PANDU UJI: Ford Ranger 2.0L XLT+ 4×4 – adakah enjin, transmisi baru beri banyak kelainan dan kelebihan?

PANDU UJI: Ford Ranger 2.0L XLT+ 4×4 – adakah enjin, transmisi baru beri banyak kelainan dan kelebihan?

Perkembangan penawaran segmen trak pikap di Malaysia bagi tempoh kira-kira 10 tahun kebelakangan ini merupakan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Tidak pernah sebelum itu trak pikap dilihat dalam jumlah yang begitu banyak di atas jalan raya di sini, beralih dari sebuah kenderaan untuk tugas-tugas lasak dan berat kepada kegunaan seharian untuk segala macam urusan.

Mungkin tahun 2012 lebih tepat menjadi titik tolak kepada perubahan ini. Ia tahun di mana Ford Ranger dalam generasinya yang terbaru ketika itu lari daripada penampilan rekaan berkotak model sama yang ada sebelumnya. Ford Ranger itulah yang kita saksikan lanjutannya – selepas sempat diberikan sentuhan facelift beberapa kali – dan masih kekal hingga ke hari ini.

Ada satu faktor barangkali yang menjadikan Ford Ranger begitu diminati sejak itu; ia merupakan sebuah trak pikap yang tidak lagi ingin berbangga dengan kapasiti enjin yang besar. Ranger sejak itu hadir dengan enjin dengan kapasiti lebih kecil, “Puma” 2.2 liter serta padanan kotak gear automatik enam-kelajuan.

PANDU UJI: Ford Ranger 2.0L XLT+ 4×4 – adakah enjin, transmisi baru beri banyak kelainan dan kelebihan?

Apa kepentingan peralihan ini? Pertama, cukai jalan yang lebih rendah, dan kedua pemanduannya lebih terarah untuk memberikan keselesaan (bagi sebuah trak pikap) – walaupun masih kekal dengan binaan ladder frame yang sinonim dengan jenis kenderaan ini.

Penawaran inilah yang mengubah corak penerimaan pasaran terhadap trak pikap. Ia disusuli pula oleh adanya bahan api diesel yang lebih bersih, diesel Euro 5 beberapa tahun selepas itu. Dengan semua faktor ini diambil kira, maka hari ini trak pikap menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna. Melihat kepada cara penampilan modifikasi yang dilakukan terhadap trak pikap juga boleh dijadikan satu petunjuk kepada hal berkenaan.

Kini, dengan pengenalan barisan model-model dan varian terbaru Ford Ranger – facelift, tetapi dengan tambahan peningkatan sistem janaan yang penting – seperti yang dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan Oktober lalu, Ford Ranger sekali lagi tidak ingin duduk selesa dengan segala apa yang sudah dicapainya selama ini.

PANDU UJI: Ford Ranger 2.0L XLT+ 4×4 – adakah enjin, transmisi baru beri banyak kelainan dan kelebihan?

Sebagai rujukan, ketika pelancaran Ford Ranger baru ini, lapan varian trak pikap berkenaan diperkenalkan. Ia terdiri daripada XL 2.2L Single Cab Manual, XL 2.2L Double Cab Manual, XL 2.2L Double Cab Automatik, XLT 2.2L Manual, XLT 2.2L Automatik, XLT+ 2.0L Automatik, Wildtrak 2.0L 4×2 Automatik dan Wildtrak 2.0L 4×4 Automatik. Tidak lupa juga ada satu lagi varian yang telah dipertontonkan, tetapi belum dilancarkan secara rasmi – Ranger Raptor 2.0L 4×4.

Dan, sekali lagi ia menjadi pelopor bagi segmen trak pikap di negara ini; pengenalan enjin dengan kapasiti yang lebih kecil – dikenali juga sebagai enjin “Panther” 2.0L EcoBlue janaan turbo ditawarkan bagi varian yang lebih tinggi barisan penawaran terbaru ini, bermula dari varian XLT+ dan ke atas. Varian yang lebih rendah kekal menggunakan enjin 2.2L sedia ada dari versi lama. Maka, untuk laporan ini, kita akan memberi tumpuan hanya kepada penawaran enjin baru sahaja.

