Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

Tentu ramai masih ingat kepada Vector, sebuah “prototaip kereta terbang” yang pernah membuat kemunculan ketika pameran LIMA 2019, Mac lalu. Banyak reaksi yang diterima ketika itu, kebanyakannya cemuhan dan sindiran dari khalayak yang skeptikal dengan idea tentang “kereta terbang” buatan Malaysia.

“Kereta konvensional untuk kegunaan atas jalan pun masih banyak isu-isu berbangkit yang belum selesai, inikan pula nak buat kereta terbang.” Ini merupakan antara sentimen yang paling popular diutarakan, terutama oleh warga media sosial. Laman Facebook rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan juga waktu itu memuatkan gambar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang sedang meninjau “prototaip” kenderaan yang disifatkan kereta terbang berkenaan.

Sebetulnya, itu bukanlah sebuah prototaip. Ia sebuah model skala sebuah kenderaan pengangkutan udara (air mobility vehicle (AMV); atau turut dikenali urban air mobility (UAM)) dan bukannya “kereta terbang” seperti yang difahami orang-ramai. Tak ada empat tayar membangunkan imej sebuah kereta seperti kebiasaannya. Namun, apa yang lebih menarik untuk ditelisik ialah syarikat yang berada di sebalik semua usaha berkenaan; Aerodyne Group yang berpusat di Kuala Lumpur, dan sepenuhnya merupakan syarikat Malaysia.

Di atas kertas, Aerodyne Group nampak sangat meyakinkan, terlibat di dalam perniagaan perkhidmatan berkaitan drone dan pembangunan teknologi berkaitannya diperingkat global. Untuk mengenali lebih lanjut syarikat ini serta penglibatannya di dalam projek pembangunan kenderaan pengangkutan udara seperti yang ditunjuk ketika LIMA 2019 tempoh hari, kami duduk berbual bersama Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Kumpulan Aerodyne, Kamarul Muhammed untuk bertanyakan lebih lanjut.

Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

“Bagi saya, selepas riuh-rendah yang berlaku ketika kami tunjukkan model skala bagi Vector di LIMA 2019 tempoh hari, minat orang ramai terhadap perkara ini semakin meningkat. Tidak kisahlah sama ada tanggapan itu positif atau negatif. Kerana, apa yang lebih penting, ia membuka ruang kepada kami untuk menjelaskan apa yang kami lakukan kepada publik. Peluang komunikasi semakin terbuka luas untuk kami,” ujar Kamarul.

Aerodyne Group ditubuhkan pada 2014. Bermula dengan hanya tiga orang pekerja, dan dalam tempoh usia kurang lebih empat tahun sahaja syarikat itu telah berkembang pesat. Terkini, ia menggajikan seramai 260 orang pekerja (200 orang daripadanya beroperasi di Malaysia) dan menjalankan perniagaan mereka di 24 buah negara seluruh dunia.

Daripada keseluruhan jumlah pekerja itu, 80 orang merupakan pemandu drone profesional dan bertauliah, 30 orang jurutera perisian dan selebihnya terlibat dengan tugas-tugas lain seperti pemprosesan data. Ibupejabatnya bagaimanapun kekal di Malaysia, mengisi tujuh tingkat ruang pejabat semuanya.

“Aerodyne merupakan penyedia perkhidmatan penyelesaian menggunakan drone (drone enterprise solution provider). Kalau di Malaysia, pelanggan-pelanggan kami terdiri daripada syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad, Petronas dan syarikat-syarikat telekomunikasi,” jelas beliau. Kepakaran teras syarikat ini ialah pembangunan perisian berasaskan artificial intelligence (AI). Aerodyne membantu melakukan transformasi digital menggunakan AI, kajian analitik serta perisian-perisian berkaitan untuk pelanggan-pelanggannya.

Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

“Kami menjalankan pemantauan, pemeriksaan rutin dan berkala, misalnya terhadap jaringan janakuasa elektrik (power grid line), memerhatikan pencawang telokomunikasi, ladang dan sebagainya. Dalam bahasa mudah, kami menjaga, memantau dan menguruskan infrastruktur dan aset pelanggan-pelanggan kami. Ini adalah langkah pencegahan kepada hal-hal lain yang mungkin berlaku dimasa hadapan,” ujar beliau.

