Hyundai i30 N Fastback didedahkan – 2.0L turbo, 275 PS/300 Nm, manual 6-kelajuan, 0-100 km/j 6.1 saat!

Hyundai i30 N Fastback didedahkan – 2.0L turbo, 275 PS/300 Nm, manual 6-kelajuan, 0-100 km/j 6.1 saat!

Sayap penala dan perlumbaan rasmi Hyundai iaitu Hyundai N telah memperkenalkan jentera ketiga dalam barisan model jalan raya mereka iaitu Hyundai i30 N Fastback, diasaskan dari model i30 Fastback standard. Seperti namanya, model ini menampilkan bentuk belakang berbeza dari versi hatchback yang hadir setahun yang lalu.

Dari segi unit janakuasa, model ini nampaknya masih mengekalkan konfigurasi sama seperti versi hatchback, dijana enjin 2.0 liter dengan sistem suntikan petrol terus, hadir dengan dua talaan kuasa – 250 untuk model standard dan 275 PS bagi model dengan Performance Pack. Walau bagaimanapun, kedua-dua versi berkenaan kekal dengan bekalan tork maksima 353 Nm bermula 1,450 hingga 4,000.

Enjin tersebut hanya menerima kotak gear enam-kelajuan manual memacu roda hadapan. Walaupun model ini mempunyai bahagian belakang yang sedikit panjang, prestasinya kekal sama; versi standard mencatat 6.4 saat dalam pecutan 0-100 km/j, manakala versi 275 PS pula mampu mencatatkan 6.1 saat. Kedua-dua model ini mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

Jadi, apa yang membuatkan hatchback dan fastback ini tidak akan bersaing sesama sendiri tentulah disebabkan bentuk badannya. Rekabentuk Fastback ini menyebabkan kereta berkenaan mempunyai dimensi 115 mm lebih panjang dan 30 mm lebih rendah, membuatkan ia kelihatan seperti coupe dengan lima pintu. Selain dari garis bumbung, kerendahan model fastback ini turut disumbang oleh talaan suspensi.

Hyundai i30 N Fastback didedahkan – 2.0L turbo, 275 PS/300 Nm, manual 6-kelajuan, 0-100 km/j 6.1 saat!

Seperti model hatchback juga, versi N untuk Fastback ini turut menerima rupa lebih garang yang terdiri gril hadapan, bampar hadapan dan belakang yang unik untuknya, dan turut diserlahkan dengan jalur merah. Bendul sisi menerima kemasan hitam bersama logo N, manakala pada bahagian belakang diberikan spoiler but dengan sudut lentik yang agresif serta diffuser pada bahagian bawah yang turut menempatkan dua tip ekzos.

Bahagian dalam model ini juga hampir seiras dengan model hatchback. Ia diberikan stereng sport rata di bawah N, serlahan jahitan benang merah pada gaiter gear, tempat duduk dan perehat tangan serta logo-logo N pada tempat sepatutnya. Perubahan ketara tentunya pada bahagian belakang di mana model Fastback ini menawarkan kapasiti but 450 liter (1,351 liter apabila tempat duduk dibaringkan), lebih besar dari model hatchback.

Untuk pemanduan, i30 N menerima sistem kawalan N Grin bagi membolehkan pemandu memilih lima mod berbeza – Eco, Normal, Sport, N dan N Custom – yang boleh dipilih hanya menggunakan butang pada roda stereng.

Tiada perincian lain untuk Performance Pack dinyatakan, namun bagi model hatchback versi dengan pakej tersebut, ia turut hadir dengan rim 19-inci dibaluti tayar Pirelli P-Zero 235/35R19 (225/40R18 pada model standard) angkup brek N berwarna merah, cakera brek lebih besar (18-inci di hadapan, 17-inci di belakang), LSD elektronik dan juga sistem ekzos bervariasi. Kesemua ciri ini sepatutnya masih sama pada model Fastback berkenaan.

Pembeli juga boleh memilih antara dua sistem infotainmen. Sistem asas display audio diberikan skrin sesentuh LCD kapasitif lapan-inci, kamera undur dan Bluetooth, manakala pilihan dengan sistem navigasi pula akan disertakan dengan langganan servis “Live” selama tujuh tahun. Namun kedua-dua pilihan ini hadir standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Skrin infotaimen pada model berprestasi tinggi ini juga menampilkan menu skrin N Mode. Menerusi menu ini, pemandu boleh membuat tetapan untuk enjin, sistem rev-matching, bunyi ekzos dan juga larasan lain untuk Performance Package.

Manakala untuk ciri keselamatan, i30 N Fastback menerima teknologi keselamatan aktif dan bantuan pemanduan terkini SmartSense. Ia terdiri dari sistem Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Tumpuan Pemandu, Bantuan Kekal Laluan, Bantuan Lampu Tinggu, dan Amaran Had Laju Pintar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required