Motosikal sports tourer dari Modenas, Dominar 400 yang dilancarkan April lalu kini diumumkan akan dijual dengan harga baru. Seperti yang diumumkan di laman Facebook rasmi Modenas, harga jualannya kini bermula dari RM15,488 berbanding harga pengenalan dahulu iaitu RM14,615 (RM13,788 jika tanpa GST). Ini melibatkan perbezaan sebanyak RM873.

Modenas Dominar 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkapasiti 373 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 35 PS pada 8,000 rpm manakala tork pula 35 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini juga hadir dengan teknologi Digital Triple Spark Ignition (DTSi), empat injap, sejukan cecair serta sistem suntikan minyak.

Ciri-ciri lain yang melengkapi model ini antaranya ialah lampu utama LED penuh dengan fungsi nyalaan auto, yang membolehkan motosikal ini dilihat dari jarak sejauh 1.5 km. Selain itu, brek cakera untuk bahagian depan (320 mm) dan belakang juga disediakan, memberi daya henti yang cekap.

Ikuti juga laporan tunggang uji ringkas yang kami lakukan. Jadi macam mana, dengan kenaikan harga ini, Dominar kekal berbaloi untuk dimiliki?