Bermula di Malaysia, pejabat Aerodyne di luar negara kemudiannya dibuka pertama sekali di Australia, diikuti di Timur Tengah, Jepun, UK dan lain-lain negara selepas itu. Di Denmark misalnya, Aerodyne mengambil alih sebuah syarikat tempatan untuk dijadikan anak syarikatnya. Tumpuan syarikat ini adalah di dalam pembangunan perisian pintar berasaskan AI untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat lain yang mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Untuk perkakas (hardware) drone itu sendiri, kami dapatkan dari pembekal sedia ada dalam pasaran. Tetapi, perisian yang digunakan kami bangunkan sendiri sepenuhnya. Kemudian, jika ada apa-apa modifikasi yang diperlukan terhadap perkakas yang digunakan itu untuk memenuhi keperluan tugasan, baru kami akan buat ubah suai,” tambahnya lagi.

Melihat kepada kesungguhan dan pencapaian yang diperoleh dalam masa yang boleh dikatakan singkat ini, Aerodyne bukanlah calang-calang pemain dalam industri teknologi drone. Lebih menarik, teknologi drone untuk membawa penumpang juga sedang berkembang sangat pesat ketika ini, di serata dunia. Pada tahun 2018, Aerodyne menduduki tangga ketujuh peringkat global di dalam sektor perkhidmatan yang mereka ceburi, dan kedudukan itu telah naik dua lagi anak tangga ke tempat kelima bagi tahun 2019 ini. Aerodyne memang memiliki kredibiliti tersendiri dalam industri perkhidmatan drone.

Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

Jadi, apa pula ceritanya dengan projek “kereta terbang” yang disebut-sebut sebelum ini? “Begini, kami memang mempunyai kepakaran dan kemahiran di dalam bidang dan industri melibatkan drone. Cuma, di Malaysia, ia satu benda baru. Saya sendiri memang sudah menjangkakan akan berlaku salah tanggapan dari publik. Sebab itu kita nak buat sahaja dahulu, walaupun hanya tunjukkan model skala bagi Vector, dan kemudian peluang yang terbuka seperti sekarang ini kami gunakan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut,” jelas Kamarul.

Pertama sekali, istilah “kereta terbang” ini bukanlah seperti apa yang orang ramai faham dan bayangkan. Ia bukanlah merujuk kereta dengan empat roda yang kita lihat di atas jalan ketika ini dan mempunyai keupayaan untuk terbang, dalam maksud yang literal. Ia sebenarnya merujuk kepada kenderaan pengangkutan udara (AMV), yang ketika ini sudah pun meraih tumpuan di seluruh dunia.

“Ini merupakan perkembangan yang sedang diberi perhatian luas diperingkat global, dan melibatkan nilai perniagaan yang sangat tinggi. Sekarang telah banyak syarikat-syarikat yang menghasilkan AMV ini, untuk tujuan yang pelbagai. Dan untuk kami, dengan kepakaran yang ada, adalah satu kerugian sekiranya kami tidak manfaatkannya. Secara tak langsung Malaysia juga boleh memainkan peranannya dalam perkembangan global ini,” tambah beliau.

Antara jenama atau syarikat yang telah mengumumkan pembangunan AMV mereka sendiri adalah seperti Terrafugia, Airbus Vahana, Cora, Ehang 184 dan Velocopter. “Jadi, ketika kementerian tanyakan kepada kami sama ada kami berkemampuan untuk membangunkan kenderaan AMV ini, sudah tentu kami sambut dan setuju,” ujar Kamarul. Semua AMV yang disebutkan ini sudah pun mula beroperasi dan ditawarkan dalam pasaran terbuka.

Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

Tambahan pula, ada khabar angin sebelum ini bahawa ada pihak lain yang mencadangkan kepada kerajaan untuk membawa masuk kenderaan yang sama dari China (Ehang 184) untuk dijenamakan semula dan jadikan produk Malaysia. “Bagi saya, sekiranya kita nak panggil sesuatu produk itu sebagai produk Malaysia, kita perlu bangunkan sendiri. Bukan dengan cara jalan singkat begini. Untuk itu, Aerodyne sahut cabaran dan jadikan pembangunan AMV sebagai keutamaan; memandangkan kami memang sudah mempunyai kepakaran dan rangkaian global untuk tujuan berkenaan,” tambah Kamarul lagi.

“Memang sudah ada perancangan untuk kami membangunkan AMV ini satu hari nanti. Kerana, kami dalam industri drone, dan AMV ini sebenarnya merupakan drone yang sama juga, tetapi dalam saiz yang lebih besar. Cuma, bila peluang terbuka seperti ini, dan kerajaan Malaysia sendiri sangat menyokong perkembangan ke arah ini, maka kami bawa ke depan rancangan berkenaan untuk dijayakan dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.

Salah tanggapan seterusnya adalah apabila orang memikirkan bahawa AMV ini nanti boleh dibeli untuk kegunaan individu. Sebenarnya bukan. Model operasinya lebih terarah kepada penyedia perkhidmatan untuk mengendalikannya. Bayangkan perkhidmatan Grab seperti yang kita kenali, tetapi menggunakan AMV dan bukannya kereta. Maksudnya, ia bukanlah untuk dijadikan kenderaan persendirian, dan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.

“Ada empat faktor yang dapat memastikan keberkesanan penggunaan AMV ini. Pertama, teknologi dan diikuti dengan peraturan atau undang-undang, penyedia perkhidmatan dan penerimaan masyarakat di mana ia akan digunakan nanti. Jadi, ia memerlukan kerjasama banyak pihak; syarikat swasta, kerajaan dan juga orang-ramai, sekiranya kita ingin lihat perkara ini berjaya,” jelas beliau.

Impian “kereta terbang” dan kepakaran Aerodyne – sejauh mana kita bersedia menjadikannya kenyataan?

Ketika ini, Vector dibangunkan oleh Aerodyne dengan kerjasama rakan niaga dari Jepun, dengan pendekatan perkongsian teknologi untuk mengurus kos dengan lebih baik. Pembangunan memang sudah dijalankan, dengan ujian demi ujian akan dilakukan secara berterusan.

“Sekitar tahun 2050 nanti, industri menjangkakan AMV ini akan menjadi sesuatu yang mainstream, terutama untuk sektor pengangkutan dan penghantaran barangan di kota-kota besar. Bagi Aerodyne sendiri, kami mensasarkan untuk melakukan ujian penerbangan bagi Vector menjelang Disember tahun ini, bersama dengan rakan niaga dari Jepun yang akan diumumkan kelak,” jelas Kamarul lagi.

Vector yang dibangunkan oleh Aerodyne sedikit berbeza dengan kenderaan-kendaraan udara yang disebut di atas. Bahasa mudahnya, ia seperti sebuah motosikal di jalan raya biasa, yang mampu membawa maksimum dua penumpang sahaja. Selain itu, pendekatan modular dalam pembangunannya membolehkan ruang kokpit utama ditukar daripada untuk membawa penumpang kepada tujuan membawa kargo sahaja.

Penggunaan AMV ini juga diyakini akan dapat mengurangkan kemalangan maut kerana ia tidak melibatkan pengendalian oleh manusia. Semuanya dikawal oleh sistem, termasuk GPS. Ini mengurangkan kesilapan manusia yang selalu menjadi faktor utama kemalangan, seperti yang dapat kita lihat di jalanraya negara ini saban tahun. Teknologi masa depan selalunya menarik untuk diterokai. Semoga kita sempat untuk menyaksikan perubahan pengangkutan menggunakan AMV ini tak lama lagi. Untuk Aerodyne, semoga berjaya menjadikan semua ini satu kenyataan. Kalau perkhdmatan AMV ini sudah bersedia nanti, anda berminat untuk mencubanya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required