Malam tadi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengeluarkan 475 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu khas motosikal bersempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke pusat bandar.

Menurut Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi, sebanyak 1,900 motosikal diperiksa sepanjang operasi lima jam bermula 8 malam itu yang turut menyaksikan 15 motosikal disita, laporan Bernama.

“Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi dan kesalahan teknikal seperti mengubah suai nombor pendaftaran,” katanya.

Operasi turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Tambahnya lagi, seorang wanita berusia 25 tahun ditahan pihak berkuasa selepas didapati positif dadah jenis metamfetamina hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas 28 penunggang dan pembonceng motosikal.

Ismail turut berkata operasi bersepadu itu diadakan sebanyak empat kali dalam tempoh dua minggu bermula 29 Januari hingga 12 Februari lalu, bertujuan menangani isu kemalangan membabitkan kenderaan berkenaan.