Beberapa keping gambar telah dihantar oleh pembaca kami, Soo Pek Tea yang menunjukkan model Nissan Note e-Power atas jalan di NKVE menggunakan nombor pendaftaran perdagangan (trade plate). Ia kelihatan seperti sebuah model domestik Jepun (JDM) kerana mempunyai pelekat berbentuk bulat di cermin belakang yang menunjukkan ia sebuah model cekap bahan api dan menggunakan trim Medalist yang paling tinggi.

Adakah Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sedang menguji kenderaan elektrik dengan penambah jarak (range extender) ini untuk pelancaran di Malaysia? Mungkin – kerana syarikat itu pernah menyatakan rancangan untuk memperkenalkan model e-Power di Malaysia, tapi pengarah pemasaran mereka juga pernah memberitahu Note tidak termasuk dalam kategori itu. Selain itu, ia juga boleh bermakna ini adalah unit import persendirian yang menggunakan nombor pendaftaran sementara.

Note e-Power adalah sebuah kenderaan yang digerakkan oleh motor elektrik 109 PS dan 254 Nm tork yang diambil daripada Leaf generasi sebelum ini, dan ia mendapat kuasa daripada enjin tiga silinder 1.2 liter 79 PS dan 103 Nm tork. Tiada soket pengecas elektrik pada kenderaan ini kerana motor itu mendapat kuasa daripada enjin petrol, manakala enjin itu sendiri tidak disambungkan kepada mana-mana roda kerana bertindak semata-mata sebagai pengecas bateri.

Penggunaan sistem seperti ini juga membolehkan bateri kenderaan ini dijadikan lebih kecil (20 kali lebih kecil berbanding bateri Leaf), dan dapat diletakkan di bawah tempat duduk hadapan supaya tidak mengganggu ruang dalaman. Secara keseluruhannya, Note e-Power ini boleh memberikan catatan penggunaan bahan api sehingga 37.3 km bagi setiap liter.

GALERI: Nissan Note e-Power