Proton sekali lagi terus mencatatkan angka jualan kenderaan bulanan yang memberangsangkan, dengan sejumlah 7,615 unit terjual pada bulan Jun 2019. Ini menyumbang kepada pegangan pasaran sebanyak 18.1%, satu rekod terbaik yang pernah dicapai sejak Julai 2015.
Dengan itu, angka jualan bulan Jun 2019 sekali lagi meletakkan Proton ditangga kedua dalam senarai keseluruhan mengikut jenama, mengatasi Honda dan berada satu tempat di belakang Perodua bagi bulan ketiga berturut-turut. Jumlah pegangan pasaran itu pula adalah berdasarkan keadaan TIV bagi tempoh sebulan yang menurun sebanyak 30.8% atau hanya dengan 42,090 unit kenderaan dikeluarkan sepanjang Jun 2019.
Secara individu, Proton X70 terus menjadi yang paling popular dalam barisan kenderaan Proton. Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit telah diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya pendahulu jualan terkumpul untuk keseluruhan segmen SUV disamping turut mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris dalam pasaran.
Model-model lain juga turut mencatatkan jualan yang baik, dengan jualan Proton Saga terus berkembang dengan 2,541 unit telah diserahkan pada bulan Jun, menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan sebanyak 27% berbanding enam bulan pertama tahun 2018.
Bagi model-model yang kini dilengkapi dengan ciri-ciri pintar juga menunjukkan prestasi positif dengan tempahan terhadap Proton Persona, Iriz dan Exora 2019 meningkat masing-masing sebanyak 108%, 180% dan 135% berbanding jumlah tempahan model semasa.
“Dengan mencapai pegangan pasaran sebanyak 18.1% pada bulan Jun, Proton terus menunjukkan
pertumbuhan jualan yang positif bagi tahun ini meskipun keadaan pasaran yang sukar untuk jualan berikutan cuti musim perayaan Aidilfitri.
“Pegangan pasaran setakat tahun ini pada masa kini berada pada 14.7% dan merupakan peningkatan yang besar berbanding angka 2018 iaitu sebanyak 10.8%. Bagi separuh kedua tahun ini, kami akan menumpukan kepada peningkatan jualan dan memberikan lebih keterujaan kepada pasaran dengan memperkenalkan model-model baru dan yang ditambah baik seperti yang dijanjikan sebelum ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.