Sebagai langkah untuk mengukuh serta mempelbagaikan lagi barisan produk keluarannya, selain dua model sportbike Modenas Pulsar RS200 dan NS200, sebuah lagi motosikal dengan penampilan retro, Modenas V15 turut dilancarkan hari ini. Ketika-tiga model berkenaan dikeluarkan hasil kerjasama dengan Bajaj Auto dari India.

Modenas V15 dilengkapi dengan enjin 150 cc DTS-i Twin Spark baru, sebuah teknologi yang menggunakan palam pencucuh berkembar, dan menghasilkan janaan kuasa 11.8 hp pada 7,500 rpm dan 13 Nm tork pada 5,500 rpm. Bagi kotak gear pula, ia menggunakan transmisi lima-kelajuan.

Kemampuan membreknya pula menggunakan brek cakera 240 mm di bahagian hadapan, manakala di belakang brek dram 130 mm memikul peranan itu. Penggunaan rim juga berbeza, di depan, rim bersaiz 18 inci digunakan, sementara di belakang pula dipasangkan rim 16 inci.

Mengawal keselesaan tunggangan pula adalah sistem suspensi teleskopik di bahagian hadapan, manakala di belakang pula menggunakan dua penyerap hentak bersama tabung gas Nitrox.

Modenas V15 ini dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 13 liter. Bacaan penggunaan minyaknya didakwa mampu mencapai 53 km/l. Dari congak mudah angka-angka ini, motosikal ini sepatutnya dapat memberikan jarak tunggangan 689 km bagi satu tangki penuh sebelum memerlukan isian semula. Apa pun, semua itu bergantung juga kepada cara tunggangan.

Selain itu, motosikal ini hadir dengan berat 136 kg. Harga jualannya ialah RM5,989 termasuk GST. Adakah model ini sebenarnya disasarkan untuk mengganti Modenas Jaguh 150 cc dahulu?

Modenas V15