Pengusaha minyak nampaknya bergerak semakin pantas ke arah bayaran tanpa tunai dirangkaian runcit mereka. Petronas misalnya tidak ketinggalan untuk memperkenalkan aplikasi pintar Setel e-wallet, ketika pameran di KLIMS 2018.

Boleh didapati melalui Apple App Store dan Google Play Store, perkhidmatan terbaru ini boleh digunakan di lebih 40 stesen Petronas di Lembah Klang, dengan angka ini dijangka terus meningkat kepada 600 premis menjelang Jun 2019. Ia juga disasarkan untuk dilanjutkan ke seluruh negara menjelang hujung tahun depan.

Berbeza daripada kaedah pembayaran elektronik Petron yang menggunakan platform WeChat Pay, sistem milik Petronas ini direka untuk penggunaan bersepadu terus kepada pam minyak – disifatkan yang pertama di Asia Tenggara.

Aplikasi ini membolehkan pelanggan untuk membeli bahan api hanya melalui beberapa sentuhan pada skrin, dari dalam kereta mereka. Dan, bermula Januari nanti, pengguna boleh menggunakannya untuk membeli barang di kedai Mesra pula. Ia juga dihubungkan terus dengan program kesetiaan Kad Mesra.

“Mengepam minyak tidak sepatutnya menyusahkan. Ketika ini, anda perlu ke kaunter, beratur panjang, RM200 dicagarkan dari kad kredit anda serta memerlukan kad lain untuk mengumpul mata program kesetiaan ada,” jelas ketua Setel, Iskandar Ezzahuddin. “Setel akan meringkaskan semua proses ini dalam satu penyelesaian mudah,” tambahnya.

Pengarah Urusan dan CEO, Petronas Dagangan, Datuk Sri Syed Zainal Syed Mohd Tahir berkata; “Petronas telah berusaha untuk mewujudkan pengalaman baru bagi pelanggan ketika berurusan dengan perniagaan runcit kami dengan memanfaatkan teknologi digital. Setel membolehkan perkara ini dicapai dan memudahkan pengguna. Kami berbangga untuk menjadi yang pertama menawarkan perkhidmatan seperti ini di Malaysia,” ujarnya.