Porsche Taycan adalah nama yang akan digunakan untuk kereta sports elektrik penuh jenama itu, dan ia ditunjuk pertama kali sebelum ini melalui model konsep Mission E. Menurut pengeluar Jerman tersebut, nama Tycan (disebut tai-kon) boleh diterjemahkan sebagai “kuda muda bersemangat,” dan merujuk kepada logo kuda yang sudah ada pada lencana Porsche sejak tahun 1952.

Selain nama itu, perincian lain berkenaan Taycan masih tidak berubah daripada laporan yang pernah disiarkan sebelum ini. Ia akan dikuasakan oleh dua permanently synchronous motors (PSM) yang mampu memberikan jumlah kuasa keseluruhan lebih 600 PS (590 hp/440 kW). Pecutan 0-100 km/j dikata dapat dilakukan dalam masa 3.5 saat manakala laju 200 km/j pula dapat dicapai dalam masa bawah 12 saat.

Melalui catatan prestasi ini, anda mungkin berfikir jarak pergerakannya akan berkurang, tapi Porsche berkata sebaliknya. Taycan mampu memberikan jarak gerak 500 km melalui satu cas penuh (kitaran NEDC), dan dengan penggunaan pengecas pantas pada sistem 800-volt padanya selama empat minit, pengguna sudah boleh mendapat jarak gerak 100 km.

Mobiliti elektrik adalah antara sasaran utama Porsche untuk masa hadapan, dan syarikat itu bercadang untuk melaburkan lebih daripada enam bilion euro menjelang tahun 2022 untuk perkara ini. Daripada jumlah itu, 500 juta euro akan disalurkan untuk pembangunan varian Taycan, satu bilion euro untuk kemasukan tenaga elektrik pada model sedia ada, beberapa ratus juta untuk pengembangan tempat pengeluaran dan 700 juta euro untuk teknologi baru dan insfrastruktur mengecas.

Seperti yang dijangka, peningkatan ini juga akan melibatkan ibu pejabat Porsche di Zuffenhausen, di mana ia akan menerima tempat mengecat kenderaan baru, tempat pemasangan khas untuk Taycan dan pengembangan kilang enjin sedia ada untuk mengeluarkan pula penjana elektrik. Menurut Porsche, pengeluaran Tycan akan membantu mewujudkan 1,200 pekerjaan baru di ibu pejabat mereka dan pelaburan selanjutnya juga telah dirancang untuk pusat pembangunan di Weissach.

GALERI: Porsche Mission E Concept