Setelah gambar awalnya bocor bulan lalu, sekarang akhirnya Jeep Gladiator telah pun membuat penampilan rasmi. Rupa trak pikap ini sama sahaja seperti Wrangler empat pintu, tetapi di belakangnya ada ruang barangan yang terbuka. Lain-lain ciri masih dikekalkan seperti yang ada pada Wrangler – termasuklah bumbung boleh buka, pilihan soft top atau hard top serta cermin depan boleh dilipat.

Untuk menggunakan bentuk ini, Jeep menjadikan rangka Gladiator ini 787 mm lebih panjang daripada Wrangler, dan jarak rodanya juga bertambah 492 mm. Perubahan lain adalah termasuk gril dengan jarak jeriji yang lebih lebar untuk memberikan lebih angin kepada enjin, lampu bentuk petak di belakang dan pintu ruang simpanan belakang yang lebar untuk memudahkan pengguna.

Ruang kargo di belakang ini juga mempunyai cirinya yang tersendiri, seperti lampu bawah rel, soket kuasa yang tertutup (400-watt, 150-volt, tiga mata), tapak mengikat barang bersepadu yang kuat serta Trail Rail Cargo Management System untuk membantu menyusun serta memastikan barang tidak bergerak.

Bergantung kepada trim yang dipilih (Sport, Sport S, Overland atau Rubicon), ruang kargo ini boleh didapatkan dengan barangan seperti lapik lantai spray-in, pembahagi ruang, penutup atas, pelindung dan juga rel di atas bahagian kargo itu sendiri.

Sama seperti Wrangler, banyak panel badan Gladiator ini boleh dicabut dengan mudah menggunakan kit asas termasuk cermin hadapan, pintu dan juga bumbung. Bagi bumbung itu sendiri, sekiranya anda tidak suka jenis yang keras seperti biasa, Jeep juga ada menawarkan bumbung fabrik premium Sunrider.

Dari aspek keselamatan pula, Jeep menawarkan lebih 80 ciri aktif dan pasif yang antaranya termasuk Blind-spot Monitoring, Rear Cross Path Detection, kamera di hadapan, kamera undur dengan garis dinamik, Adaptive Cruise Control dan Electronic Stability Control (ESC) dengan Electronic Roll Mitigation.

Bagi enjin, pembeli diberikan dua pilihan iaitu unit petrol V6 3.6 liter Pentastar atau V6 3.0 liter EcoDiesel. Enjin petrol itu menawarkan 285 hp dan 352 Nm tork, dan boleh dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan, manakala enjin diesel itu pula menyediakan 260 hp dan 599 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan sahaja.

Memandangkan ia keluaran Jeep, maka keupayaan off-road juga wajib ada. Gladiator dilengkapi dengan dua sistem pacuan empat roda (4×4), di mana bagi varian Sport dan Overland, ia mempunyai Command-Trac 4×4 yang menampilkan transfer case dua kelajuan dengan nisbah gear rendah 2.72:1, serta gandar Dana 44 generasi ketiga di hadapan dan gandar belakang dengan nisbah 3.73.

Varian Rubicon paling atas pula dipasang dengan sistem Rock-Trac 4×4, yang juga datang dengan gandar Dana 44 bersama nisbah “4LO” 4:1, dan ditambah lagi dengan articulation yang lebih baik serta jarak gerak suspensi yang lebih tinggi hasil penggunaan sistem pemutus hubungan sway bar elektronik.

Semua varian datang dengan nisbah gandar 4.10 di depan dan belakang, serta pengunci differential Tru-Lok, tetapi hanya Rubicon sahaja yang mempunyai kelebihan dengan limited-slip rear differential Trac-Lok (disediakan sebagai pilihan tambahan untuk varian Sport dan Overlord).

Turut membantu prestasi Gladiator ini dalam kawasan offroad adalah kelengkapan lain seperti cangkuk di depan dan belakang, bampar besi yang boleh dipasang dengan winch (Rubicon sahaja), pelindung bahagian bawah enjin serta rim hingga 17 inci dan tayar offroad 33 inci. Jika itu masih tidak mencukupi, pemilik juga boleh mendapatkan pelbagai lagi aksesori prestasi lain daripada Mopar.

Dalam keadaan standard, Gladiator mempunyai jarak kelegaan dari tanah 281 mm, boleh menarik berat sehingga 3,470 kg dan boleh membawa barangan sehingga 725 kg. Ia akan dikeluarkan oleh kilang jeep di Toledo, Ohio, Amerika Syarikat.