Bulan lalu, beberapa pengumuman terhadap pemandu dan penyedia perkhidmatan e-hailing dilakukan. Antaranya, mereka perlu hadir kursus dan mendapatkan lesen PSV, sama seperti pemandu teksi. Kenderaan yang berusia lebih tiga tahun juga perlu menjalani pemeriksaan.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai langkah kerajaan untuk mengawal selia perkhidmatan e-hailing dan menjadikannya setara dengan teksi, seperti yang selalu dibangkitkan oleh pemandu-pemandu teksi.
Sebelum itu, Loke mengadakan perjumpaan bersama penasihat Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar) – yang menjadi individu paling lantang bersuara berkaitan hak-hak pemandu teksi – di Parlimen untuk berbincang. Kemudian, muncul pula sebuah kumpulan yang mendakwa menjadi wakil sah komuniti pemandu teksi telah mengkritik Shamsubahrin yang bertindak seolah-olah beliau merupakan jurucakap kepada pemandu teksi, lapor Malay Mail.
Kumpulan berkenaaan yang dikenali sebagai Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) mengadakan perhimpunan di Padang Merbok pagi semalam. Mereka mendesak untuk tahu apa yang dibincangkan antara Loke dan Shamsubahrin, dan akan bertindak sekiranya berterusan dipinggirkan (dari perbincangan berkaitan isu ini).
“Kamu siapa? Kami ini pemandu-pemandu teksi sebenar dan kami yang sepatutnya berjumpa dengan menteri. Orang ini, Datuk Shamsubahrin, dia bukan wakil kepada pemandu teksi. Kami membantah mengapa Anthony Loke meminta Shamsubahrin untuk bertemu dengan beliau sebagai wakil pemandu teksi,” ujar Fazli Fathil, Presiden Elite Driver Kuala Lumpur, sebuah persatuan di bawah GTSM.
“Apa yang dibincangkan serta dijanjikan, kami tak tahu langsung. Jika tiada apa-apa dilakukan dalam tempoh 14 hari, kami akan mengemukakan petisyen dan membuat laporan ke SPRM untuk menyiasat perjumpaan itu dan segala hal yang dibincangkan,” tegas beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.