McLaren 600LT dipertonton di Malaysia – 3.8L bi-turbo V8, 600 PS, 0-100 km/j dalam 2.9 saat, dari RM998k

McLaren 600LT dipertonton di Malaysia – 3.8L bi-turbo V8, 600 PS, 0-100 km/j dalam 2.9 saat, dari RM998k

Sabtu lalu, McLaren Kuala Lumpur telah menganjurkan satu acara rasmi pengenalan sebuah model terbaru, setelah sekian lama sepi. Kini dengan pengurusan baru (bukan lagi di bawah Sime Darby) dan tetap menyambung operasi jualan modelnya di sini, jenama berkenaan kembali dengan majlis pra-tonton McLaren 600LT Coupe.

Dengan harga bermula dari RM998,000 belum termasuk cukai dan pilihan lain, 600LT ini merupakan model yang sama dengan 570S, tetapi dengan segenap penampilan dan penawaran yang telah dipertingkatkan – dengan tumpuan untuk mencatatkan kelajuan terpantas.

LT dalam namanya membawa maksud “Longtail”, siri nama yang berasal awalnya dari satu versi kereta lumba F1 GTR – yang mana gelarnya itu diperkenalkan semula baru-baru ini pada model yang sama agresif, 675LT. 600LT ini walaupun tidak memiliki kepanjangan yang sama seperti GTR, bagaimanapun tetap tampil dengan 74 mm lebih panjang berbanding 570S.

McLaren 600LT dipertonton di Malaysia – 3.8L bi-turbo V8, 600 PS, 0-100 km/j dalam 2.9 saat, dari RM998k

Ini antaranya disumbangkan oleh spoiler belakang, serta diffuser dapan dan belakang yang semuanya diperbuat daripada gentian karbon dan memberikan sehingga 100 kg downforce pada kelajuan 250 km/j. Penggunaan keseluruhan bahagian gentian karbon itu juga membolehkan beratnya dikurangkan sebanyak 100 kg berbanding model 570S.

600LT ini menggunakan enjin versi baru McLaren 3.8 liter turbo berkembar V8. Dengan ECU yang ditala semula serta sistem ekzos yang diperkemas, ia mampu menghasilkan 600 PS pada 7,500 rpm (yang menjadi tanda nama model ini) dan 620 Nm dari 5,500 rpm hingga 6,500 rpm – menjadikan nisbah kuasa-kepada-berat pada kadar 481 PS bagi satu tan.

Lagi angka-angka prestasi jentera ini; 0-100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat. Untuk capai kelajuan 200 km/j pula, hanya 8.2 saat diperlukan. Laju maksimum pula mencecah 328 km/j. Unit ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan pacuan belakang.

Selain itu, aspek kendaliannya juga lebih baik. Dengan kedudukan 8 mm lebih dekat dengan permukaan tanah serta 10 mm lebih lebar di bahagian depan, 600LT ini memanfaatkan sistem suspensi double wishbones dengan aluminium yang diperkukuh – memberikan 10.2 kg jimat bagi beratnya.

Breknya pula menggunakan cakera gentian seramik dengan kaliper aluminium yang juga lebih ringan – ini memberikan jarak memberhentikan kenderaan dari kelajuan 200 km/j hanya dalam 117 meter. Aspek pengurangan berat ini dibawa sampai ke dalam kabin; 600LT tidak mempunyai karpet dan menggunakan kemasa Alcantara (jimat lagi 5.7 kg). Ini ditambah pula penggunaan kerusi gentian karbon dari hypercar McLaren P1, yang membolehkan 21 kg lagi di”buang”.

Setakat ini, McLaren Kuala Lumpur telah menjual semua sembilan unit yang diperuntukan untuk mereka, dan bercadang untuk menambah stok lagi; hanya tinggal tempoh sembilan bulan sebelum jentera ini dihentikan pengeluarannya. Ada siapa-siapa yang berminat?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required