Geely Borui GE – pilihan hibrid MHEV dan PHEV, enjin turbo 1.5L tiga-silinder dibina bersama Volvo

Geely Borui GE – pilihan hibrid MHEV dan PHEV, enjin turbo 1.5L tiga-silinder dibina bersama Volvo

Versi janaan teknologi hibrid untuk Geely Borui iaitu Borui GE telahpun diperkenalkan pada Beijing International Auto Show lalu. Sedan segmen-D yang dibina untuk pasaran China tersebut kini ditawarkan dalam dua janakuasa lebih mesra alam plug-in hybrid (PHEV) serta mild hybrid (MHEV), dan Geely sudahpun mendedahkan lebih perincian dua varian terbaharu tersebut.

Kedua-dua unit janakuasa yang dibina bersama Volvo tersebut menggunakan enjin petrol 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan 177 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 1,500 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh-kelajuan, namun kedua-duanya diberikan sistem hibrid berbeza.

Bagi sistem MHEV, ia diberikan motor penghidup generator dipandu dengan tali sawat (BSG) 48-volt yang dihubungkan kepada sebuah bateri kecil diletakkan pada bahagian belakang. Secara keseluruhan, model MHEV ini menjana kuasa 190 hp dengan tork maksima 300 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat. Malah penggunaan bahan apinya juga dicatatkan hanya pada 5.8 liter setiap 100 km.

Geely Borui GE – pilihan hibrid MHEV dan PHEV, enjin turbo 1.5L tiga-silinder dibina bersama Volvo

Selain dari memmberikan kuasa dan tork tambahan kepada enjin apabila diperlukan, BSG berkenaan turut berperanan dalam sistem start-stop automatik, penghasilan semula kuasa ketika membrek atau meluncur dan juga mengecas semula bateri. Namun, sistem hibrid ringkas tersebut tidak membolehkan Borui GE MHEV ini bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik semata-mata.

Manakala untuk Borui GE PHEV, ia diberikan sistem hibrid yang lebih menyeluruh. Secara keseluruhan sistem PHEV berkenaan membekalkan kuasa 257 hp dan tork maksima 425 Nm, cukup untuk mengerah sedan berkenaan memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat. Penggunaan bahan api juga lebih ekonomik dengan hanya 1.6 liter setiap 100 km.

Sistem lebih rumit ini juga membolehkan Borui GE PHEV bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak 60 km , selain dari mod hibrid (enjin petrol dan motor elektrik beroperasi sekali) dan battery save (bateri di cas ketika berjalan bagi digunakan kemudian).

Memerlukan kuasa elektrik yang lebih besar, versi ini PHEV ini juga diberikan bateri yang lebih besar dari MHEV, dan ia mampu dicas ketika meluncur, membrek dan juga menggunakan pengecas plug-in.

Secara standard, Borui GE PHEV diberikan pengecas 3.3 kW, namun pembeli ditawarkan dengan opsyen pengecas 6.6 kW yang lebih berkuasa. Menurut Geely, bateri untuk sistem tersebut mampu dicas penuh dalam masa hanya 1.5 jam menggunakan pengecas biasa 220-volt.

Kedua-dua model PHEV dan MHEV direka dengan bentuk hampir sama, begitu juga dengan dimensinya. Borui GE diukur dengan 4,986 mm panjang, 1,861 mm lebar dan 1,513 tinggi dengan jarak roda 2,870 mm. Untuk pengendalian, kerangka kereta ini diberikan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan, suspensi multi-link di belakang, stereng berkuasa elektrik dan juga brek cakera untuk kesemua roda.

Geely Borui GE – pilihan hibrid MHEV dan PHEV, enjin turbo 1.5L tiga-silinder dibina bersama Volvo

Dua set roda boleh diberikan untuk kedua-dua model bergantung kemasan yang dipilih , terdiri dari rim 17-inci dengan tayar 215/55R17 dan juga rim 18-inci dengan tayar 235/45R18. Namun untuk tangki bahan api pula berbeza antara kedua-duanya – 70 liter untuk MHEV dan hanya 50 liter untuk PHEV.

Dari segi kelengkapan pula, Borui GE diberikan lampu hadapan dan belakang LED, bumbung suria panaromik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit, tempat duduk larasan berkuasa dengan fungsi memori dan pengurut, lampu suasana serta sistem penghawa dingin automatik dua zon bersama penyegar udara.

Namun, itu semua adalah kelengkapan biasa yang turut boleh ditemui pada sedan segmen-D lain. Kabin Borui GE diberikan dua skrin – pertama paparan instrumen digital dengan skrin LCD untuk pemandu yang hadir dengan dua pilihan – tujuh- atau 12.3-inci – bergantung kepada varian kemasan. Yang kedua pula adalah skrin infotainmen yang boleh juga boleh dipilih dalam dua saiz iaitu 10.2- atau 12.3-inci.

Sistem infotainmen berkenaan menerima sokongan servis hubungan 4G, ekosistem pintar GKUI, pengenal suara pintar, sistem navigasi Garmin serta jaringan media atas talian komprehensif. Varian-varian terpilih turut akan dilengkapi dengan sistem audio Harman Kardon bersama lapan- atau 14-pembesar suara. Untuk pengetahuan anda, pembesar suara pada papan pemuka kereta ini direka dengan inspirasi diambil dari sebuah jambatan yang popular di China.

Pelbagai ciri keselamatan dan bantuan pemandua elektronik turut diberikan pada Borui GE ini, antaranya cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik pintar, pemantau titik buta, pengesan papan tanda had laju, paparan heads-up, bantuan parkir, dan yang paling menarik kunci dengan paparan skrin.

Ia juga hadir dengan tujuh beg-udara, cagak tempat duduk Isofix, pemantau tekanan angin tayar dan juga kamera 360-darjah. Geely Borui GE MHEV ditawarkan dalam lima tahap kemasan berbeza dan akan dijual di China pada harga bermula 136,800 yuan (RM84,941) hingga 179,800 yuan (RM111,640). Manakala Borui PHEV pula ditawarkan dengan hanya tiga tahap kemasan, dijual pada harga bermula 166,800 yuan (RM103,568) hingga 199,800 yuan (RM124,058) setelah menerima subsidi tempatan.

Geely seperti yang diketahui merupakan pemilik Volvo, dan terdapat berberapa elemen rekaan jenama Sweden tersebut diterapkan pada sedan dari China ini, contohnya pada paparan instrumen digital. Selain itu, jenama ini juga kini merupakan rakan strategik jenama automotif nasional kita, Proton dan kini kedua-dua syarikat tersebut sedang membangunkan SUV pertama Proton diasaskan dari Geely Boyue. Jadi, agak menarik juga sekiranya Borui ini dijelmakan dalam bentuk Perdana generasi berikutnya bukan? Apa pendapat anda?



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required