Lexus NX300 2019 diperkenal di M’sia – dari RM314k

Lexus NX300 2019 diperkenal di M’sia – dari RM314k

Lexus Malaysia kini telah memperkenalkan model SUV urban mewah Lexus NX300 versi 2019 dengan melibatkan beberapa peningkatan, terutamanya dari sudut keselamatan. Model berkenaan kini hadir dengan pakej keselamatan aktif Lexus Safety System + (LSS+).

Model CBU dari Jepun ini ditawarkan dalam tiga varian berbeza iaitu NX300 Urban, NX300 Premium dan NX300 F-Sport. Untuk Semenanjung Malaysia, masing-masing akan dijual pada harga seperti berikut; RM313,888 (sebelum ini RM326,000), RM333,888 (sebelum ini RM345,000) dan RM349,888 (turun dari RM404,000 – turun sekitar RM54k) – harga atas jalan tidak termasuk insurans.

Peningkatan terbaru yang diberikan pada NX300 2019 ini ialah semua varian kini dilengkapi dengan pakej keselamatan termaju Lexus Safety System + (LSS+) bagi membantu meningkatkan kesedaran serta perhatian pemandu dalam membuat sebarang keputusan ketika dalam pemanduan. Tiga fungsi utama sistem ini adalah untuk menghindari perlanggaran dari depan, mengekalkan pemandu dalam lorong yang sepatutnya dan meningkatkan keselamatan pemanduan di waktu malam.

Antara sistem yang terkandung di dalam pakej maju ini ialah Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) yang akan memantau secara berterusan situasi di hadapan kenderaan melalui radar gelombang-milimeter yang terletak di bahagian gril kenderaan serta kamera monokular di atas cermin utama.

Lexus NX300 2019 diperkenal di M’sia – dari RM314k

Sekidaranya PCS menilai kebarangkalian yang tinggi akan berlaku perlanggaran dengan kenderaan depan, ia akan memberi amaran kepada pemandu untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Amaran ini akan aktif dalam kelajuan kenderaan dari 10 hingga 180 km/j. Sistem ini akan membantu memberikan daya brek tambahan sebaik pemandu mula memperlahankan kenderaan.

Dan, sekiranya pemandu tidak membrek dengan mencukupi dalam masa yang dirasakan selamat mengikut perkiraan komputer, sistem akan mengenakan brek secara automatik, memperlahankan kenderaan dalam maksud untuk mengurangkan impak perlanggaran, dan dalam kes tertentu, akan menghindari daripada berlaku perlanggaran tersebut.

Ciri Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDA) juga menjadi teras kepada LSS+ ini. Ia bertujuan membantu pemandu untuk kekal dalam lorong yang sepatutnya. Sekiranya sistem mengesan kenderaan akan keluar dari lorong pemanduan, amaran serta bantuan input stereng akan diberikan untuk mengekalkan kenderaan di tengah lorong.

Begitu juga dengan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) yang berfungsi sebagai ciri adaptive cruise control yang boleh mengekalkan jarak selamat serta mengikut kelajuan kenderaan yang berada di hadapan tanpa pemandu perlu memberikan input pedal minyak. Ia akan kekal aktif sekiranya kenderaan berhenti kurang daripada empat saat. Sekiranya lebih daripada tempoh itu, cruise control ini perli di”set” kembali.

Lexus NX300 2019 diperkenal di M’sia – dari RM314k

Satu lagi ciri yang terkandung ialah Bantuan Selekoh Aktif (ACA) yang merupakan sistem kawalan kestabilan elektronik yang lebih maju. Menggunakan sensor-sensor yang ada, sistem ini akan mengelak pergerakan yang tidak dikehendaki dan mengekalkan kenderaan dalam keadaan stabil ketika berada dalam selekoh.

Bagi memudahkan lagi pemanduan diwaktu malam, Sistem Lampu Tinggi Adaptif akan membantu, bukan sahaja bagi pemandu, malahan kepada pengguna jalan raya yang lain. Ia terdiri daripada 11 cip LED berasingan pada setiap lampu, dan akan dinyalakan/padamkan secara automatik mengikut keperluan.