Enjin 2.0L berkenaan merupakan enjin baru dengan bantuan turbo tunggal (XLT+) dan juga bi-turbo (hanya untuk Wildtrak 4×4 dan Raptor). Lebih menarik, Ranger kini hadir dengan gandingan transmisi automatik baru dengan 10-kelajuan dengan SelectShift (model sebelum ini hanya menggunakan enam-kelajuan sahaja).

PANDU UJI: Ford Ranger 2.0L XLT+ 4×4 – adakah enjin, transmisi baru beri banyak kelainan dan kelebihan?

Itu belum lagi mengambil kira ciri keselamatan yang mengiringinya – Ranger baru ini merupakan trak pikap pertama di sini yang datang dengan ciri autonomous emergency braking (AEB) – bagi varian Wildtrak 4×4 dan tertinggi. Bagi cukai jalan, Ranger 2.0L baru ini hanya dikenakan sekitar RM440 sahaja – perbezaan yang sangat ketara misalnya jika dibandingkan dengan versi Wildtrak 3.2L terdahulu yang dikenakan hampir RM2,000.

Kita tinjau dahulu varian XLT+ 2.0L 4×4 yang sempat kami pandu uji dalam perjalanan ke Ipoh baru-baru ini. Ia dilengkapi enjin 2.0L empat-silinder dengan silinder tunggal yang menjana sebanyak 180 PS (178 hp) pada 3,500 rpm dan 420 Nm tork dari 1,750 hingga 2,500 rpm. Sama seperti penawaran terbaru Ranger, ia digandingkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan dengan SelectShift.

Walaupun jika dilihat sekali imbas seperti tak banyak perubahan yang diberikan pada bahagian rekaan trak pikap ini berbanding model lama, terdapat beberapa kelainan sebenarnya yang membezakan keduanya. Paling utama ialah wajah hadapan; rekaan lampu utamanya baru projektor HID (dengan DRL LED), begitu juga dengan bahagian gril yang kini hadir dengan dua jalur melintang hingga ke hujung.

Untuk memudahkan lagi keluar/masuk ke kabin, Ranger terbaru ini hadir dengan ciri masukan tanpa kunci dan juga butang Push Start untuk menghidupkan enjin – tiada lagi kunci biasa digunakan. Di bahagian belakang pula, perkara paling utama yang telah diberi pembaharuan ialah pintu ruang kargonya kini terasa lebih ringan – dikenali sebagai Easy-lift Tailgate.

Ia disifatkan 70% kurang beban berbanding pintu lama. Tetapi, apa yang dilakukan oleh Ford bukanlah dengan mengurangkan berat material yang digunakan, sebaliknya menambah satu mekanisma khas yang ditambahan untuk membantu meringankan beban berkenaan. Kalau dulu nak angkat pintu berkenaan perlu gunakan dua tangan, sekarang dengan satu jari pun boleh.

Selain itu, kelengkapan lain pada varian XLT+ ini juga dipertingkat dengan termasuk rim 18 inci (tayar 265/60), skrin infotainmen 8.0 inci dengan sistem SYNC 3 dan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, panel instrumen TFT 4.0 inci serta tempat duduk balutan kulit.

Bagaimana pula rasanya memandu atau berada di dalam Ranger baru ini? Untuk memberi pandangan secara ringkas berkaitan hal ini, ia bergantung sama ada anda sudah biasa dengan pemanduan dan berada di dalam kabin trak atau pun tidak.

Apa pun, Ranger sejak awal lagi merupakan sebuah trak pikap antara yang paling selesa di dalam segmen berkenaan jika dibandingkan dengan pesaing lain. Namun, ini tidaklah bermakna keselesaan yang dimaksudkan ini sama seperti keselesaan penumpang di dalam sebuah sedan misalnya.

