Berita terkini mengenai perkembangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilaporkan pernah dibatalkan sebelum ini. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika projek tersebut diteruskan, kerajaan bakal menanggung hutang RM130 bilion dan hutang itu mesti dilunaskan dalam tempoh 30 tahun.

Tambah beliau, ia membabitkan pinjaman berjumlah RM60 bilion dan kadar faedah tertentu yang menyebabkan projek diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bakal mencecah lebih RM100 bilion, laporan Berita Harian.

“Jika diteruskan, kita perlu meminjam sehingga RM60 bilion. Bayaran semula pinjaman itu disertakan faedah selama 30 tahun. Dalam tempoh 30 tahun, jumlah pinjaman dicampur faedah akan mencecah lebih RM100 bilion dan ada yang menganggarkan ia sekitar RM130 bilion, menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggung kos projek ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ketika ditanya oleh pemberita mengenai perincian semula skala projek itu jika diteruskan, Tun Mahathir berkata, kerajaan mungkin menangguhkan perkara tertentu seperti pembinaan landasan berkembar.

“Kita teliti semula projek itu dan melihat pada beberapa perkara yang tidak diperlukan, contohnya mungkin tidak perlu laksanakan trek berkembar. Unjuran awal kargo dan penumpang tidak begitu besar jumlahnya, maka kita boleh tangguhkan beberapa bahagian daripada projek atau perancangan sehingga ia diperlukan,” katanya.