Modenas dengan kerjasama strategik bersama Kymco dan Bajaj Auto – ke mana arah tujunya selepas ini?

Modenas dengan kerjasama strategik bersama Kymco dan Bajaj Auto – ke mana arah tujunya selepas ini?

Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd, atau lebih dikenali sebagai Modenas selaku sebuah jenama pengeluar motosikal tempatan pernah menghasilkan model-model motosikal yang menerima sambutan hangat dipasaran tempatan.

Sejak lama dulu, motosikal jenis moped atau kapcai – sebuah segmen yang memiliki peratusan perkongsian pasaran paling besar bagi keseluruhan jumlah motosikal yang dijual di Malaysia – menjadi taruhan terbaiknya dan berhasil meraih perhatian serta mengukuhkan jenama itu.

Namun, itu pada waktu kemuncaknya, kira-kira dalam tahun awal 2000an. Kini, suasana sudah berubah, begitu juga dengan selera dalam pasaran yang kian terbuka dengan penawaran yang lebih pelbagai. Ini termasuk penawaran motosikal yang hadir dengan kapasiti enjin yang lebih besar.

Kemudian tiba pada ketikanya Modenas seolah-olah begitu senyap dari radar dan terlepas dari perhatian pengguna di sini. Tiada perkembangan menarik, atau tiada model-model baru yang mampu meraih semula kedudukan yang pernah dicapai itu. Sehinggalah beberapa waktu kebelakangan ini, ketika syarikat itu memperkenalkan enam model motosikal baru – tiga skuter dan tiga streetbike – hasil dari kerjasama dengan dua rakan strategik luar, iaitu Kymco dari Taiwan dan Bajaj Auto dari India.

Modenas dengan kerjasama strategik bersama Kymco dan Bajaj Auto – ke mana arah tujunya selepas ini?

Satu daripada model skuter yang diperkenalkan, Modenas Elegan 250, menerima sambutan hangat. Begitu juga dengan dua model Bajaj; Pulsar NS200 dan Pulsar RS200. Ia sampai ke tahap kurangnya bekalan jika dibandingkan dengan permintaan yang diterima — unit untuk dipamerkan di bilik pameran juga terhad, dan kepada yang membuat tempahan, mereka perlu menunggu agak lama (jika dibanding dengan motosikal lain) sebelum penyerahan dibuat.

Bahkan ada juga yang memandang sinis kerjasama dengan rakan strategik luar yang dilakukan. Ia kelihatan sebagai satu jalan mudah untuk syarikat itu; kerana apa yang dilakukan ialah mengambil model-model sedia ada daripada rakan strategik berkenaan, kemudian rebadge dan memasarkannya di sini.

Jadi untuk mendapatkan maklum balas tentang perkara ini, serta untuk memahami apa sebenarnya yang ingin dilakukan oleh Modenas dalam pelan jangka waktu panjang syarikat itu, kami berkunjung ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd Kadir untuk mendengar sendiri respon beliau berkaitan isu-isu yang dibangkitkan. Ikuti inti soal jawab ini.

Modenas dengan kerjasama strategik bersama Kymco dan Bajaj Auto – ke mana arah tujunya selepas ini?

Elegan 250, dan tiga motosikal paling baru, Pulsar NS 200/RS 200 dan V15 khabarnya dapat sambutan yang sangat menggalakkan sehinggakan pelanggan yang berkunjung ke kedai motosikal pun ada yang masih tak dapat melihat model berkenaan kerana stok yang kurang. Apa cara Modenas nak atasi masalah ini?

Permintaan yang kami terima selepas pelancaran model-model berkenaan berada di luar jangkaan dari sasaran awal yang diletakkan. Jadi, walaupun kapasiti pengeluaran kilang di Gurun mampu tampung, tetapi perkara seperti sebahagian komponen yang diperlukan untuk sesebuah model itu berkurangan stok yang tersedia.

Itu yang sedikit melambatkan penyerahan tempahan pelanggan. Apa pun, kami sedang dalam proses untuk memperkemaskan operasi yang terlibat untuk memulihkan situasi ini. Jangkaannya, sekitar bulan Oktober atau November nanti perkara ini akan pulih seperti sepatutnya.

Modenas dengan kerjasama strategik bersama Kymco dan Bajaj Auto – ke mana arah tujunya selepas ini?

Jika kita lihat pada Pulsar NS 200 dan Pulsar RS 200, lambang Bajaj masih jelas kelihatan di kebanyakan tempat dan tidak menggunakan logo Modenas sendiri. Mengapa begitu, adakah ini model rebadge semata-mata?

Modenas tidak melihat begitu. Seperti yang kami jelaskan sebelum ini, Bajaj adalah rakan kerjasama kami. Maksudnya, diantara kedua-dua syarikat ini, masing-masing akan mendapat manfaat yang tersendiri. Begitu juga sebaliknya, jika terdapat kekurangan, ia akan saling melengkapi. Dan, jika ingin menilai usahasama ini, ia tidaklah boleh dilakukan hanya pada tahap produk yang dipasarkan itu sahaja.

Walaupun Pulsar NS 200 dan RS 200 ini kekal menggunakan logo Bajaj, Modenas sebenarnya mendapat manfaat lain yang lebih penting. Misalnya, kilang di Gurun dapat dioptimumkan kapasiti pengeluarannya dalam masa yang singkat. Kita juga boleh belajar banyak dari Bajaj dengan pemasangan model berkenaan di sini. Tambahan pula, enjin 200 cc ini Modenas belum pernah ada. Kami belajar banyak perkara dari usahasama ini, tidak hanya sekadar mahu memasarkan motosikal Bajaj.

