Audi e-tron buat penampilan global – SUV elektrik produksi pertama daripada Audi, kuasa 355 hp/561 Nm

Audi e-tron buat penampilan global – SUV elektrik produksi pertama daripada Audi, kuasa 355 hp/561 Nm

Audi pertama kali menunjukkan model konsep e-tron quattro semasa Frankfurt Motor Show tahun 2015, dan sekarang, model SUV elektrik produksi yang terhasil daripada konsep itu sudah bersedia untuk menemui pasaran dan ia ditunjukkan buat kali pertama di San Francisco, California, Amerika Syarikat.

Ini juga adalah model SUV elektrik produksi pertama daripada Audi dan tidak banyak bahagian pada penampilannya diubah berbanding model konsep. Di depan, ia mempunyai gril Singleframe yang menutupi sistem pengatup aktif yang boleh terbuka dan tertutup bergantung kepada sama ada ia memerlukan penyejukan ataupun tidak.

Gril ini diapit oleh lampu utama yang kemas dan mempunyai pencahayaan yang unik untuk model e-tron ini sahaja. Bawah sedikit, bamparnya mempunyai lekuk yang dapat menghalakan udara kepada bukaan di penjuru, sekaligus sampai ke bahagian brek untuk penyejukan. Bukaan udara di tengah pula menyampaikan udara untuk menyejukkan beberapa bahagian lain yang memerlukan. Soket pengecas terdapat di tepi, berhampiran logo e-tron.

Satu ciri yang menjadi bahan bualan pada e-tron ini adalah cermin sisi virtual, yang menggunakan kamera dan pandangannya dipaparkan pada skrin OLED di dalam kabin. Kami diberitahu, kelengkapan (disediakan sebagai pilihan tambahan) ini adalah sebahagian daripada proses pembangunan asal dan bukannya difikirkan kemudian. Disebabkan itu, ia berintegrasi dengan baik.

Cermin sisi virtual yang terletak pada bahagian luar bukannya sekadar direka untuk menjadi cantik, tetapi juga dapat mengurangkan rintangan angin. Secara keseluruhannya, SUV ini mencatat kecekapan rintangan udara 0.27. Dari dalam, pemandu dapat menyentuh skrin OLED yang digunakan untuk melihat keadaan persekitaran dan ia juga boleh bertindak sebagai lampu penunjuk arah, memaparkan kawasan titik buta dan memberikan amaran.

Masuk ke dalam, kabin kenderaan ini menyediakan fokus lebih kepada pemandu termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen MMI. Seperti yang dapat dilihat pada model Audi terkini yang lain, kenderaan ini juga menggunakan dua skrin sesentuh bertingkat yang mana unit atas adalah untuk fungsi utama manakala unit bawah untuk informasi lain seperti pengawal pendingin hawa dan suis untuk menghantar input tulisan.

Audi e-tron buat penampilan global – SUV elektrik produksi pertama daripada Audi, kuasa 355 hp/561 Nm

Di depan pemandu terdapat kokpit virtual dan heads-up display, manakala di konsol tengah terdapat ruang barangan kecil, penukar gear, perehat tangan kecil untuk menggunakan skrin sesentuh di bawah dan butang pemula enjin. Bahagian ini juga mempunyai pencahayaan suasana yang bersambung dengan lampu di pintu dan lencana pada papan pemuka.

Untuk kuasa, e-tron digerakkan oleh dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar. Untuk motor di hadapan, ia terdiri daripada motor, elektronik dan kotak gear satu kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa 168 hp (125 kW). Motor ini mendapat kuasa daripada bateri 95 kWh yang direka dengan struktur perlanggaran bersepadu untuk keselamatan dan mempunyai empat litar penyejukan.

Untuk motor di belakang pula, Audi menggunakan sistem modular dan ia mempunyai saiz yang lebih besar, tetapi komponen masih sama. Penyampaian kuasa terus di belakang berjumlah 188 hp (140 kW) dan apabila digabungkan dengan kuasa di hadapan, kuasa keseluruhan tetapan pacuan empat roda Quattro elektrik ini mampu menghasilkan 355 hp (265 kW) dan 561 Nm tork.

Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan oleh SUV elektrik ini dalam masa 6.6 saat, tetapi ia juga mempunyai mod boost yang dapat meningkatkan kuasa kepada 402 hp (300 kW) dan 664 Nm tork untuk beberapa saat, iaitu 13 hp (10 kW) di hadapan dan 34 hp (25 kW) di belakang. Apabila menggunakan mod ini, masa pecutan tersebut dapat disingkatkan kepada 5.7 saat. Jarak pergerakan dengan cas penuh pula boleh mencapai 400 km (dalam ujian WLTP).

Untuk e-tron, Audi menawarkan dua penyelesaian mengecas AC untuk di rumah iaitu Charging System Compact yang terletak pada tahap 11 kW untuk pasaran Eropah, dan cas penuh dapat dicapai dapat masa 8.5 jam. Untuk pasaran Amerika Syarikat pula, unit sama ditawarkan dengan tahap 9.6 kW (10 jam untuk cas penuh).

Untuk sesuatu yang lebih maju, Audi ada menawarkan Charging System Connect yang berada pada tahap 22 kW dan boleh mengecas bateri sehingga penuh dalam masa 4.5 jam. Sistem pengecas ini disambungkan kepada aplikasi myAudi dan membolehkan pemilik menetapkan tahap cas yang dimahukan dan merancang pelan waktu mengecas.

Audi e-tron buat penampilan global – SUV elektrik produksi pertama daripada Audi, kuasa 355 hp/561 Nm

Dua sistem mengecas ini menggunakan penyambung Type 2, tetapi memandangkan e-tron ini boleh digunakan terus dengan Combined Charging System (CCS), pemilik juga boleh menggunakan sistem DC untuk mengecas. Menurut Audi, apabila disambung kepada pengecas pantas 150 kW kegunaan umum, ia boleh mencapai tahap 80% atau jarak penggunaan 400 km dalam masa cuma 30 minit.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, e-tron dijual pada harga antara US$74,800 (RM309,346) hingga US$86,700 (RM358,560), dan model paling mahal adalah model edisi khas yang terhad cuma 999 unit. Model ini menggunakan warna luar Daytona Grey, rim Edition One 21 inci, angkup brek berwarna oren dan lampu bawah pintu Edition One.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required