Kecoh dan viral hari ini apabila laman Facebook Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyiarkan gambar bahawa Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir Mohamad meninjau apa yang digelar sebagai ‘prototaip’ untuk kenderaan boleh terbang digelar ‘air mobility’ dan diberikan nama sebagai ‘Vector’ di Pavilion kementerian tersebut pada acara LIMA 2019 yang sedang berlangsung di Langkawi.

Namun apa yang kami lihat menerusi gambar-gambar yang disiarkan, ia bukanlah sebuah protaip sebenar sebuah kereta terbang, tetapi lebih kepada mock-up atau model skala kecil kenderaan berkenaan. Prototaip selalunya adalah merujuk kepada sebuah produk dalam skala penuh, dan boleh berfungsi, cuma perincian-perincian akhirnya belum dimuktamadkan lagi.

Setelah berberapa ketika, kami melihat semula siaran di laman berkenaan dan nampaknya perkataan ‘prototaip’ tersebut telah di tukar kepada ‘model’, mungkin selepas menerima respon orang ramai dalam membetulkan kesalahan itu.

Namun menerusi laporan Bernama, Vector bukanlah ‘kereta terbang yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Menurut Pengarah Kanan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan Aerodyne Group (syarikat yang membangunkan Vector) Imtyaz Mohd Azzat, kenderaan tersebut bukanlah direka untuk menjadi sistem pengangkutan udara dari satu destinasi ke destinasi lain, sebaliknya ia adalah kenderaan berkonsep drone yang direka untuk membawa penumpang, penghantaran kargo dan tujuan pengawasan.

“Vector dikuasakan oleh empat motor dan bateri lithium-ion yang membolehkan kenderaan itu terbang. Kenderaan ini juga boleh membawa bebanan dianggarkan 150 hingga 200 kilogram dan terbang pada ketinggian kira-kira 50 meter dengan kelajuan 60 kilometer sejam dan 30 ke 90 minit masa penerbangan,” jelas Imtyaz.

Menurutnya lagi, prototaip sebenar Vector ini dijangka siap untuk terbang seawal Jun tahun ini, tetapi harganya masih belum ditentukan oleh syarikat yang berusia empat tahun dengan pengalaman dalam teknologi drone tersebut, sekiranya ia bersedia untuk memasuki pasaran tidak lama lagi.

Berkenaan projek kereta terbang yang diumumkan sebelum ini pula, ia disuarakan oleh Datuk Seri Redzuan buat pertama kali pada Februari tahun ini, dan tentulah ramai yang terkejut apabila mendengar ‘prototaip’ kereta tersebut sudah didedahkan lebih kurang sebulan selepas itu.

Sebelum ini juga menteri yang sama ada menyatakan bahawa kereta terbang ini akan dipacu teknologi tempatan, tetapi untuk kegunaan pemantauan pengangkutan awam serta sektor peladangan, dan mengesahkan bahawa prototaip kereta berkenaan akan muncul tahun ini.

CEO Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari mendedahkan bahawa Dasar Automotif Nasional (NAP) yang sedang dinilai semula turut akan merangkumi kerangka kawal selia bagi kereta terbang berkenaan.