Dynamic Photo
Colour: kinetic dust

Menurut Audi, barisan model e-tron yang dihasilkannya merupakan bahagian penting bagi kelangsungan masa depan jenama itu. SUV e-tron telah diperkenalkan September lalu, yang akan diikuti pula oleh versi Sportback. Tetapi ada sebuah lagi lebih menarik, model konsep Audi e-tron GT.

Diperkenalkan ketika LA Auto Show 2018, versi produksi kereta ini akan memasuki pasaran pada tahun 2020. Model e-tron GT ni menerapkan rekaan coupe empat pintu, dengan ukuran dimensi 4.96 meter panjang, 1.96 meter lebar, 1.38 meter tinggi serta jarak antara roda 2.9 meter. Rekaan yang ditampilkan nampak menarik radikal, menggabungkan sentuhan gran turismo klasik dengan garis bumbung curam.

Rekaan luar disertai dengan gril kerangka tunggal Audi, fender lebih besar, rim 22-inci dengan tayar 285/30 serta warna khas “Kinetic Dust”. Rekaan keseluruhannya menerapkan aspek aerodinamik – bukaan laluan udara, diffuser di belakang antara contohnya.

Static Photo
Colour: kinetic dust

Sistem lampu pula menggunakan teknologi LED matriks dengan lampu tinggi laser. Jalur lampu yang melintang dari satu hujung ke hujung yang satu lagi yang membuatkan penampilan kereta ini berbeza – dengan lampu LED pada unit utama di bahagian belakang. Dan, menurut Audi, teknologi yang ada pada kereta ini dibangunkan dengan kerjasama rapat dari Porsche.

Di dalam, pendekatan rekaan yang lebih ringkas digunakan. Stereng dalam bentuk hexagon, paparan digital sepenuhnya juga menjadi antara ciri utama yang ingin ditonjolkan oleh Audi dengan kereta konsep ini. Tiada tombol gear konvensional kelihatan – butang-butang menjadi perantara bagi fungsi pemanduan seperti parkir, undur, neutral dan pandu.

Tiada material berasaskan haiwan yang digunakan pada ruang dalamannya, yang digunakan semuanya sintetik; misalnya kulit pada tempat duduk, fabrik dari kitar semula, material gentian mikro, karpet daripada benang Econyl serta gentian yang dikitar semula dari jala ikan.

Static Photo
Colour: kinetic dust

Walaupun nampak agresif dan sporty, e-tron GT ini sebenarnya direka dengan mengambil kira praktikaliti penggunaan seharian – ada empat tempat duduk dan dua ruang barangan; 100 liter di depan dan 450 liter di belakang.

Bagi sistem janaan kuasa, e-Tron GT mempunyai motor di gandar depan dan belakang, memberikan cengkaman quattro dan torque vectoring. Motor ini menyalurkan 582 hp, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.5 saat atau 0-200 km/j dalam masa 12 saat.

Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 240 km/j, manakala jarak paling jauh yang boleh pergi pula 400 km, mengikut piawaian WLTP. Motor berkenaan mendapatkan kuasanya dari bateri lithium-ion 90 kWh yang ditempatkan pada lantai badan kereta ini untuk mendapatkan titik graviti yang lebih rendah – setanding model R8.

Untuk mengecas bateri, itu boleh dilakukan melalui regenerative braking, dengen keberkesanan kaedah ini pada kereta ini ditingkatkan kepada 30%, bergantung kepada mod operasi. Sehingga 0.3 g, kereta ini memulihkan tenaganya hanya melalui motor elektrik, tanpa menggunakan brek konvensional – ini meliputi 90% daripada keseluruhan situasi memperlahankan kenderaan.

Cas cara biasa merupakan pilihan yang paling pantas, dengan sistem pengecas 800-volt, ia memerlukan masa sekitar 20 minit untuk cecah 80% penuh, atau bersamaan 320 km. Pilihan lain boleh juga menggunakan sumber voltan yang lebih rendah, atau dengan cara tanpa wayar “induction charging” – dalam satu malam dengan output pengecas 11 kW.

Menjelang tahun 2025, Audi merangcang untuk melancarkan 20 model, dengan 12 daripada merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya.