Sikap segelintir pemandu kenderaan di Pulau Pinang yang meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU) menunjukkan kurangnya kesedaran tentang keperluan dan kesulitan golongan OKU untuk bergerak, ujar Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut kesal dengan tindakan itu.

“Walaupun parkir untuk orang kurang upaya jarang digunakan, pemandu tidak harus meletak kenderaan mereka di situ jika mendapati ruang parkir itu kosong. Janganlah menggunakan ruang parkir OKU,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Ia adalah susulan aduan yang diterima daripada anggota Persatuan Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (SDPP) yang menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan ini.

Dalam masa yang sama, beliau mencadangkan SDPP memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran dan menyebarkan maklumat mengenai penjagaan orang kurang upaya di kalangan masyarakat di negeri ini.