E-TAG yang dikeluarkan oleh EFKON Asia Sdn Bhd, penyedia teknologi Sistem Kutipan Tol Infra-merah, telah pun dilancarkankan. Menggunakan jenama sendiri, E-Tag EFKON ini membolehkan pengguna menikmati kemudahan yang ditawarkan di lorong SmartTAG.

Menurut Pengarah EFKON Asia, Helmuth Blasch, generasi terkini peranti yang serasi dengan SMartTAG ini menawarkan kefungsian, kemudahalihan, kebolehpercayaan dan keberkesanan kos yang lebih baik.

“E-Tag dan MaxTAG menampilkan mikropemprosesan baharu dan paparan yang dipertingkatkan untuk prestasi dan kebolehpercayaan yang lebih baik. Peranti TAG infra-merah ini terbukti memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna menerusi transaksi yang selamat di mana jumlah bayaran tol yang tepat dapat dilihat dengan serta-merta. Yang penting tiada kemungkinan pengklonan dan risiko hilang kawalan kewangan anda melalui kesilapan potongan,” ujar Blasch.

Menurutnya lagi, E-TAG dan MaxTAG adalah peranti mudah alih yang boleh turut boleh digunakan pada kenderaan lain serta tidak memerlukan pemasangan khusus untuk kemudahan pengguna.

“Setiap peranti yang diperbuat adalah tahan lasak dan dilengkapi casing kalis hentaman. Oleh kerana ia boleh disimpan di dalam kenderaan dan tidak terdedah kepada keadaan persekitaran luar dan vandalisme, ia boleh bertahan selama 15 tahun atau lebih,” sambungnya lagi.

Dijual pada harga RM143 seunit, peranti ini boleh didapati di rangkaian luar talian termasuk stesen minyak Shell terpilih, kedai-kedai aksesori serta jualan dalam talian MaxTAG di Lazada.com.my dan 11street.my. Ia juga hadir dengan waranti selama setahun dan sekiranya pembeli mahu menambah setahun lagi waranti, kos tambahan akan dikenakan. Sejak diperkenalkan, sebanyak lebih 1,500 unit telah terjual menerusi talian dalam masa empat hari.