TUNGGANG UJI: Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

TUNGGANG UJI: Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

Modenas tahun ini mengorak langkah baru apabila mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat dari India iaitu Bajaj Auto. Hasil daripada itu, tiga model motosikal Bajaj dilancarkan di Malaysia iaitu RS200, NS200 dan V15. Setiap satunya mempunyai sasaran pelanggan yang tersendiri dan memberi lebih pilihan kepada pengguna.

Sebelum ini kita sudah melihat bagaimana prestasi RS200 dan NS200, yang berkongsi asas sama cuma panel badannya sahaja yang berbeza, iaitu sebuah sports, dan sebuah lagi naked, dan kali ini kita lihat pula apa yang ditawarkan oleh model cruiser V15.

Ada yang menggelar V15 ini sebagai cafe racer tetapi saya rasakan ia kurang sesuai, terutamanya kerana motosikal ini masih lengkap dengan pelbagai aksesori, sedangkan cafe racer pula lebih ringkas. Dengan sedikit pengubahsuaian, barulah ia boleh dipanggil sebegitu. Apapun, V15 ini seakan mengingatkan kita kembali kepada model Jaguh yang pernah dipasarkan oleh Modenas bermula pada penghujung tahun 90-an. Rekaannya sedikit klasik dan mahu mengetengahkan gaya yang tersendiri.

Secara keseluruhannya ia nampak mudah diterima, tetapi bagi saya ada beberapa bahagian yang kurang digemari dan perlu diubah supaya lebih menarik. Antaranya adalah lampu hadapan – sekiranya ia adalah unit bulat yang ringkas sahaja, ia tentunya akan dapat menarik lebih ramai pengguna, terutama yang muda.

Bagi mereka yang mahukan gaya cafe racer pula, hanya sedikit sahaja yang perlu diubah suai selain lampu hadapan tadi, iaitu bahagian panel belakang yang terletak di bawah tempat duduk penumpang. Jika panel ini dibuang, pastinya ia akan kelihatan lebih bergaya dan jika mahu lebih lagi, bahagian pemegang mungkin boleh direndahkan dan mudguard hadapan dipendekkan. Ini sekadar mahu menunjukkan bagaimana mudahnya untuk mendapatkan gaya cafe racer melalui V15.

Memandangkan V15 ini adalah sebuah model rebadge daripada Bajaj, anda dapat melihat semua lencana yang digunakan masih adalah lencana yang sama seperti keadaan motosikal ini di pasaran India, sementara pada bahagian penutup enjin pula terdapat lencana Bajaj. Nama Modenas yang boleh dilihat pada motosikal ini hanya berada pada bahagian penutup tempat duduk belakang, dan itupun hanya adalah pelekat kecil.

Walaupun begitu, anda tidak boleh mengatakan Modenas hanya mengambil langkah mudah dalam kerjasama ini, kerana menurut temu ramah yang dilakukan oleh rakan sekerja, Hazril Hafiz bersama Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd Kadir, banyak lagi manfaat yang dapat diperoleh. Anda boleh membaca isi menarik temu ramah tersebut di sini.

Identiti V15 terletak penting pada huruf V itu sendiri, yang diambil daripada nama Ins Vikrant, iaitu sebuah kapal perang pengangkut pertama India. Pada bahagian penutup tempat mengisi minyak, anda akan dapat melihat tulisan yang menyatakan motosikal ini menggunakan bahagian besi daripada kapal itu, namun tidak pasti sebetulnya bahagian yang mana. Sebab itulah V15 dipasarkan di India dengan motto “sebahagian motosikal, sebahagian hero perang.”

Aspek patriotik ini dianggap sebagai tarikan tambahan kepada bentuk yang sememangnya digemari oleh pengguna motosikal di sana (selain motosikal yang berbentuk seperti Yamaha FZ150i). Walaupun begitu, pada pendapat saya, bentuk ini bukan sekadar dihargai kerana penampilannya, tetapi ia juga memberikan posisi tunggangan yang cukup selesa dan mudah.

Sebagai contoh pada V15 ini, selepas menggunakannya selama beberapa hari, saya dapati tempat duduknya empuk, pemegang dapat dicapai dengan mudah, manakala kaki pula terletak selesa. Ini menimbulkan rasa senang hati apabila menunggang V15, manakala tinggi tempat duduk 780 mm pula memudahkan lebih ramai pengguna termasuk yang berbadan rendah.