Tetapi, pembaharuan yang diberikan terhadap Ranger baru ini sememangnya boleh dirasai dengan ketara, dengan perbandingan terhadap model lamanya. Pertama, berikan perhatian terhadap bunyi enjin dieselnya ketika berada di luar dan di dalam kabin. Perhatikan tahap kebisingannya. Sepanjang pengalaman singkat dengan trak ini, kami rasakan ruang kabinnya jauh lebih senyap berbanding yang lama.

Bunyi enjin diesel dari luar kedengaran sangat minimal. Untuk menikmati muzik atau berbual, ia lebih mudah dan nyaman. Akan ada ketikanya anda langsung terlupa bahawa anda sedang berada di dalam kabin sebuah trak pikap yang lazimnya agak bising.

Seterusnya, ialah lantunan yang boleh dirasakan. Antara rungutan paling kerap didengar tentang sesebuah trak pikap ialah berkaitan hal ini. Oleh kerana ia menggunaan binaan ladder frame dan bukannya kerangka atau casis bersekali (unibody) seperti kenderaan penumpang yang lain, maka hal ini tidak dapat dielakkan.

Sebab itulah, ada yang mudah berasa loya dan pening terutama ketika berada di tempat duduk belakang. Namun, hal ini turut diberi perhatian oleh jurutera Ford. Hasilnya, melalui penawaran terbaru ini, sistem suspensi turut dipertingkatkan untuk mengurangkan kesan lantunan yang dimaksudkan di sini.

Bukan tak ada, tetapi ia sudah berada pada tahap yang lebih rendah. Sebagai contoh, ketika sengaja melanggar bonggol dalam kelajuan biasa, serapan hentaknya hanya membenarkan sekali henjutan sahaja sebelum ia kembali stabil dan lantunan lanjutan dimatikan dengan berkesan. Untuk ini, aspek keselesaan penumpang berjaya diletakkan satu tahap lebih baik berbanding sebelumnya, bahkan mendahului dalam kalangan pesaing-pesaing Ranger yang ada.

Untuk mengendalikan trak ini juga lebih mudah. Serba-serbi tentangnya terasa lebih “ringan”; dengan enjin yang lebih kecil tetapi berkuasa, dengan saluran kuasa yang lancar dan terus, pertukaran gear yang senyap dan begitu juga dengan maklum balas pedal minyak dan brek yang mudah menjadikan pemanduan trak ini sangat bersahaja.

Melihat kepada saiz dan jenis tayar yang besar begini, telahan awalnya tentulah sterengnya sangat berat untuk dipusing. Ini bukanlah halnya bagi Ranger terbaru ini kerana sterengnya ringan dan sangat mudah untuk dikendalikan. Memang sebuah trak pikap tidak akan dapat menyamai keselesaan dan pemanduan yang mudah yang diberikan oleh kenderaan penumpang, tetapi Ranger di dalam jelmaan terbaru ini mampu merapatkan jurang itu ke satu tahap yang lain.

PANDU UJI: Ford Ranger 2.0L XLT+ 4×4 – adakah enjin, transmisi baru beri banyak kelainan dan kelebihan?

Jadi, betulkah Ranger sekali lagi akan dapat meneruskan dominasinya di hadapan bagi segmen trak pikap di sini? Melihat kepada usaha-usaha yang dilakukan, itu tidak mustahil. Sejak model generasi ini diperkenalkan beberapa tahun dahulu, Ranger menjadi antara model paling penting dan laris Ford di Malaysia. Dengan penawaran terbaru ini, ia mempunyai kelebihan untuk terus berada di hadapan, terutama bagi varian yang tertinggi.

Di pasang di Thailand, harga varian XLT+ ialah RM124,888 dan didatangkan dalam pilihan warna Aluminium Metallic, Lightning Blue, Frozen White, Magnetic dan Absolute Black. Adakah Ranger ini pilihan yang berbaloi? Boleh cuba sendiri dan tentukan nilainya untuk anda nanti. Bagi kami, ia telah berjaya untuk melepasi jangkaan yang pernah ada pada versi sebelum ini.

GALERI: Ford Ranger 2.0L XLT+ Automatik 4×4

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required