PANDANGAN AWAL: Modenas Dominar 400 sediakan pakej yang berbaloi, tunggangan masih lincah, selesa

PANDANGAN AWAL: Modenas Dominar 400 sediakan pakej yang berbaloi, tunggangan masih lincah, selesa

Bulan April ini, pasaran motosikal Malaysia menjadi meriah dengan ketibaan dua motosikal yang menarik. Pertamanya adalah kapcai VF3i 183 cc daripada SYM, dan satu lagi adalah Dominar 400 yang dilancarkan oleh Modenas bersama rakan kongsinya, Bajaj Auto dari India.

Dominar 400 ini dibawa ke Malaysia selepas kedua-dua syarikat melihat penerimaan baik melalui model Bajaj yang diperkenalkan sebelum ini iaitu NS200, RS200 dan V15. Melalui ketiga-tiga model tersebut, jualan keseluruhan Modenas telah meningkat 11% dan prestasi lebih baik disasarkan dengan ketibaan Dominar 400.

Sebenarnya, Malaysia antara pasaran yang boleh dikira lambat menerima Dominar 400 ini. Ia telah dipasarkan di lebih 17 negara di seluruh dunia dan di Filipina juga ia telah dijual di bawah nama Kawasaki. Bermaksud, Dominar 400 ini bukanlah model yang begitu baru, dan menurut Bajaj, ketahanannya telah diuji.

Pelancaran Dominar 400 di Malaysia dianggap sebagai mencetus satu fenomena baru kerana harganya cuma RM14,615, sedangkan motosikal lain yang menggunakan enjin kapasiti lebih rendah daripadanya juga ada yang dijual lebih mahal seperti Yamaha R25 pada RM20,630 dan Honda CBR250R RM21,940.

Jika dibandingkan pula dengan motosikal yang mempunyai enjin sama dengan Dominar 400, iaitu KTM Duke 390, harganya juga berbeza hampir separuh, di mana Duke 390 dijual pada RM28,800. Sebagai maklumat, Bajaj juga memiliki sebahagian besar pegangan dalam syarikat KTM.

Sudah tentu, Duke 390 mempunyai beberapa kelebihan seperti suspensi WP, meter digital yang boleh disambung dengan aplikasi, kerangka Trellis serta penampilan yang lebih moden, tetapi Dominar 400 masih mempunyai tarikan sendiri, terutama sekali apabila memikirkan pakej keseluruhan yang diberi pada harganya.

Walaupun menggunakan enjin asas sama seperti Duke 390, iaitu unit satu silinder 373 cc, Bajaj telah memberikan sentuhan mereka yang tersendiri, iaitu dengan memadankan ia dengan head Digital Triple Spark Ignition (DTSi) yang mempunyai tiga palam pencucuh. Mungkin ada perkara tertentu yang mahu dicapai seperti kelancaran, tetapi pada jumlah kuasa keseluruhan, ia sedikit kurang iaitu 35 PS pada 8,000 rpm manakala Duke 390 mempunyai kuasa 43.5 PS pada 9,000 rpm. Tork Dominar 400 adalah 35 Nm pada 6,500 rpm.

Perkara pertama yang ditakuti pada Dominar 400 adalah kekurangan kuasa, apatah lagi melihat badannya yang jelas adalah lebih gemuk dan besar (lebih berat sekitar 30 kg) berbanding Duke 390. Kata wakil Bajaj, rekaan ini digunakan bagi menjadikan motosikal itu nampak seperti sebuah motosikal berkuasa tinggi yang sebenar.

Tetapi, setelah berpeluang menguji motosikal ini, saya boleh katakan ia mempunyai kuasa yang cukup. Motosikal tidak terasa berat, dan apabila pendikit dipulas, anda akan dapat merasa tarikan ke hadapan yang memerlukan anda untuk fokus. Kalau motosikal itu kurang kuasa, biasanya kita masih boleh bersahaja ‘mengira tiang’ walaupun sudah memulas habis pendikit tapi pada Dominar 400 ini ia tidak sebegitu.

Perkara ini saya sedari sewaktu diberi peluang menunggang Dominar 400 dari Glenmarie ke Bukit Tinggi dan Genting Highlands, kemudiannya berpatah balik hujung minggu lalu. Ia adalah satu sesi yang pendek tetapi sekurang-kurangnya kami dapat memberikan pandangan awal berkenaan motosikal yang menjadi perhatian ramai ini.

PANDANGAN AWAL: Modenas Dominar 400 sediakan pakej yang berbaloi, tunggangan masih lincah, selesa

Mahu juga dikatakan di sini, walaupun suspensi Dominar 400 ini adalah biasa sahaja – fork teleskopik 43 mm di hadapan dan monoshock di belakang – tanpa sebarang pelarasan kecuali pra beban di belakang, ia masih dapat memberikan tunggangan yang meyakinkan, termasuk apabila dibawa agresif di jalan berliku. Memang, jika monoshock tersebut sedikit lebih keras ia akan lebih dihargai, tetapi nanti akan menjejaskan keselesaan pula.

