Sebuah lagi model dari siri Q yang diperkenalkan oleh Audi hari ini ialah Audi Q2 2.0 TFSI, mengiringi tiga lagi model lainnya – Audi Q5, Q7 dan Q8. Juga pertama kali dipertontonkan ketika acara Premium Auto Car Expo (PACE) paultan.org tahun lalu, Audi Q2 dijual pada harga bermula RM219,900.

Seperti Q5, Q2 ini hadir hanya dalam satu variant dengan tingkat kemasan Sport, ia dilengkapi enjin 1.4 liter TFSI (turbocaj) yang menghasilkan 150 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan 250 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 3,500 rpm, ia merupakan enjin yang sama digunakan pada Volkswagen Tiguan, dan dipadankan dengan kotak gear S tronic klac berkembar tujuh-kelajuan.

Kelainan enjin ini, ia hadir dengan ciri COD (cylinder on demand) yang akan merehatkan dua silinder ketika kenderaan bergerak dalam kelajuan enjin antara 1,400 hingga 3,200 rpm. Q2 mempunyai dimensi ukuran 1.51 meter tinggi dan 1.79 meter lebar. Panjangnya pula 4.19 meter dengan jarak antara roda 2.60 meter

Ini membantu menjimatkan bahan api; penggunaan minyaknya ialah 5.2 liter bagi setiap 100 km, atau 18.9 km/l. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.5 saat dan laju maksimum SUV kecil seberat 1,290 kg ini ialah 212 km/j.

Aspek luarannya dilengkapi dengan lampu utama LED dengan DRL LED, lampu belakang gabungan LED dengan lampu isyarat dinamik, cermin sisi boleh laras dengan fungsi pemanas dan bantuan parkir dengan kamera undur. Ia menggunakan rim 17-inci aloi, dengan saiz tayar 215/55.

Ruang dalam SUV yang diimport sepenuhnya ini menerima stereng multi-fungsi tiga jejari balutan kulit, kerusi balutan kulit campuran, kawalan suhu automatik, kerusi belakang boleh lipat serta kemasan dalaman warna merah. Pakej lampu kabin turut dinyatakan, memberikan kelebihan pencahayaan suasana ruang tersebut.

Ruang barangan di belakang boleh menampung kapasiti 405 liter, dan sekiranya penyandar kerusi belakang direbahkan, jumlah berkenaan boleh meningkat kepada 1,050 liter – lebih luas, membolehkan untuk membawa barangan dengan lebih mudah.

Lain-lain ciri termasuk Audi Drive Select, brek parkir elektro-mekanikal, sistem tanpa kunci dengan butang Push/Start serta kawalan cruise. Turut tersedia ialah MMI Navigation Plus, virtual cockpit Audi serta sistem audio Audi 180-watt dengan 10 pembesar suara dan amplifier enam-saluran.

Ciri-ciri keselamatan standard antaranya termasuk enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, pemantau tekanan tayar, Hill Hold Assist dan Isofix. Setiap pembelian Audi Q2 datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan pelanggan boleh memilih dari 10 warna luaran yang ditawarkan.