Tindakan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dalam perancangan untuk mengurangkan kehadiran kenderaan memasuki pusat bandar mungkin bakal menerima respon yang kurang senang dari sesetengah pihak. Selepas penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini, katanya ada lagi beberapa jalan yang bakal berhadapan tindakan yang sama.

“Masyarakat boleh berkata apa saja (atas tindakan tersebut) tetapi kami perlu bertindak telus dan adil. Tak kisahlah kalau saya sendiri akan disumpah seranah dengan tindakan ini, atau dikatakan ‘syok sendiri’, tetapi bagi DBKL apa yang kami lakukan ini bagi memberikan manfaat dan kehidupan yang berkualiti kepada penduduk bandar,” ujarnya, seperti yang dilaporkan News Straits Times.

Menurut Nor Hisham lagi, pihaknya kini sedang mempertimbangkan untuk menurut beberapa lagi jalan yang melibatkan tempat tumpuan orang ramai yang berkunjung ke pusat membeli-belah termasuk Bukit Bintang, Brickfields dan termasuk Chinatown untuk membina laluan pejalan kaki.

Walau bagaimana pun, katanya, ia mungkin mengambil masa yang agak lama dan banyak juga melibatkan banyak perancangan untuk mengurangkan kemasukan kenderaan ke pusat bandar dan mengubah pesepsi orang ramai yang tidak mahu berkunjung ke kawasan berkenaan kerana isu sebegini.

“Walau pun begitu, kita boleh saksikan saban hujung minggu kawasan berkenaan akan menjadi bertambah sesak, dan ramai pula orang ramai yang memarkir kenderaan di merata tempat. Perkara ini bagai tiada kesudahan. Jadi kita perlukan langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan kemasukan kenderaan ke pusat bandar,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, menurut kajian yang dijalankan menerusi Google pada 11 Feb lalu oleh DBKL, 65% daripada 2,028 responden bersetuju dengan penutupan jalan berkenaan, bakinya menentang keras keputusan itu.

“Pihak kami juga akan berjumpa dengan para pengusaha yang menjalani operasi di sekitar kawasan berkenaan untuk mendapatkan maklumbalas daripada mereka. Penutupan jalan yang dirancang adalah bergantung pada suara majoriti,” ujarnya lagi yang turut berkata pihaknya mahu mewujudkan “Oxfort Street” (London) di Kuala Lumpur dan perancangan ini mungkin mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan tetapi telah dimulakan.