termasuk sistem hibrid plug-in, hibrid biasa dan juga hibrid ringkas. Bagi model sedan flagship Geely Bo Rui GE pula, ia ditawarkan dengan pilihan janakuasa MHEV dan PHEV, namun sistem berkenaan adalah berbeza sama sekali dengan teknologi hibrid konvensional dari Toyota.