Ini bertujuan untuk membiarkan pemandu terus fokus terhadap pemanduan dengan pancaran cahaya yang cerah tanpa perlu risau tentang kedudukan lampu semasa. Namun, sekiranya ada kenderaan datang dari arah hadapan, bahagian yang terlibat daripada 11 LED itu akan dipadamkan secara automatik untuk mengelakkan silau terhadap trafik dari arah depan. Papan tanda, pemantul cahaya pada jalan serta persekitaran pemanduan juga lebih cerah dan jelas.

Bagi NX300 Premium pula, terdapat dua lagi ciri tambahan; Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Sistem ini akan memaklumkan pemandu sekiranya ada kenderaan lain dalam jarak 50 meter yang sedang mendekati kenderaan anda yang mungkin tidak dapat dilihat oleh pemandu. Selain itu terdapat juga lapan beg udara SRS tersedia dalam NX300 2019 ini, begitu juga dengan ciri Amaran Sokongan Parkir.

Dari segi rekaan luaran, NX300 2019 kekal dengan imej penampilan Urban Sport Gear, menampilkan juga rekaan “Spindle Grille” sebagai ciri utamanya (gril hitam bagi varian F-Sport). Model ini juga kini hadir dengan ciri lampu isyarat sequential yang terdiri daripada 16 lampu LED yang akan menyala dalam satu turutan.

Bagi rim dan roda, varian Urban dan Premium menggunakan rim aloi dua tona premium 18-inci dengan saiz tayar 225/60R18. Sementara bagi varian F-Sport pula walaupun kekal menggunakan rim 18-inci, ia hadir dengan kemasan Dark Premium Metallic dengan tayar yang lebih lebar – 235/55R18 untuk memberikan maklumbalas pemanduan yang lebih dinamik.

Lexus NX300 menggunakan enjin 8AR-FTS 2.0 liter “twin-scroll turbo” empat-silinder petrol yang menghasilkan 235 hp antara 4,800 rpm hingga 5,600 rpm dan 350 Nm dari 1,650 Nm hingga 4,000 rpm. Ia dilengkapi juga dengan sistem penyuntik D4-S dan ciri Dual Variable Valve Timing dengan intelligent Wide (VVT-iW) yang mengoptimumkan tork dalam disepanjang julat kelajuan serta membolehkan enjin memulakan kitaran Otto dan kemudian menggunakan kitaran Atkinson yang lebih cekap tenaga pada kelajuan melayar (cruising).

Transmisinya menggunakan automatik enam-kelajuan sequential (6 Super ECT) yang hadir bersama kawalan logik Torque-Demand untuk menentukan tork yang diperlukan oleh enjin untuk memberikan respon yang terbaik. Selain itu, ia juga dilengkapi Kawalan Tork Dinamik AWD melalui sensor untuk memberikan pacuan seumpama kawalan semua roda dengan penjimatan.

Lexus NX300 2019 diperkenal di M’sia – dari RM314k

Khusus untuk varian F-Sport pula ia hadir dengan mod pemanduan tambahan Sport S+ (selain Eco, Normal dan Sport) serta penggunaan Suspensi Pembolehubah Adaptif (AVS). Suspensi ini mempunyai 650 tahap kawalan pembolehubah yang akan disesuaikan untuk permukaan dan pemanduan yang pelbagai.

Ruang dalamannya pula antara lain menampilkan penggunaan material kulit lembut pada papan pemuka, tempat duduk dan panel pintu. Diberi sentuhan istimewa oleh pekerja di Kilang Lexus Miyata di Jepun, ia menampilkan ketelitian kemasan dan buatan yang terperinci. Ia juga dilengkapi dengan ciri Antaramuka Sentuhan Jarak Jauh (RTI) serta sistem audio dengan lapan pembesar suara – menjadikannya sebuah sistem bunyi yang sangat menarik yang didatangkan secara standard.

Pelanggan boleh memilih dari tujuh pilihan warna bagi Lexus NX300 2019, termasuk Blazing Carnelian, Amber CS, Sonic Titanium, Sonic Quartz, Graphite Black GF, Red MC CS dan Sparkling Meteor ME. Bagi NX300 F-Sport pula, ia turut ditawarkan dalam warna khas Heat Blue CL atau Lava Orange CS.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required