Bermakna, dalam keadaan standard ini sahaja, anda sudah boleh melayan selekoh, atau berlatih cara yang betul. Namun, kalau anda betul-betul seorang yang agresif, tayar MRF tersebut mungkin boleh ditukar kepada tayar yang lebih mencengkam demi mendapatkan lebih keyakinan. Pengalaman saya dengan tayar ini, walaupun hari itu panas terik, sedikit gelinciran dapat dirasa beberapa kali.

Semakin lama saya membelasah Dominar 400 ini, semakin saya kagum. Memanglah ia tidak mencapai tahap sebuah motosikal berprestasi tinggi, tetapi pakej yang diberi pada harganya cukup berbaloi dan ia sebuah motosikal yang boleh disaran kepada yang berminat.

Sama juga keadaannya dengan bahagian brek. Unit yang digunakan adalah set cakera 320 mm serta angkup Bybre dua piston di hadapan dan cakera 230 mm bersama angkup satu piston Bybre di belakang, dan keduanya berfungsi baik untuk berhadapan dengan tunggangan bersemangat di jalan berliku Bukit Tinggi. Untuk brek hadapan, dengan menarik tuil menggunakan dua jari sahaja, saya sudah mendapat cengkaman yang diingini.

Sesi saya waktu itu bersama tiga lagi wakil media yang boleh dikatakan paling pantas, jadi Dominar 400 ini memang dibawa ke tahap ekstrem walaupun sebenarnya kebanyakan motosikal yang digunakan masih baru dan belum lagi ‘pecah dara’. Nasib baik, tiada satu pun yang bermasalah, dan semuanya masih berfungsi baik walaupun diperah hampir sepanjang masa sehingga tahap rpm paling tinggi iaitu 9,500 rpm.

PANDANGAN AWAL: Modenas Dominar 400 sediakan pakej yang berbaloi, tunggangan masih lincah, selesa

Maafkan saya jika banyak menyatakan tentang tunggangan agresif menggunakan motosikal ini tetapi begitulah keadaan yang dilalui waktu sesi singkat ini. Dominar 400 sebenarnya dinamakan sebagai sebuah tourer, dan saya boleh faham apa yang dilakukan oleh Bajaj untuk menjadikannya baik dalam aspek itu. Tempat duduknya empuk, dan posisi tunggangan juga selesa tanpa perlu meregang untuk mencapai pemegang.

Enjin satu silinder yang digunakan, tanpa dapat dielak memang mempunyai gegaran dan raungan yang sudah menjadi kebiasaan, tetapi sekurang-kurangnya ia tidak begitu menjejaskan keselesaan. Kelancaran operasi serta klac jenis assist/slipper yang ringan pada Dominar juga boleh dipuji, menjadikan penukaran sepanjang enam gearnya serba mudah.

Habis sesi ringkas ini, hanya satu perkara yang saya rasa kekurangan pada Dominar 400, iaitu penunjuk kedudukan gear. Panel paparan meter LCD pada motosikal ini boleh dikatakan sedap mata memandang, tetapi saya kerap menoleh untuk melihat kedudukan gear, tetapi rupanya ia tidak disediakan. Yang ada cuma shift light yang menyala pada tahap lebih sedikit daripada 8,000 rpm.

Berkenaan penampilan, saya rasakan Dominar 400 ini mempunyai gaya yang mudah diterima dan perkadarannya juga agak baik. Tiada bahagian yang kelihatan pelik, dan pilihan warna juga agak menarik iaitu biru dan merah gelap metalik, serta hitam semua.

Jika anda tidak suka dengan penghadang enjin besi yang terkeluar di tepi itu, ia mudah untuk dicabut dan boleh diganti dengan frame slider yang lebih digemari pemilik motosikal di negara kita. Lampu hadapan dan belakang Dominar 400 ini juga menggunakan unit LED.

Antara perincian lain yang Dominar 400 adalah termasuk tangki bahan api 13 liter, sistem ABS two-channel, lampu biru pada butang kawalan di pemegang dan jarak kelegaan dari tanah 157 mm. Pada risalah jualan motosikal ini, laju maksimum yang dicatat adalah 148 km/j, tapi saya dapati ia boleh pergi lebih daripada itu, sehingga 160 km/j.

Untuk pengetahuan anda, harga RM14,615 termasuk GST untuk Dominar 400 ini adalah harga pengenalan, dan ia mungkin boleh berubah pada masa hadapan. Jaminan yang diberikan pula adalah selama dua tahun atau 24,000 km, bersama lima servis pertama percuma.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required