Modenas dengan kerjasama strategik bersama Kymco dan Bajaj Auto – ke mana arah tujunya selepas ini?

Masih dalam konteks usahasama antara Kymco dan Bajaj. Apa kriteria pemilihan yang dinilai sebelum Modenas bersetuju untuk memasang atau memasarkan sesebuah model itu untuk pasaran Malaysia? Dan, model apa pula yang akan diperkenalkan selepas ini?

Mudah saja. Setakat ini, Modenas sudah cukup kuat di dalam penawaran segmen moped dan kapai. Jika dilihat kepada barisan model sedia ada pun, Modenas mempunyai barisan model motosikal yang sudah cukup pelbagai dan boleh diharapkan bagi segmen berkenaan.

Jadi, dengan usahasama rakan strategik Kymco dan Bajaj, tentunya kami ingin memanfaatkan model-model dari segmen di mana kedudukan kami belum kukuh sebelum ini serta model-model bagi segmen yang belum pernah diwakili oleh Modenas.

Contoh yang sangat jelas ialah skuter automatik dan juga streetbike, seperti yang tercermin daripada usahasama dengan dua syarikat yang dinyatakan itu. Bagi pengenalan baru nanti, memang ada rancangan untuk memperkenalkan motosikal dengan enjin yang lebih besar dan berkuasa dari kedua-dua jenama berkenaan, tapi perincian lain masih belum boleh didedahkan.

Modenas dengan kerjasama strategik bersama Kymco dan Bajaj Auto – ke mana arah tujunya selepas ini?

Mengapa perlu rakan strategik? Apa perancangan jangka panjang dengan arah tuju baru ini?

Kalau Modenas nak bangunkan semuanya sendiri, ia akan mengambil masa yang sangat lama serta menelan belanja yang sangat besar. Ini faktor utama mengapa Modenas memerlukan usahasama seperti yang sudah dimulakan ini. Dan, perkara tersebut juga perlu dilihat dalam gambaran yang lebih luas, bukan sekadar produk yang diperkenalkan saja.

Sebagai contoh, Modenas juga ingin belajar bagaimana Bajaj dapat memasarkan produknya dengan begitu meluas dan mengaut untung saban tahun. Begitu juga dengan aspek teknikal, kejuruteraan, teknologi serta rangkaian perniagaan lainnya, termasuk khidmat vendor dan akses kepada pasaran eksport; dengan adanya usahasama ini, semua perkara berkenaan akan dapat kita pelajari dan capai dalam tempoh yang lebih singkat.

Inilah yang sedang dilakukan oleh Modenas sekarang, bukan sekadar memasang motosikal lain untuk dipasarkan di sini sahaja. Walaupun sebenarnya perkara itu juga memberi kelebihan kepada pengguna – dapat motosikal yang berkualiti dan terbukti ketahanannya pada harga yang sangat berbaloi.

Modenas juga perlu lari dari imej motosikal murah yang dijuarainya sebelum ini. Sebabnya, terlalu banyak jenama dengan model-model yang lebih murah dijual dalam pasaran ketika ini. Jadi, apa yang boleh diberikan oleh Modenas? Jawapannya ialah nilai bagi setiap motosikal yang diperkenalkan. Bukan lagi murah, tetapi lagi berbaloi dengan harga yang dikenakan. Ini sasaran baru yang kami ingin capai dari segi pembangunan jenama.

Modenas dengan kerjasama strategik bersama Kymco dan Bajaj Auto – ke mana arah tujunya selepas ini?

Apa pula perkembangan semasa bagi enjin 150 cc yang dibangunkan oleh Modenas? Banyak khabar angin yang bertiup, jadi apa status sebenar enjin dan motosikal berkenaan?

Enjin 150 cc ini merupakan enjin pertama yang Modenas bangunkan sendiri. Sebelum ini tak pernah. Kalau ada pun ia dibangunkan secara bersama misalnya dengan Kawasaki dulu. Jadi, bila enjin baru ini buat dari kosong secara bersendirian, tentulah ia memerlukan masa yang sama. Dan kami juga tak ingin mengeluarkannya sekiranya ia belum di uji atau betul-betul bersedia untuk dipasarkan. Kerana, jika ada masalah nanti, ia akan memberi masalah yang lain dan lebih rumit pula.

Perkembangan terkini enjin berkenaan adalah ia kini berada di dalam fasa ujian menyeluruh. Setelah dibangunkan fasa awalnya dengan kerjasama Universiti Graz di Austria, enjin berkenaan untuk beberapa tempoh sedang diuji di Malaysia. Tentulah, di dalam setiap ujian jangka panjang yang dijalankan itu, jika ada perkara yang perlu diperkemas dan dipertingkat, ia akan mengambil sedikit masa.

Walaupun pasaran telah menerima beberapa motosikal 150 cc, Modenas tidak mahu tergesa-gesar mengeluarkannya. Biarlah ia terbukti lasak dan boleh diharap oleh ujian dalaman terlebih dahulu, asalkan bila keluar nanti pengguna puas hati dan tak ada banyak masalah dengan enjin itu. Bila akan diperkenalkan? Itu masih belum boleh dinyatakan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required