Ketika UMW Toyota meraikan 50-tahun operasi pemasangan tempatan (CKD) kenderaan berjenama Toyota di Malaysia hari ini, syarikat berkenaan membawa dua buah kereta untuk dipamerkan – kereta pertama yang dipasang di sini iaitu Toyota Corolla generasi pertama dengan kod casis KE10, dan juga kereta terbaharu mula dipasang secara CKD, Toyota Yaris 2019.
Seperti dijangka, Toyota Corolla KE10 berkenaan menarik minat lebih ramai orang untuk membeleknya berbanding Yaris, kerana kereta ini semakin sukar untuk dijumpai di atas jalan raya, dan bagi sesetangah orang kereta ini menggamit kenangan masa silam mereka.
Toyota Corolla KE10 mula di pasang di Seksyen 15 Shah Alam bermula pada tahun 1968, iaitu dua tahun selepas ia diperkenalkan buat pertama kali di Jepun, dan setahun selepas kilang kereta pertama beroperasi di Malaysia – kilang yang menghasilkan kenderaan berjenama Volvo, terletak hanya berberapa ratus meter dari kilang Toyota tersebut.
Corolla KE10 dijana oleh enjin siri-K paling kecil dengan kapasiti 1.1 liter, bersama sistem timing chain yang menggerakkan aci sesondol terletak di sisi blok enjin, seterusnya menolak push rod bagi membuka dan menutup injap yang berada di kepala silinder. Disuap dengan sistem karburator tunggal, enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa sekitar 60 PS.
Tenaga dari enjin dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear manual empat-kelajuan. Berbanding model-model era berkenaan yang diberikan tuil penukar gear pada kolum stereng, Corolla KE10 menampilkan tuil penukar gear yang diletakkan pada lantai, sama seperti kereta-kereta moden sekarang.
Kereta yang dipamerkan hari ini adalah milik UMW Toyota sendiri. Ia bukanlah sebuah kereta yang disimpan oleh Toyota Malaysia selepas ia keluar dari barisan produksi, sebaliknya UMW membeli semula kereta ini dari orang awam. Ia kemudiannya menjalani restorasi menyeluruh sekitar tahun 2006, dan selepas itu terus menghuni UMW Galeriku yang terletak di Shah Alam untuk tatapan orang ramai.
Sebagai kereta yang dipamerkan di galeri, semestinya kereta ini berada dalam ‘kondisi muzium’. Segala karat pada badannya telah dibuang, dan di cat semula dengan warna baharu, kemudian hampir kesemua komponen bahagian luarannya seperti lensa-lensa lampu, emblem dan bampar telah direstorasi atau ditukar, membuatkan ia kelihatan baru sahaja keluar kilang.
Ia juga masih mengekalkan rim besi asal 12-inci, dan dibaluti tayar old school yang seingat penulis agak popular pada era 90-an dahulu, Sime Tyres Monza 80W bersaiz 155/80R12.
Pada bahagian dalaman, kereta ini juga masih mengekalkan komponen-komponen asli seperti papan pemuka, roda stereng dan juga tombol gear. Turut kelihatan, unit pemain audio utama dengan larasan bunyi dan juga saluran yang menggunakan sistem analog, bersama slot untuk memainkan kaset.
Namun untuk upholsteri, ia telah dibalut semula dengan fabrik PVC berwarna merah pada bahagian seperti kesemua tempat duduk, dan juga semua panel pintu sebelah dalam. Anda ada kenangan dengan Toyota Corolla KE10 ini? Kongsikannya dengan pembaca lain pada ruang komen di bawah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Kenangan semasa kerja jadi kuli tahun 1996. Toke saya beli toyota ke 10 ni untuk ganti sementara kereta honda sa6y 1.8 masuk bengkel. Bayangkan kami berulang alik dari perlis ke penang setiap hari selama 3 bulan dengan kapasiti penumpang yang mustahil iaitu enam orang untuk sebuah sedan ke 10. Paling saya ingat bahagian stereng column bawah desbod dia di balut dengan buluh dan diikat dengan dawai. Dia punya handling gila ya amat tapi tak pernah meragam kat tengah jalan.tapi kenangan bersama ke 10 tamat selepas kereta honda toke siap keluar bengkel dengan cat baru. Setelah tersadai tanpa tugasan sekian lama dan tanpa value timbang kilo pada masa tu toke ambil langkah mudah dengan mengkebumikan ke 10 beliau di tepi laman rumah dengan jengkaut. Kalau aku tahu sekarang ke 10 jadi se rare ini sumpah akan ku ubati ke 10 dan simpan sampai sekarang…. Sekian
Ini bukan rim besi asal. Sebelah kanan, hadapan dari Perodua Kancil EX generasi pertama dan baki tiga rim itu dari KE30.
Saya tidak berniat memperkecilkan usaha restorasi yang tidak mengenal penat seperti dalam hal KE10 ini namun janganlah ketara sangat perbezaan seperti yang saya sebut di atas.
Maih ada lagi kah alat ganti sekiranya mahu membuat restorasi/memberi nafas baharu tetapi masih lagi menetapkan rupa asal model ini. Sila bantu. Terima kasih!