Nissan Note e-Power – enjin 1.2L, sistem hibrid dengan penambah jarak, tanpa soket plug-in, 37.2 km/l

nissan-note-e-power-28_bm

Nissan telah mendedahkan perincian awal berkenaan untuk model Note e-Power, serentak dengan penjualannya yang kini telah bermula di Jepun. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sistem hibrid dengan enjin penambah jarak (range extender) untuk Note ini bukanlah seperti sistem hibrid sedia ada seperti sistem pada jenama Honda atau Toyota. Bagaimana ia berfungsi?

Note e-Power dibekalkan dengan enjin HR12DE 1.2 liter tiga-selinder berkuasa 79 PS/103 Nm. Kuasa dari enjin ini tidak dialirkan ke mana-mana transmisi, gandar dan roda, sebaliknya hanya digunakan untuk mengecas bateri motor elektrik yang akan memacu kereta ini. Jadi, model ini dibekalkan dengan motor elektrik yang sama dari model EV sepenuhnya iaitu Nissan Leaf, berkuasa 109 PS dan tork maksima 254 Nm yang sentiasa bersedia walaupun pedal pendikit belum ditekan.

Dengan tork berada pada tahap maksima walaupun kereta belum bergerak, Note e-Power tidak memerlukan kotak gear dan kuasa dari motor elektrik akan terus dialirkan ke kedua-dua roda hadapan, sama seperti Leaf. Menurut Nissan, dengan enjin penambah jarak yang berfungsi sebagai generator, ia hanya memerlukan bateri yang kecil (hanya 1/20 dari saiz bateri Leaf) untuk menyimpan kuasa, disamping pemandu mendapat kuasa yang sama seperti kenderaan EV sepenuhnya.

nissan-note-e-power-29_bm

Menerusi bentangan sistem ini, Note e-Power mencatatkan penggunaan bahan api 37.2 km untuk setiap liter petrol dalam kitaran ujian JC08 Jepun. Untuk mengurangkan bunyi dari enjin petrol ketika ianya sedang berfungsi, kesemua model menampilkan penebat bunyi lebih banyak pada bahagian hadapan dan belakang, manakala varian tertinggi Medallist turut menerima penebat bunyi pada kedua-dua bahagian sisi bagi menyaring bunyi dari jalan raya.

Untuk membezakan model hibrid dan model petrol standard, e-Power diberikan kemasan biru disekeliling gril dan juga lencana-lencana e-Power ditempat-tempat sepatutnya. Pada bahagian dalaman pula, ia menerima suis penukar mod yang diambil dari Leaf menggantikan tuil penukar gear konvensional. Ia juga diberikan paparan instrumen yang tersendiri yang turut memberikan pelbagai informasi untuk sistem janakuasanya.

Ia dijual pada harga bermula 1,772,280 yen (RM72,000) untuk varian asas e-Power S yang hadir denga lampu hadapan halogen, roda besi 14-inci dengan penutup hab, sistem kunci pintar dengan butang penghidup serta penghawa dingin manual. Untuk varian e-Power X pula, ia dijual pada harga 1,959,120 yen (RM79,600) dan ia ditambah dengan penghawa dingin automatik, Bantuan Brek Pintar serta Amaran Keluar Lorong.

nissan-note-e-power-19-e1478233356905_bm

Varian tertinggi e-Power Medalist pula dijual pada harga 2,244,240 yen (RM91,200) dan ia turut dilengkapi lampu hadapan LED, lampu kabus, roda aloi 15-inci, stereng balutan kulit dan juga perehat tangan bahagian belakang.

Nissan turut mendedahkan perincian terhadap semua model Note facelift dimana kini semua model menerima gril hadapan V-motion yang lebih menonjol, bersambung dengan lampu utama baharu serta bampar hadapan yang disentuh semula – memberikan imej lebih rendah dan lebar pada Note ini. Di bawahnya, gril dengan elemen krom di tengah turut ditampilkan bersama lampu kabus yang direka semula. Lampu belakang LED juga telah diberikan grafik signatur boomerang, dipadankan bersama bampar belakang baharu.

Pada bahagian dalaman, Note menerima roda stereng tiga jejari rekaan rata dibawah yang diambil terus dari Serena generasi baharu. Monitor Pandangan Sekeliling Pintar yang bersepadu dengan cermin pandang belakang diberikan sebagai opsyen.

Untuk model petrol sepenuhnya pula, pembeli diberikan dua pilihan enjin iaitu enjin 1.2 liter HR12DE sama seperti pada model e-Power (tetapi lengkap dengan transmisi dan kuasa dari enjin dialirkan ke roda hadapan) atau enjin 1.2 liter HR12DDR dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 98 PS/142 Nm.

Kedua-dua enjin berkenaan dipadankan bersama kotak gear CVT Xtronic, memacu roda hadapan. Untuk model pacuan semua roda pula, ia turut dipadanakan dengan motor elektrik yang diletakkan dibahagian belakang untuk memacu roda belakang.

Note versi enjin petrol ini dijual pada harga bermula 1,393,200 yen (RM56,700) hingga 1,985,040 yen (RM80,700), dengan pilihan varian S, X, Medalist X, X DIG-S, serta model Medallist suntikan bahan api terus. Nissan juga turut menawarkan pakej Mode Premier untuk varian X, X DIG-S dan model e-Power X yang hadir bersama kit badan Autech serta roda aloi dua ton bersaiz 16-inci.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required