Anda mungkin pernah mendengar tentang Durian Works, yang hasil kreatifnya pernah kami tampilkan di laman web ini. Walau pun ia bukanlah versi modifikasi bagi Perodua Myvi, namun perekanya telah menghasilkan pula imej render bagi versi elektrik, yang dipanggil Myv-E.

Dibaluti warna putih, hatch hasil render ini turut menampilkan beberapa ciri gaya kenderaan elektrik, termasuk gril yang dihitamkan sepenuhnya, lencana biru, lampu LED dengan lapisan biru dan roda aerodinamik. Malahan ia juga diterapkan dengan gril bawah yang besar dengan pencahayaan ungu.

Pada bahagian belakangnya, cermin Myv-E dipanjangkan ke bawah hingga ke lencana Perodua, sementara lampu belakang LED telah direka semula dengan bentuk trapezoidal yang nipis dan grafik dalaman yang disemak semula. Corong palsu pada bahagian sudut bampar bawah dikekalkan, tetapi plat nombor belakang telah dibuang, dan pencahayaan biru kelihatan pada B-pillar, pintu dan spoiler belakang bagi memberikan status emisi-sifar.

Buat masa ini, Perodua tiada perancangan untuk membangunkan Myvi elektrik, disebabkan kekurangan infrastruktur dan perkara yang berkaitan dengan bateri lithium-ion di Malaysia. Begitu juga dengan rakan kongsinya, Daihatsu, yang lebih menumpukan pembangunan dan pembuatan kenderaan janaan petrol di Jepun.

GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2018