Modenas hari ini melancarkan tiga model terbaru hasil kerjasama dengan Bajaj Auto dari India. Selain Modenas V15 yang hadir dengan gaya retro, Modenas Pulsar RS200 dan NS200 pula hadir sebagai penawaran sportbike untuk pasaran tempatan – RS200 dengan kelengkapan fairing, manakala NS200 pula merupakan versi naked model yang sama.

Dua model ini dilengkapi enjin 199.5 cc silinder tunggal, SOHC, empat injap dengan sejukan cecair serta sistem suntikan minyak. Ia menjana sebanyak 24.5 PS pada 9,750 rpm dan 18.3 Nm tork pada 8,000 rpm. Kedua-dua enjin juga dilengkapi ciri Triple Spark Technology untuk lebih lancar dan cekap. Model ini juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang juga dari jenis LED yang sama.

Modenas Pulsar RS200 menggunakan sistem suspensi telesopik untuk bahagian depan dengan bush anti-geseran, sementara dibahagian belakang ia menggunakan penyerap hentak monoshock Nitrox dengan canister untuk berfungsi dengan lebih berkesan. Ia juga dilengkapi ciri ABS di hadapan, dengan brek cakera bersaiz 300 mm. Bahagian belakang juga menggunakan brek cakera 230 mm.

Model ini juga dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 13 liter. Dengan berat hanya 164 kg, ia dapat memberikan jumlah jarak perjalanan yang tinggi sebelum memerlukan isian semula. Ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan biru, Modenas Pulsar RS200 dijual pada harga RM11,342, termasuk GST.

Bagi NS200 pula, walaupun secara asasnya merupakan motosikal yang sama, terdapat beberapa perkara yang membezakannya daripada RS200 selain ketiadaan fairing. Antaranya, output yang dijana sedikit kurang, iaitu 23.5 PS dan 18.6 Nm. NS200 didatangkan dengan sistem brek hidraulik bersama cakera 280 mm di depan dan 230 mm di belakang. Tiada ciri ABS untuk model ini.

NS200 juga dilengkapi dengan tangki minyak yang kapasitinya lebih kecil, iaitu 12 liter. Beratnya juga berkurangan, dengan hanya 155 kg; ia lebih ringan dan sangat sesuai untuk tunggangan di dalam bandar. Untuk itu, harganya juga sedikit berbeza; Modenas Pulsar NS200 dijual pada harga RM9,222, termasuk GST.

Modenas Pulsar RS200

Modenas Pulsar NS200