Selepas empat bulan didedahkan untuk pasaran dunia, Hyundai Santa Fe generasi keempat muncul pula di Malaysia November tahun lalu untuk dipamerkan waktu acara KLIMS 2018. Sekarang, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) sudah mendedahkan harganya dan ia sudah boleh ditempah.

Secara keseluruhannya ada empat varian untuk SUV ini, bermula dengan 2.4 MPI 2WD Executive pada harga RM169,888, diikuti 2.4 MPI 2WD Premium pada RM198,888, 2.2 CRDi 4WD Diesel RM191,888, dan paling tinggi, 2.2 CRDi 4WD Diesel Premium RM211,888. Harga ini tidak termasuk insurans dan penghantaran akan bermula bulan hadapan.

Jika dilihat, harga permulaan untuk Santa Fe baru ini sebenarnya adalah lebih rendah berbanding RM188k yang dijangka sebelum ini, dan ia sekaligus menjadikan SUV tujuh tempat duduk ini lebih murah berbanding Mazda CX-5 varian paling tinggi dan tidak begitu jauh dengan Honda CR-V 1.5 TC Premium 2WD dan Nissan X-Trail Hybrid baru (varian tertinggi bagi model masing-masing).

Dari depan, wajah Santa Fe baru ini hampir menyerupai rekaan pada model SUV kompak Kona, dengan lampu LED DRL yang tirus di atas unit lampu utama LED. Gril dengan rekaan yang lebih segar dan besar digunakan, dengan lebih rekaan kemasan di dalamnya manakala garis bahu pula menjadi lebih tegap.

Bahagian kabin juga menerima rekaan baru sepenuhnya, mirip yang ada pada model Kona sebagai penanda aras kenderaan generasi baru keluaran Hyundai. Antara yang melengkapi ruang berkenaan ialah skrin sentuh bagi sistem infotainmen (dengan sokongan Android Auto). Turut hadir ialah pengecas tanpa wayar Qi.

Kelengkapan lain yang dapat dilihat pada unit pameran di KLIMS adalah termasuk paparan digital pada kluster instrumen (dengan dua meter analog), kemasan kulit, monitor 360-darjah, kawalan menuruni curam, peninjau titik buta, tempat duduk depan berkuasa (dengan sokongan lamdar untuk pemandu), cruise control, sistem pintar tanpa kunci serta rim 19 inci.

Varian MPI menggunakan enjin petrol 2.4 liter Theta II NA yang mampu menghasilkan kuasa 172 PS/225 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan biasa, sementara varian CRDi pula menggunakan enjin 2.2L diesel turbo yang dipadankan bersama kotak gear lapan kelajuan baru, sistem AWD dan mampu menghasilkan kuasa 193 PS dan 440 Nm tork.

GALERI: Hyundai Santa Fe 2.2 CRDi

GALERI: Hyundai Santa Fe 2.4 MPI