TUNGGANG UJI: Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

Turut menyumbang kepada aspek keselesaan motosikal ini adalah tetapan suspensi yang boleh menyerap hentakan serta berhadapan dengan permukaan tidak rata dengan baik. Setakat bonjolan-bonjolan kecil atau tampalan jalan tidak rata yang yang dilakukan oleh kontraktor tidak bertanggungjawab, anda boleh melaluinya dengan bersahaja menunggang V15. Kalau sudah keterlaluan, tunggang motosikal apa pun, ia boleh mengundang bahaya.

Bagi mendapatkan ciri keselesaan ini, sudah tentu, tetapan suspensi V15 adalah sedikit lembut. Ini bermakna, ia tidaklah begitu boleh diharap untuk tunggangan yang agresif. Tetapi apabila difikirkan, bagaimana juga anda mahu menunggang agresif jika enjinnya juga mempunyai karekter santai?

Tiada tarikan yang mengujakan daripada kuasa 12 hp dan 13 Nm yang dapat dihasilkan oleh enjin satu silinder 149.5 cc pada V15, tetapi ia memadai untuk tunggangan biasa. Apabila mula memulas pendikit, anda akan dapat merasa tarikan yang lancar (mungkin hasil daripada tetapan dua palam pencucuh), tetapi apabila kadar rpm semakin meninggi, kuasa tersebut semakin mendatar. Jika menurut risalah, kuasa dan tork maksimum sampai pada tahap masing-masing 7,500 rpm dan 5,500 rpm.

Setakat yang saya cuba, enjin ini hanya dapat memacu V15 hingga ke kelajuan 110 km/j, namun saya lebih tertarik dengan kelancaran kuasa dan pemasukan gear, dari gear satu hingga gear lima, menjadikan tunggangan santai paling sesuai baginuya. Walaupun boleh mencapai 110 km/j, saya pasti anda tidak akan mahu memaksa ia di tahap itu untuk waktu lama kerana apabila mencecah 80 km/j sahaja, getaran akan terasa di bahagian pemegang. Ini bukanlah getaran yang boleh menjejaskan stabiliti motosikal, tetapi lebih kepada mengganggu keselesaan.

Juga mahu dinyatakan di sini bahawa V15 menggunakan operasi lima gear yang luar dari kebiasaan. Dari gear N, anda perlu menyungkit tuil gear untuk masuk ke gear 1 hingga 5, dan menekan kembali tuil ke bawah untuk menurunkan gear. Penghujungnya adalah kembali kepada N. Ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan motosikal berklac biasa yang memerlukan tuil ditekan untuk masuk ke gear 1, dari N, dan barulah menyungkit tuil untuk masuk ke gear 2 dan seterusnya.

Pada mulanya saya beranggapan tetapan gear ini tidak akan begitu menyusahkan, malah lebih mudah untuk meletakkan gear kepada N apabila mahu berhenti. Memang benar, tetapi sekiranya anda tidak berhenti terus (sebagai contoh apabila menghampiri lampu isyarat), dan tiba-tiba mahu bergerak kembali, sedangkan anda sudah berada dalam gear N, anda akan menjadi kekok untuk memasukkan kembali ke gear 1. Memburukkan lagi keadaan, tiada pula lampu petunjuk gear semasa, dan yang ada hanyalah gear N.

Panel meter V15 memang ringkas. Ia terbahagi kepada dua iaitu di sebelah kiri terdapat penunjuk kelajuan analog, manakala kecil di bahagian kiri adalah paparan digital yang hanya manunjukkan tahap minyak, logo Bajaj, lampu amaran dan gear N yang disebutkan awal tadi. Daripada aspek penampilan secara keseluruhan, walaupun tidak begitu moden, rekaan panel meter ini masih boleh diterima, tetapi fungsinya sedikit menghampakan.

