Selepas terbabit dalam skandal penipuan ujian pencermaran Dieselgate pada tahun 2015, Volkswagen nekad untuk mengubah haluan mereka bagi menjadi pengeluar yang menumpukan terhadap penghasilan model-model yang dijana oleh elektrik sepenuhnya. Setelah pelbagai model konsep I.D didedahkan bagi menunjukkan hala tuju mereka, kini jenama Jerman tersebut mengumumkan mereka akan menghasilkan enjin pembakaran dalaman konvensional generasi terakhir pada tahun 2026, lapor Automotive News.

Peralihan ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat. “Rakan sekerja kami sedang membangunkan kenderaan terakhir yang menggunakan platform yang tidak CO2 neutral. Kami secara beransur-ansur menyisihkan enjin pembakaran dalaman seminimum mungkin” kata ketua strategi Volkswagen, Micheal Jost. VW dijangka akan hanya membangunkan model elektrik sepenuhnya selepas plaform yang menggunakan enjin petrol dan diesel generasi terakhir diperkenalkan pada tahun 2026.

Menerusi undang-undang emisi yang semakin ketat, pembuat-pembuat kenderaan dengan enjin konvensional kini ditekan bagi menghasilkan unit janakuasa yang lebih mesra alam – ini antara faktor mengapa Volkswagen mengambil keputusan yang agak radikal tersebut. Selain dari siri I.D, jenama kereta sport di bawah kumpulan VW, Porsche, turut memperkenalkan Porsche Taycan, iaitu kereta sport janaan elektrik sepenuhnya yang akan muncul tahun hadapan.

Transformasi kepada teknologi elektrik ini akan disasarkan kepada 12 jenama di bawah naugan Kumpulan Volkswagen, dijangka melibatkan sejumlah 15 juta kenderaan. Kumpulan automotif tersebut telah menetapkan dana US$50 bilion (sekitar RM208 bilion) untuk lima tahun akan datang bagi digunakan untuk penghasilan kereta elektrik dengan sistem pemanduan automatik.

Model pertama yag akan diproduksi dalam barisan kereta elektrik sepenuhnya tersebut adalah I.D hatchback, yang telah dirangka untuk diproduksi bermula 12 bulan dari sekarang di Jerman. Model-model lain seperti Crozz dan Vizzion pula akan menyusul selepas itu – sebarang kenyataan belum lagi dikeluarkan namun ada laporan mengatakan kedua-dua model tersebut akan dihasilkan di China pada tahun 2020.

Dalam perancangan ini, Volkswagen merancang untuk menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya atau separa elektrik untuk kesemua barisan model mereka terdiri dari lebih 300 kereta, van, trak dan motosikal menjelang tahun 2030. Jost turut mengakui bahawa VW telah membuat kesilapan atas skandal penipuan yang menimpa mereka sebelum ini, dan mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya selepas itu.

Walau bagaimanapun, Jost menjelaskan platform terakhir yang dilancarkan pada 2026 tersebut akan menerima penambahbaikkan dari masa ke masa, dan selepas 2050 berkemungkinan masih lagi ada model yang menggunakan petrol dan diesel kerana ada pasaran yang masih kekurangan dari segi infrastruktur pengecas.