Satu pencapaian yang cukup memberangsangkan apabila Proton berjaya menjual sebanyak 10,611 unit pada Mei, iaitu meningkat sebanyak 51.3% berbanding April 2019. Sekali gus memecah rekod angka jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan. Proton berkata pencapaian itu merupakan angka jualan tertinggi yang pernah dicapai sejak Julai 2015.

Malah ia turut mendorong pertumbuhan jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini kepada lebih 70% berbanding tempoh masa sama pada 2018. Peratusan pegangan pasaran untuk bulan tersebut dianggarkan pada 17.2% menandakan satu lagi catatan cemerlang Syarikat sejak Januari 2016.

Pastinya Proton X70 merajai carta jualan, dengan 2,439 unit dihantar pada Mei, dan jumlah keseluruhan jualannya dalam lima bulan pertama tahun ini mencecah 13,572 unit. Ini termasuklah unit yang dihantar pada hujung 2018 dan kini hampir 15,000 unit telah berada di jalan raya di Malaysia. Proton mendakwa X70 merupakan SUV yang terlaris di negara ini bagi tahun 2019.

Selain itu, Proton Iriz dan Persona 2019 juga agak kencang jualannya. Persona 2019 terjual hampir 2,972 unit sejak dilancarkan, sementara Iriz 2019 pula cecah 940 unit, di mana ia memberikan angka jualan bulanan tertinggi dalam tempoh dua tahun. Dengan hampir 4,000 unit, kedua-dua model berkenaan telah menyumbang sebanyak 36% bagi keseluruhan jualan pada bulan Mei. Proton berkata, pihaknya telah menerima lebih 10,000 tempahan untuk bulan yang akan datang.

Malah Saga juga mencatatkan jualan yang memberangsangkan, kini mencecah 3,000 unit bagi dua bulan berturut-turut. Dengan jualan sebanyak 3,610 unit pada Mei, jualan bagi model berkenaan hingga ke tarikh tersebut meningkat sebanyak 41%. Proton turut mengesahkan, versi yang dipertingkatkan bagi sedan saiz sederhana tersebut akan diperkenalkan tahun ini. Model yang terbaharu dilancarkan ialah MPV Exora RC 2019.

“Dengan peningkatan jumlah jualan setakat ini sebanyak 70% pada tahun 2019, Proton menerima hasil untuk pelaburannya pada produk-produk, kakitangan serta cawangan-cawangan jualan. Syarikat berharap dapat mengakhiri keseluruhan jualan di tempat kedua dalam bulan kedua berturut-turut apabila angka jualan industri keseluruhan dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan kami yakin dapat mengekalkan prestasi jualan yang mantap sepanjang tahun,” ujar Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Tambahnya lagi, “Strategi Proton bagi separuh kedua tahun ini adalah untuk terus meningkatkan jualan syarikat dengan memperkenalkan model-model sedia ada yang telah ditambahbaik serta meningkatkan pengalaman pelanggan dengan membuka lebih banyak cawangan 3S/4S kerana usaha ini telah mendapat maklum balas positif dari para pelanggan. Usaha-usaha ini akan membantu memastikan imej Proton ditambahbaik di mana kami akan terus mentakrifkan semula nilai jenama sebagai persediaan untuk pengenalan lebih banyak model yang akan dihasikan bersama-sama dengan Geely pada masa akan datang.”