Sudahlah nombor pada bahagian kelajuan adalah kecil, jarum penunjuknya pula bergoyang-goyang apabila bergerak, seperti motosikal tahun 80-an. Untuk bahagian minyak pula, sukar mempercayai tahap sebenar secara tepat. Terjadi sendiri kepada saya, di mana pada satu masa, tahap minyaknya sudah turun kepada dua garis lampu sahaja, tetapi apabila enjin ditutup, dan dihidupkan kembali selang beberapa minit, tiba-tiba ia naik semula ke tahap separuh tangki.

Saya sekadar berserah sahaja dengan harapan minyak tidak akan habis tiba-tiba dengan meter masih menunjukkan masih ada. Tetapi apa yang saya tahu, tangki minyak V15 ini adalah besar, iaitu 13 liter dan tangki simpanan pula berkapasiti 1.7 liter. Jarak trip meter juga tiada pada motosikal ini dan yang ada hanyalah odometer. Semasa dipulangkan kembali ke Modenas, meter minyak motosikal ini menunjukkan tahap kurang sedikit daripada tahap separuh, oleh itu saya tidak mengetahui berapa jarak keseluruhan yang boleh dicapai dengan tangki penuh.

TUNGGANG UJI: Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

Melihat kepada bahagian brek pula, tetapan cakera 240 mm di hadapan dan dram di belakang masih dapat memberi kuasa berhenti yang mencukupi walaupun saya sentiasa megerah tenaganya. Bagi brek belakang, demi membantu penunggang menekan brek dengan mudah, pedalnya dibina dengan platform yang lebar berbanding motosikal biasa.

Kemudiannya, ada lagi perincian menarik pada V15 ini dan ia lebih kepada ciri perlindungan. Anda boleh perhatikan, di tepi enjin terdapat palang besi pelindung yang datang standard dan ia dapat memberikan perlindungan sekiranya motosikal terjatuh. Seterusnya, pada bahagian rantai, ia datang dengan pelindung penuh tanpa menampakkan rantai itu sendiri.

Untuk memulaan enjin pula, selain pemula elektronik, anda juga boleh menggunakan penendang kaki atau choke pada waktu yang memerlukan. Saya ada mencubanya, dan dengan sekali tendang sahaja, enjin V15 boleh dihidupkan. Penutup tempat duduk belakang yang anda lihat pada motosikal ini sebenarnya boleh dicabut dan ia boleh dinaiki seorang penumpang. Sepatutnya ia menggunakan allen key yang terdapat pada kunci motosikal tetapi pada unit tunggang uji ini, ia menggunakan skru biasa.

Walaupun mempunyai beberapa kekurangan, secara keseluruhan Modenas V15 masih boleh dipuji kerana ia dipasarkan pada harga menarik, iaitu RM5,989 termasuk GST, sekaligus memberikan pilihan kepada pembeli sasaran pasaran segmennya, untuk mereka yang mahukan tunggangan santai dan gaya yang berlainan daripada kapcai biasa. Selain daripada itu, ia juga mungkin boleh menjadi motosikal asas bagi mereka yang mahu memulakan projek ubah suai.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • BOYRACER on Aug 29, 2017 at 11:19 am

    Blh dipertimbangkan moto ni.Harga berpatutan,150cc lagi tu..x laju x apa punya.Jalan dalam bandar sesuai.Memang ada segelintir akan kata kapchai laju lagi.Memang x salah tapi bagi org yg berbadan besar duduk kapchai kurang selesa.

    Like or Dislike: Thumb up 11 Thumb down 0
  • pok nik on Aug 29, 2017 at 5:21 pm

    kene kecilkan semata dua spoket belakang untuk lenyapkan gegaran.

    Like or Dislike: Thumb up 10 Thumb down 0
  • Zeck Legend on Aug 29, 2017 at 9:23 pm

    Saya berminat dgn motor ney. Dari segi design dan harganya yang rendah berbanding pesaing dalam kategori 150cc. Cuma sedikit hampa dengan kuasa engine 12hp bersamaan dengan Yamaha 135Lc. Namun dengan harga yang lebih murah daripada Yamaha 135LC memang tidak patut untuk dikondem dengan kekurangan kuasa engine…

    Like or Dislike: Thumb up 8 Thumb down 0
  • Hadi Novuo on Oct 22, 2017 at 10:22 am

    Guna Ron 97 kalau mahu kurangkan gegaran, selain kecilkan semata dua sprocket belakang atau naik semata dua sprocket depan.

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required