Tiada sebab untuk projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dibatalkan walau pun negara sedang mengalami masalah kewangan. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, projek lebuhraya empat lorong sepanjang 73 km itu berjalan lancar setakat ini, laporan Bernama.

“Semua projek atas kepentingan rakyat tetap kita teruskan dan tidak ada sebab kita berhentikan, cuma rakyat harus bersabar dengan kedudukan ekonomi sekarang,” katanya kepada pemberita semalam. Ia adalah bagi mengulas status lebuhraya tersebut sama ada ditangguhkan pembinaan atau sebaliknya, berikutan masalah kewangan dihadapi negara.

Menurut laporan terbabit, setakat ini, Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok melibatkan laluan sejauh 10.5km telah siap dan dibuka kepada pengguna mulai Ogos lepas, manakala pakej 2A (Kadok-Ketereh) dan pakej 2B (Ketereh-Kok Lanas) sedang dalam pembinaan. Pakej 1B, 2A dan 2B merupakan fasa pertama daripada tiga fasa bagi projek lebuh raya itu yang dianggarkan melibatkan kos RM1.8 bilion.